YouVersion Logo
Search Icon

Mazmur 119

119
1Diberkatilah orang yang tidak tercela jalannya,
yang melangkah menurut hukum TUHAN.
2Diberkatilah mereka yang mematuhi peraturan-Nya,
yang mencari-Nya dengan sepenuh hati.
3Mereka juga tidak melakukan dosa;
mereka melangkah menurut jalan-Nya.
4Engkau telah memerintahkan kami supaya mematuhi ajaran-ajaran-Mu
dengan bersungguh-sungguh.
5Oh, kalaulah cara-caraku ditujukan ke arah mematuhi ketetapan-Mu!
6Maka tidaklah aku malu
apabila aku meneliti segala perintah-Mu.
7Aku akan memuji-Mu dengan tulus hati
apabila kupelajari hukum-Mu yang benar.
8Aku akan mematuhi ketetapan-Mu;
janganlah tinggalkan aku selama-lamanya.
9Bagaimanakah seorang pemuda menyucikan jalannya?
Dengan berhati-hati menurut firman-Mu.
10Dengan sepenuh hatiku aku telah mencari-Mu;
janganlah biarkan aku menyimpang daripada perintah-perintah-Mu.
11Firman-Mu telah kusimpan baik-baik dalam hatiku
supaya aku tidak berdosa terhadap-Mu.
12Terpujilah Engkau, ya TUHAN;
ajarlah aku ketetapan-Mu.
13Dengan bibirku telah kuisytiharkan
segala hukum yang Kaufirmankan.
14Aku telah bergembira dengan cara peraturan-Mu
seperti dengan segala kekayaan.
15Aku akan merenung ajaran-ajaran-Mu
dan memikirkan cara-cara-Mu.
16Aku akan menikmati ketetapan-Mu;
aku tidak akan melupakan firman-Mu.
17Limpahkanlah kurnia-Mu kepada hamba-Mu;
supaya aku dapat hidup dan mematuhi firman-Mu.
18Bukakanlah mataku supaya aku dapat melihat
hal-hal yang menakjubkan daripada hukum-Mu.
19Aku orang asing di bumi;
janganlah sembunyikan perintah-perintah-Mu daripadaku.
20Jiwaku resah mengingini hukum-hukum-Mu setiap waktu.
21Engkau memarahi orang sombong yang dilaknati,
yang menyimpang daripada perintah-perintah-Mu.
22Bebaskan aku daripada celaan dan hinaan,
kerana aku telah mematuhi peraturan-Mu.
23Raja-raja juga duduk mengataku,
tetapi hamba-Mu merenung ketetapan-Mu.
24Peraturan-Mu juga memberiku nikmat dan bimbingan.
25Jiwaku melekap ke debu;
pulihkanlah aku menurut firman-Mu.
26Aku telah mengakui gerak-geriku dan Engkau telah menjawabku;
ajarlah aku ketetapan-Mu.
27Biarlah aku mengerti jalan ajaran-ajaran-Mu;
supaya aku merenung perbuatan-Mu yang menakjubkan.
28Jiwaku lebur ditekan kemuraman;
teguhkanlah aku menurut firman-Mu.
29Bebaskan aku daripada jalan dusta;
dan berilah aku hukum-Mu dengan limpah kasih kurnia.
30Aku telah memilih jalan kebenaran;
hukum-hukum-Mu telah kuletakkan di hadapanku.
31Aku berpegang teguh pada peraturan-Mu;
Ya TUHAN, jangan malukan aku.
32Aku akan terus-menerus mematuhi perintah-perintah-Mu,
kerana Engkau melapangkan hatiku.
33Ajarlah aku, ya TUHAN, jalan ketetapan-Mu;
aku akan mematuhinya hingga ke akhir.
34Berilah aku pengertian, aku akan mematuhi hukum-Mu;
sesungguhnya, aku akan mentaatinya dengan sepenuh hatiku.
35Biarlah aku melangkah di jalan perintah-perintah-Mu,
kerana aku bahagia dengannya.
36Cenderungkanlah hatiku kepada peraturan-Mu,
bukan kepada ketamakan.
37Alihkanlah mataku daripada memandang segala yang tidak berfaedah;
dan pulihkan aku di jalan-Mu.
38Tegakkan firman-Mu bagi hamba-Mu,
yang sepenuh hari takut kepada-Mu.
39Palingkan daripadaku celaan yang kutakuti,
kerana hukum-hukum-Mu baik.
40Sesungguhnya, aku merindui ajaran-ajaran-Mu!
Pulihkan aku dalam perbenaran-Mu.#119:40 Rangkai kata “Perbenaran-Mu” yang diterjemahkan drpd perkataan Ibrani, ‘tsedaqah’ merangkumi maksud kebaikan Tuhan dan sifat-Nya yang benar serta adil.
41Biarlah kasih setia-Mu juga datang kepadaku, ya TUHAN,
penyelamatan-Mu menurut janji-Mu;
42dengan demikian aku akan mempunyai jawapan untuk orang yang mencelaku,
kerana kusandarkan kepercayaan kepada firman-Mu.
43Janganlah singkirkan kata benar daripada mulutku,
kerana aku berharap kepada hukum-Mu.
44Dengan demikian aku akan tetap mematuhi hukum-Mu,
selama-lamanya.
45Dan aku akan melangkah dengan bebas,
kerana aku mencari ajaran-ajaran-Mu.
46Aku akan berbicara tentang peraturan-Mu juga di hadapan raja-raja
dan tidak akan malu,
47dan aku akan berbahagia dengan perintah-perintah-Mu
yang kukasihi.
48Aku mengangkat tanganku kepada perintah-perintah-Mu yang dikasihi,
dan aku akan merenung ketetapan-Mu.
49Ingatlah firman-Mu kepada hamba-Mu,
dengannya Engkau telah memberiku harapan.
50Inilah yang melipurkan aku dalam kesakitanku:
Firman-Mu memberiku hidup.
51Orang yang sombong mentertawakan aku,
namun aku tidak berpaling daripada hukum-Mu.
52Aku ingat akan hukum-hukum-Mu dahulu,
Ya TUHAN, dan aku melipurkan diriku.
53Kemarahan telah memenuhiku kerana orang zalim,
yang meninggalkan hukum-Mu.
54Ketetapan-Mu telah menjadi nyanyianku
dalam perjalanan ibadatku.
55Aku ingat akan nama-Mu pada waktu malam,
Ya TUHAN, dan aku mematuhi hukum-Mu.
56Ini telah menjadi milikku:
kerana aku telah mematuhi ajaran-ajaran-Mu.
57Engkaulah yang ada padaku, ya TUHAN;
aku telah berjanji untuk mematuhi firman-Mu.
58Aku memohon keredaan-Mu dengan sepenuh hatiku;
kasihanilah aku menurut firman-Mu.
59Aku memikirkan gerak-geriku
lalu aku melangkah ke arah peraturan-Mu.
60Aku bertindak segera,
aku tidak berlengah-lengah mematuhi perintah-perintah-Mu.
61Tali orang zalim telah mengikatku,
tetapi aku tidak melupakan hukum-Mu.
62Pada tengah malam aku akan bangun untuk mengucap syukur kepada-Mu
kerana hukum-hukum-Mu yang benar.
63Aku teman kepada semua yang takut kepada-Mu,
dan mereka yang mematuhi ajaran-ajaran-Mu.
64Bumi ini, ya TUHAN, penuh dengan kasih-Mu;
ajarlah aku ketetapan-Mu.
65Engkau telah memperlakukan hamba-Mu dengan baik,
Ya TUHAN, menurut firman-Mu.
66Ajarlah aku pengetahuan dan pertimbangan yang baik,
kerana aku percaya kepada perintah-perintah-Mu.
67Sebelum aku ditimpa kesusahan, aku menyeleweng,
tetapi sekarang aku mematuhi firman-Mu.
68Engkau baik, dan berbuat baik;
ajarlah aku ketetapan-Mu.
69Orang yang sombong telah berbuat dusta tentangku,
tetapi aku akan mematuhi ajaran-ajaran-Mu dengan sepenuh hatiku.
70Hati mereka setebal lemak,
tetapi aku bahagia dengan hukum-Mu.
71Kesusahan yang menimpaku baik bagiku
kerananya aku mempelajari ketetapan-Mu.
72Hukum yang Kaufirmankan lebih baik bagiku daripada
ribuan keping wang emas dan perak.
73Tangan-Mu telah menciptaku dan membentukku;
berilah aku pengertian supaya aku dapat mempelajari perintah-perintah-Mu.
74Mereka yang takut kepada-Mu akan bersukacita apabila melihatku,
kerana aku telah menyandarkan harapan kepada firman-Mu.
75Aku tahu, ya TUHAN, bahawa hukum-hukum-Mu benar,
dan kerana kesetiaan-Mu Engkau telah menimpakan kesusahan ke atasku.
76Aku berdoa, biarlah kasih setia-Mu melipurkan aku,
menurut janji-Mu kepada hamba-Mu.
77Limpahkanlah belas kasih-Mu kepadaku supaya aku dapat hidup,
kerana hukum-Mu bahagiaku.
78Biarlah orang yang sombong menanggung malu kerana mereka telah menzalimiku dengan fitnah;
tetapi aku akan merenung ajaran-ajaran-Mu.
79Biarlah mereka yang takut kepada-Mu berpaling kepadaku,
mereka yang mengetahui peraturan-Mu.
80Biarlah hatiku tidak bercela terhadap ketetapan-Mu,
supaya aku tidak menanggung malu.
81Jiwaku lesu merindui penyelamatan-Mu,
tetapi kusandarkan harapan kepada firman-Mu.
82Mataku kabur mencari firman-Mu;
dan aku berkata, “Bilakah Engkau akan melipurkan aku?”
83Kerana aku telah menjadi seperti kirbat yang diasapi,
namun aku tidak melupakan ketetapan-Mu.
84Berapa lamakah hamba-Mu akan menunggu?
Bilakah Engkau akan menghukum mereka yang menganiaya aku?
85Orang yang sombong telah menggali lubang untukku,
ini tidak menurut hukum-Mu.
86Semua perintah-Mu benar;
mereka bersalah menganiaya aku; tolonglah aku.
87Mereka hampir menamatkan riwayatku di bumi ini,
tetapi aku tidak meninggalkan ajaran-ajaran-Mu.
88Pulihkan aku dengan kasih sayang-Mu,
supaya aku mematuhi peraturan yang Kaufirmankan.
89Untuk selama-lamanya, ya TUHAN;
firman-Mu bertapak di syurga.
90Kesetiaan-Mu kekal zaman-berzaman;
Engkau mengasaskan bumi dan ia tetap ada.
91Segalanya berterusan hari ini menurut peraturan-Mu,
kerana semuanya hamba-Mu.
92Kalaulah tidak kerana hukum-Mu bahagiaku,
tentulah aku binasa menanggung penderitaan.
93Aku tidak akan melupakan ajaran-ajaran-Mu selama-lamanya,
kerana dengannya Engkau telah memberiku hidup.
94Aku milik-Mu, selamatkanlah aku;
kerana aku telah mencari ajaran-ajaran-Mu.
95Orang zalim menantiku untuk memusnahkanku,
tetapi aku akan memikirkan peraturan-Mu.
96Aku telah melihat kemuncak segala kesempurnaan;
tetapi perintah-Mu maha luas.
97Oh, betapa kucintai hukum-Mu!
Aku merenungnya sepanjang hari.
98Engkau, melalui perintah-perintah-Mu, menjadikan aku lebih bijaksana daripada musuhku,
kerana perintah-perintah-Mu sentiasa bersamaku.
99Aku mempunyai pengertian yang lebih dalam daripada semua guruku,
kerana peraturan-Mu menjadi renunganku.
100Aku mengerti lebih daripada penatuaku,
kerana aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu.
101Aku telah mengawal kakiku daripada setiap jalan kejahatan
supaya aku dapat mematuhi firman-Mu.
102Aku tidak menyimpang daripada hukum-hukum-Mu,
kerana Engkau sendiri telah mengajarku.
103Betapa manisnya kata-kata-Mu bagiku,
lebih manis daripada madu bagi lidahku!
104Melalui ajaran-ajaran-Mu aku mendapat pengertian;
oleh itu, aku membenci setiap jalan yang palsu.
105Firman-Mu lampu bagi kakiku
dan cahaya bagi jalanku.
106Aku telah bersumpah dan menegaskan,
bahawa aku akan mematuhi hukum-hukum-Mu yang benar.
107Aku menanggung kesusahan yang amat berat;
pulihkanlah aku, ya TUHAN, menurut firman-Mu.
108Aku berdoa, terimalah puji-pujianku yang kupersembahkan dengan sepenuh kerelaan, ya TUHAN,
dan ajarlah aku hukum-hukum-Mu.
109Nyawaku sentiasa terancam,
namun aku tidak melupakan hukum-Mu.
110Orang zalim telah memasang jerat untukku,
namun aku tidak menyimpang daripada ajaran-ajaran-Mu.
111Peraturan-Mu telah kuambil sebagai warisan selama-lamanya;
kerana ia menggembirakan hatiku.
112Aku telah mencenderungkan hatiku untuk menjalankan ketetapan-Mu
selama-lamanya, hingga ke akhir.
113Aku membenci orang yang curang,
tetapi aku mencintai hukum-Mu.
114Engkaulah perlindunganku dan perisaiku;
aku menyandarkan harapan kepada firman-Mu.
115Pergilah daripadaku, hai orang yang berbuat jahat,
kerana aku akan mematuhi perintah-perintah Allahku!
116Teguhkanlah aku menurut firman-Mu, supaya aku dapat hidup;
dan jangan biarkan aku malu kerana harapanku.
117Tegakkanlah aku, maka aku akan selamat;
dan aku akan sentiasa mentaati ketetapan-Mu.
118Engkau menolak kesemua mereka yang menyimpang daripada ketetapan-Mu,
kerana mereka memperdaya dan itu adalah pendustaan.
119Engkau menyingkirkan semua orang zalim di bumi seperti barang tidak berguna;
oleh itu, aku mencintai peraturan-Mu.
120Tubuhku gementar kerana takut kepada-Mu;
dan aku takut akan penghakiman-Mu.
121Aku telah melakukan keadilan dan kebenaran;
janganlah tinggalkan aku di tangan penindasku.
122Jadilah penjamin hamba-Mu;
jangan biarkan orang sombong menindasku.
123Mataku kabur mencari penyelamatan-Mu,
dan mencari firman-Mu yang benar.
124Perlakukan hamba-Mu berdasarkan kasih setia-Mu
dan ajarlah aku ketetapan-Mu.
125Aku hamba-Mu; berilah aku pengertian
supaya aku dapat mengetahui peraturan-Mu.
126Sudah sampai masanya Engkau bertindak, ya TUHAN,
kerana mereka menganggap hukum-Mu batal.
127Justeru aku mencintai perintah-perintah-Mu
lebih daripada emas, ya, daripada emas tulen,
128justeru semua ajaran-Mu tentang semua perkara kuanggap benar,
aku membenci setiap jalan yang palsu.
129Peraturan-Mu menakjubkan;
oleh itu jiwaku mematuhinya.
130Kedatangan firman-Mu membawa cahaya;
memberi pengertian kepada orang yang tulus.
131Aku membuka mulut dan tercungap-cungap,
kerana aku merindui perintah-perintah-Mu.
132Pandanglah aku dan kasihanilah aku,
sebagaimana yang biasa Kaulakukan kepada mereka yang mencintai nama-Mu.
133Pandulah langkahku dengan firman-Mu;
dan jangan biarkan dosa menguasaiku.
134Lepaskan aku daripada penindasan manusia,
supaya aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu.
135Limpahkanlah sinar wajah-Mu ke atas hamba-Mu
dan ajarlah aku ketetapan-Mu.
136Air mataku mengalir laksana sungai,
kerana manusia tidak mematuhi hukum-Mu.
137Maha Benar Engkau, ya TUHAN,
dan adil semua penghakiman-Mu.
138Peraturan-Mu yang telah Kauperintahkan
benar dan sungguh setia.
139Semangatku telah membakar hatiku,
kerana musuhku telah melupakan firman-Mu.
140Janji-Mu sudah teruji,
dan hamba-Mu mencintainya.
141Aku daif dan dihina,
namun aku tidak melupakan ajaran-ajaran-Mu.
142Keadilan-Mu kekal selama-lamanya
dan hukum-Mu benar.
143Kesusahan dan kekhuatiran telah menyelubungiku,
namun perintah-perintah-Mu bahagiaku.
144Peraturan-Mu benar selama-lamanya;
berilah aku pengertian, maka aku akan hidup.
145Aku berseru dengan sepenuh hatiku; dengarlah aku, ya TUHAN,
Aku akan mematuhi ketetapan-Mu.
146Aku berseru kepada-Mu; selamatkanlah aku,
maka aku akan mematuhi peraturan-Mu.
147Aku bangun sebelum fajar menyingsing, lalu berseru memohon pertolongan;
aku menyandarkan harapan kepada firman-Mu.
148Aku bercekang mata sepanjang malam,
supaya dapat merenung janji-Mu.
149Dengarlah suaraku dengan kasih-Mu;
ya TUHAN, pulihkanlah hidupku menurut hukum-Mu.
150Mereka yang mengikut jalan kejahatan semakin dekat,
mereka telah menjauhi hukum-Mu.
151Namun Engkau dekat, ya TUHAN,
dan semua perintah-Mu ialah kebenaran.
152Tentang peraturan-Mu, aku telah tahu dari dahulu
bahawa Engkau mengasaskannya untuk selama-lamanya.
153Pertimbangkanlah kesakitanku dan lepaskanlah aku,
kerana aku tidak melupakan hukum-Mu.
154Belalah dan tebuslah aku;
pulihkanlah hidupku menurut janji-Mu.
155Penyelamatan jauh daripada orang zalim,
kerana mereka tidak mencari ketetapan-Mu.
156Sungguh limpah belas kasih-Mu, ya TUHAN;
pulihkanlah hidupku menurut hukum-hukum-Mu.
157Besar bilangan penganiayaku dan musuhku,
namun aku tidak berpaling daripada peraturan-Mu.
158Aku melihat orang yang khianat dan aku berasa meluat,
kerana mereka tidak mematuhi firman-Mu.
159Pertimbangkanlah betapa aku mencintai ajaran-ajaran-Mu;
pulihkanlah hidupku, ya TUHAN, dengan kasih-Mu.
160Seluruh firman-Mu benar;
dan seluruh hukum-Mu yang benar kekal selama-lamanya.
161Raja-raja menganiaya aku tanpa sebab,
tetapi hatiku mengagumi firman-Mu.
162Aku bergembira dengan janji-Mu
umpama orang yang menjumpai harta yang amat bernilai.
163Aku benci dan jijik kepada pendustaan
tetapi aku mencintai hukum-Mu.
164Tujuh kali sehari aku memuji-Mu
kerana hukum-hukum-Mu yang benar.
165Sungguh besar kesejahteraan mereka yang mencintai hukum-Mu,
dan tiada suatu pun menyebabkan mereka tergelincir.
166Ya, TUHAN, aku mengharapkan penyelamatan-Mu,
dan aku menjalankan perintah-perintah-Mu.
167Jiwaku mematuhi peraturan-Mu,
dan aku sungguh mencintainya.
168Aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu dan peraturan-Mu,
kerana semua langkahku terbentang di hadapan-Mu.
169Biarlah seruanku datang ke hadirat-Mu, ya TUHAN;
berilah aku pengertian menurut firman-Mu.
170Biarlah permohonanku datang ke hadirat-Mu;
selamatkanlah aku menurut janji-Mu.
171Bibirku akan melafazkan pujian,
kerana Engkau mengajarku ketetapan-Mu.
172Lidahku akan bertutur tentang firman-Mu,
kerana semua perintah-Mu ialah kebenaran.
173Biarlah tangan-Mu menolongku,
kerana aku telah memilih ajaran-ajaran-Mu.
174Aku merindui penyelamatan-Mu, ya TUHAN,
dan hukum-Mu kebahagiaanku.
175Biarlah jiwaku hidup, maka ia akan memuji-Mu,
dan biarlah hukum-hukum-Mu menolongku.
176Aku telah tersesat seperti domba yang hilang.
Carilah hamba-Mu, kerana aku tidak melupakan perintah-perintah-Mu.

Currently Selected:

Mazmur 119: AVB

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in