YouVersion Logo
Search Icon

Filipi 1

1
1 # Kis 16:12. Daripada Paulus dan Timotius, hamba-hamba Kristus Yesus,
Kepada semua orang salih dalam Kristus Yesus di Filipi, serta para penyelia dan penolong jemaah:
2Kasih kurnia dan damai sejahtera kepadamu daripada Bapa kita Allah dan daripada Tuhan Yesus Kristus.
Ucapan syukur dan doa
3Aku bersyukur kepada Allah setiap kali aku teringat akan kamu 4dan aku sentiasa mendoakanmu dengan sukacita dalam setiap permohonanku, 5kerana persahabatanmu dalam Injil dari mulanya hingga sekarang. 6Aku yakin bahawa Allah yang telah memulakan suatu pekerjaan yang baik dalam dirimu akan menyudahkannya hingga hari Yesus Kristus. 7Wajarlah aku memikirkan demikian tentang kamu semua kerana kamu sentiasa dalam hatiku. Kamu juga turut mendapat kasih kurnia Allah bersamaku, baik dalam hal aku dipenjarakan ini mahupun dalam mempertahankan dan meneguhkan Injil. 8Allah menjadi saksiku bahawa aku amat merindui kamu dengan kasih Kristus Yesus.
9Inilah doaku: Semoga kasihmu bertambah-tambah dengan pengetahuan dan pengertian, 10supaya kamu dapat mengetahui perkara-perkara yang baik, sentiasa tulus ikhlas dan tidak bersalah hingga hari Kristus, 11serta dipenuhi dengan buah perbenaran#1:11 Atau terjemahan lain: Segala yang dibuahi dengan kebenaran. Perkataan, ‘perbenaran’ dalam bahasa asal, ‘dikaiosunē,’ sukar ditafsirkan tetapi pada amnya merujuk kepada hidup yang benar, adil dan hidup selaras dengan kehendak Allah. yang datang melalui Yesus Kristus, untuk memuji dan memuliakan Allah.
Kesaksian Paulus dalam penjara
12Aku ingin memberitahumu, saudara-saudaraku, bahawa segala yang telah berlaku kepadaku sebenarnya semakin memajukan penyebaran Injil. 13#Kis 28:30.Dengan demikian, nyatalah dalam kalangan seluruh pengawal istana dan orang ramai bahawa aku dipenjarakan kerana Kristus. 14Juga, kebanyakan saudara kita dalam Tuhan menjadi yakin kerana aku dipenjarakan, mereka semakin berani menyebarkan firman Allah tanpa ketakutan.
15Ada orang yang memberitakan Kristus kerana hasad dengki dan persaingan, manakala ada juga dengan niat baik. 16Mereka ini melakukannya dengan kasih, kerana tahu bahawa aku telah ditugaskan untuk mempertahankan Injil. 17Sebaliknya, golongan yang pertama itu mengajar tentang Kristus untuk kepentingan diri sendiri, bukan dengan ikhlas, kerana mereka menyangka dengan berbuat demikian mereka dapat menyusahkan lagi aku yang terpenjara.
18Oleh itu, bagaimana pula? Hal itu, bagiku tidak penting. Walau dengan apa cara sekalipun, baik berpura-pura mahupun ikhlas, Kristus sedang diberitakan. Dan kerana ini aku bersukacita dan akan terus bersukacita. 19Kerana aku tahu bahawa ini akan membawa kepada penyelamatanku melalui doamu dan pertolongan Roh Yesus Kristus. 20Adalah jangkaan dan harapanku yang bersungguh-sungguh bahawa dalam apa hal pun aku tidak dipermalu, melainkan dengan segala keberanianku seperti biasa, maka sekarang juga Kristus akan ditinggikan dalam diriku, baik melalui hidup mahupun mati. 21Kerana bagiku, hidup ialah Kristus, dan mati ialah keuntungan. 22Tetapi jika aku terus hidup dari segi jasmani, ini akan bermakna usahaku membuahkan hasil. Namun yang mana akan kupilih? Aku tidak tahu! 23Aku sukar memilih antara dua: Aku ingin pergi dan bersama dengan Kristus, itu jauh lebih baik, 24tetapi kerana kamu, aku berasa perlu terus hidup dari segi jasmani. 25Dengan keyakinan ini, aku tahu bahawa aku akan terus bersama kamu semua untuk kemajuan dan kebahagiaanmu dalam iman, 26supaya rasa sukacitamu dalam Kristus Yesus akan melimpah-limpah kerana aku, apabila aku menemuimu sekali lagi.
27Cuma pastikanlah kelakuanmu selaras dengan Injil Kristus. Dengan demikian, sama ada aku datang menemuimu ataupun tidak, aku akan dapat mendengar tentangmu, bahawa kamu berdiri teguh dalam satu roh, berjuang bersama dengan satu hati untuk iman berdasarkan Injil, 28dan sama sekali tidak takut akan musuh-musuhmu. Bagi mereka, ini adalah tanda kebinasaan tetapi bagimu adalah tanda penyelamatan daripada Allah. 29Kerana kepadamu telah dikurniakan bagi pihak Kristus, bukan sahaja untuk beriman kepada-Nya tetapi juga untuk menderita kerana-Nya. 30#Kis 16:19-40.Dan kerana kamu juga menghadapi pertarungan yang kualami dahulu, perjuangan yang masih ada padaku.

Currently Selected:

Filipi 1: AVB

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in