Yohanes 19:1-30

Yohanes 19:1-30 AVB

Setelah itu, Pilatus pun membawa Yesus dan mengarahkan supaya Yesus disesah. Askar-askar menganyam mahkota daripada duri, dan mengenakannya pada kepala Yesus. Kemudian mereka menyarungkan jubah berwarna ungu ke tubuh-Nya. Mereka datang kepada-Nya dan berkata, “Daulat Raja orang Yahudi!” lalu menampar-Nya. Pilatus keluar lagi dan berkata kepada mereka, “Lihat, aku bawa Dia kepadamu, supaya kamu tahu aku mendapati Dia tidak bersalah sama sekali.” Yesus pun keluar dengan memakai mahkota duri dan jubah ungu itu. Pilatus berkata kepada mereka, “Lihatlah orang ini!” Apabila ketua-ketua imam dan pegawai-pegawai melihat-Nya, mereka berteriak, “Salibkan Dia! Salibkan Dia!” Pilatus berkata kepada mereka, “Kamu ambil dan salibkan Dia; kerana aku mendapati-Nya tidak bersalah sama sekali.” Orang Yahudi itu menjawab, “Kami ada hukum, dan menurut hukum itu Dia patut dihukum mati, kerana Dia mengaku diri-Nya Anak Allah.” Apabila mendengar kata-kata itu, Pilatus semakin takut. Dia masuk semula ke istana dan bertanya kepada Yesus, “Dari manakah Kamu ini?” Tetapi Yesus tidak menjawab. Kemudian Pilatus berkata kepada-Nya, “Kamu tidak menjawab soalanku? Tidakkah Kamu tahu aku berkuasa untuk menyalib-Mu atau membebaskan-Mu?” Yesus menjawab, “Kamu tidak mungkin mempunyai kuasa langsung ke atas-Ku kecuali diberikan kepadamu dari atas; maka yang menyerahkan-Ku kepadamu itu lebih besar dosanya.” Selepas itu Pilatus cuba membebaskan-Nya, tetapi orang Yahudi berseru, “Jika kamu membebaskan orang ini, kamu bukanlah sahabat Kaisar; kerana sesiapa yang mengaku dirinya raja bercakap menentang Kaisar.” Ketika Pilatus mendengar kata-kata demikian, dia pun membawa Yesus, lalu duduk di kerusi pengadilan di tempat yang disebut “Laman Batu”, dalam bahasa Ibrani Gabbatha. Pada waktu itu persediaan sedang dibuat untuk Perayaan Paskah, kira-kira jam keenam. Pilatus berkata kepada orang Yahudi, “Lihatlah Raja kamu!” Tetapi mereka berseru, “Bawa Dia pergi! Bawa Dia pergi! Salibkan Dia!” Pilatus berkata kepada mereka, “Adakah kamu mahu aku salib Rajamu?” Ketua-ketua imam menjawab, “Kami tidak ada raja selain Kaisar.” Oleh itu, Pilatus pun menyerahkan Yesus kepada mereka untuk disalib. Lalu mereka mengambil-Nya dan membawa-Nya pergi. Yesus pun mengangkat salib-Nya dan pergi ke suatu tempat yang dipanggil Tempat Tengkorak, yang dalam bahasa Ibrani disebut Golgota. Di situ mereka menyalib Yesus, bersama-sama dua orang lain di kiri dan kanan-Nya dan Yesus di tengah. Pilatus memerintahkan supaya satu catatan ditulis dan diletakkannya di atas salib itu. Tulisan itu berbunyi: “Yesus, orang Nazaret, Raja orang Yahudi.” Ramai orang Yahudi membaca tulisan itu, kerana tempat Yesus disalib itu dekat dengan kota, dan tulisan itu dalam bahasa Ibrani, Yunani dan Latin. Ketua-ketua imam Yahudi pula berkata kepada Pilatus, “Janganlah tulis: ‘Raja orang Yahudi.’ Tetapi, tulislah: ‘Dia berkata Dia Raja orang Yahudi.’ ” Pilatus menjawab, “Apa yang sudah kutulis itu sudah kutulis.” Setelah menyalib Yesus, askar-askar mengambil pakaian-Nya, dibahagi empat, sebahagian untuk setiap askar. Mereka mengambil jubah-Nya juga. Jubah itu tidak berkelim, seluruhnya dianyam dari atas. Oleh itu, mereka berkata-kata sesama sendiri, “Janganlah kita koyakkan. Kita buang undi untuk menentukan siapa yang dapat.” Dengan demikian terlaksanalah apa yang tersurat dalam Kitab Suci: “Mereka membahagikan pakaian-Ku antara mereka, dan untuk mendapat jubah-Ku mereka membuang undi.” Begitulah yang dilakukan oleh askar-askar itu. Di tepi salib Yesus berdiri ibu-Nya, dan saudara perempuan ibu-Nya, Maria isteri Klopas, dan Maria Magdalena. Apabila Yesus melihat ibu-Nya dan murid-Nya yang dikasihi berdiri di situ, Dia pun berkata kepada ibu-Nya, “Lihat, itulah anakmu.” Kepada murid-Nya Dia berkata, “Lihatlah ibumu.” Sejak itu murid tersebut mengambil ibu Yesus sebagai ibunya dan membawanya tinggal di rumahnya. Selepas itu, Yesus mengetahui bahawa segala-galanya telah berlaku sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, lalu berkata, “Aku dahaga.” Di situ ada sebuah bekas berisi air anggur masam. Lalu mereka memenuhkan sebuah span dengan air anggur masam itu, meletakkannya di atas batang hisop dan mencecahkannya ke mulut Yesus. Setelah Yesus menerima air anggur masam itu, Dia berkata, “Sudah selesai.” Dia menundukkan kepala lalu menyerahkan roh-Nya.