1 Tawarikh 22
22
1Lalu Daud berkata, “Di sinilah Bait TUHAN Allah kita, dan di sinilah mazbah korban bakaran orang Israel.”
Persediaan pembinaan Bait Suci
2Daud menyuruh agar pendatang yang ada di Tanah Israel dikumpulkan, lalu dia menugaskan para tukang untuk memahat batu-batu pahat bagi pembinaan Rumah Allah. 3Daud menyediakan sejumlah besar besi untuk (digunakan sebagai) paku bagi daun pintu gerbang dan untuk tupai-tupai, juga sejumlah besar gangsa sampai tidak tertimbang beratnya, 4serta kayu araz sampai tidak terhitung lagi, kerana orang Sidon dan orang Tirus membawa banyak kayu araz untuk Daud. 5Kata Daud, “Anakku Salomo masih muda dan kurang pengalaman, sedangkan bait yang akan dibina bagi TUHAN itu harus luar biasa besarnya sehingga masyhur dan mulia di segala negeri. Jadi, biarlah kubuat segala persediaan untuk itu.” Maka Daud pun menyiapkan banyak bahan sebelum kematiannya.
6Kemudian Daud memanggil Salomo, anaknya, dan memberikan amanat kepadanya untuk membina bait bagi TUHAN, Allah Israel. 7#2Sam 7:1-16; 1Taw 17:1-14.Kata Daud kepada Salomo, “Anakku, aku sendiri memang amat ingin membina bait bagi nama TUHAN, Allahku. 8Tetapi turunlah untukku firman TUHAN demikian, ‘Engkau telah menumpahkan banyak darah dan telah melakukan banyak peperangan besar. Engkau tidak boleh membina bait bagi nama-Ku, kerana telah kautumpahkan banyak darah ke bumi di hadapan-Ku. 9Sesungguhnya, seorang anak lelaki akan lahir bagimu. Dia akan menjadi orang yang dikurniai ketenteraman, kerana Aku akan mengurniakan kepadanya ketenteraman daripada semua musuh di sekelilingnya. Namanya ialah Salomo, dan pada zamannya Aku akan mengurniakan damai serta sentosa kepada orang Israel. 10Dialah yang akan membina bait bagi nama-Ku. Dia akan menjadi anak bagi-Ku dan Aku akan menjadi Bapa baginya. Aku akan mengukuhkan takhta kerajaannya atas Israel untuk selama-lamanya.’
11Sekarang, anakku, semoga TUHAN menyertai engkau sehingga engkau berhasil membina Bait TUHAN, Allahmu, seperti yang difirmankan-Nya mengenai engkau. 12Semoga TUHAN mengurniaimu kebijaksanaan dan pengertian ketika Dia memberi kamu kewibawaan untuk memerintah Israel, supaya engkau dapat berpegang teguh pada hukum TUHAN, Allahmu. 13#Yos 1:6-9.Jika engkau setia melakukan segala ketetapan dan peraturan yang diperintahkan TUHAN kepada Musa untuk orang Israel, maka engkau akan berjaya. Kuatkanlah dan mantapkanlah hatimu. Janganlah takut dan jangan berasa kecewa. 14Sesungguhnya, dengan susah payah telah kusiapkan bagi Bait TUHAN seratus ribu talenta emas, sejuta talenta perak, serta gangsa dan besi yang tidak tertimbang beratnya kerana begitu banyaknya. Aku juga telah menyiapkan kayu dan batu, tetapi engkau harus menambahnya lagi. 15Engkau pun mempunyai banyak pekerja, iaitu tukang pahat, tukang batu dan kayu, serta para ahli dalam segala jenis pekerjaan 16emas, perak, gangsa, dan besi — tidak terhitung ramainya. Segeralah bekerja! TUHAN kiranya menyertai engkau.”
17Daud juga memerintahkan kesemua pembesar Israel membantu Salomo, anaknya: 18“Bukankah TUHAN, Allahmu, menyertai kamu dan telah mengurniakan kepadamu ketenteraman di segala penjuru? Dia telah menyerahkan penduduk negeri ini ke dalam tanganku, sehingga negeri ini takluk di hadapan TUHAN dan di hadapan umat-Nya. 19Sekarang, arahkanlah hati dan jiwamu untuk mencari hadirat TUHAN, Allahmu. Segeralah bangunkan tempat suci bagi TUHAN Allah, supaya tabut perjanjian TUHAN dan segala alat kelengkapan tempat suci Allah dapat dibawa masuk ke dalam bait yang akan dibina bagi nama TUHAN.”
Currently Selected:
1 Tawarikh 22: AVB
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited