Lukas 2
2
Kelahiran Yesus
1Pada masa itu Kaisar Agustus menitahkan semua penduduk di seluruh dunia dibanci. 2Ketika pembancian pertama dilaksanakan, Kurenius menjadi gabenor di Siria. 3Dalam pembancian tersebut, setiap orang perlu kembali ke tempat lahir masing-masing untuk mendaftarkan diri.
4Oleh itu, Yusuf terpaksa berangkat dari bandar Nazaret di Galilea ke kota Daud yang bernama Betlehem di Yudea kerana dia daripada keturunan Daud. 5Dia pergi untuk mendaftarkan diri bersama Maria, tunangnya yang sedang hamil. 6Sewaktu mereka di sana, tibalah masanya untuk dia bersalin. 7Dia melahirkan seorang anak lelaki, iaitu anak sulungnya. Dia membedung anak itu lalu membaringkan-Nya di dalam sebuah palung kerana tidak ada tempat bagi mereka di rumah tumpangan.
Gembala dan malaikat
8Di daerah itu ada beberapa orang gembala yang bermalam di padang kerana menjaga domba mereka. 9#Tob 5:4.Tiba-tiba malaikat Tuhan muncul di hadapan mereka dan kemuliaan Tuhan menerangi mereka, lalu mereka ketakutan. 10Tetapi malaikat itu berkata kepada mereka, “Jangan takut! Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat. 11Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Kristus, Tuhan. 12Inilah tandanya bagimu: Kamu akan menjumpai seorang anak yang dibedung dan dibaringkan di dalam sebuah palung.”
13Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh satu angkatan syurga yang besar memuji-muji Allah:
14“Kemuliaan bagi Allah di tempat yang maha tinggi
dan damai sejahtera di bumi bagi orang yang berkenan pada hati-Nya.”
15Setelah malaikat-malaikat itu meninggalkan mereka untuk kembali ke syurga, gembala-gembala itu berkata sesama sendiri, “Marilah kita pergi ke Betlehem untuk melihat kejadian yang telah berlaku itu seperti yang diberitahu Tuhan kepada kita.”
16Mereka pergi dengan segera lalu menjumpai Maria dan Yusuf serta bayi itu yang sedang terbaring di dalam palung.
17Setelah melihat bayi itu, mereka pun memberitahu segala yang telah dikatakan kepada mereka tentang anak itu. 18Semua yang mendengar berasa kagum tentang apa yang dikatakan oleh gembala-gembala itu kepada mereka; 19tetapi Maria menyimpan segala perkara ini dalam hatinya dan merenunginya. 20Kemudian gembala-gembala itu pulang sambil memuji-muji Allah atas segala yang didengar dan dilihat mereka. Segalanya seperti yang dikatakan kepada mereka.
Yesus dipersembahkan di Bait Suci
21 # Im 12:3. Luk 1:31. Lapan hari kemudian, tibalah masanya untuk menyunatkan bayi itu, lalu Dia diberi nama Yesus, seperti yang dikatakan oleh malaikat sebelum Dia dikandung oleh Maria.
22Setelah tamat masa penyucian mengikut hukum Taurat Musa, mereka pun membawa Yesus ke Yerusalem untuk mempersembahkan-Nya kepada Tuhan. 23#Kel 13:2,12.Tersurat dalam Hukum Tuhan bahawa setiap anak lelaki sulung akan diserahkan kepada Tuhan. 24#Im 12:6-8.Mereka juga mempersembahkan korban mengikut apa yang ditetapkan dalam Hukum Tuhan, iaitu sepasang burung tekukur atau dua ekor anak merpati.
25Pada masa itu ada seorang di Yerusalem yang bernama Simeon. Seorang yang salih dan takut kepada Allah, Simeon menantikan masa terhiburnya Israel. Dan dia disertai Roh Kudus. 26Roh Kudus telah memberitahunya bahawa dia tidak akan meninggal dunia sebelum dia melihat Kristus yang dijanjikan oleh Tuhan. 27Atas pimpinan Roh dia masuk ke dalam Bait Suci. Ketika Yesus, anak itu, dibawa masuk oleh ibu bapa-Nya untuk menunaikan hukum Taurat itu, 28Simeon mendukung Dia dan memuji Allah lalu berkata:
29“Ya Tuhan, sekarang biarlah hamba-Mu pergi dengan sejahtera,
menurut firman-Mu:
30kerana mataku telah melihat penyelamatan-Mu
31yang telah Kausediakan di hadapan segala bangsa,
32 # Yes 42:6; 49:6; 52:10. satu cahaya yang akan menunjukkan jalan kepada bangsa-bangsa asing
dan menjadi kemuliaan bagi umat-Mu Israel.”
33Ibu dan bapa-Nya kagum mendengar apa yang dikatakan tentang anak itu. 34Simeon memberkati mereka dan berkata kepada Maria, ibu anak itu, “Anak ini telah dipilih oleh Tuhan untuk menjatuhkan dan membangunkan ramai orang di Israel kelak; Dia menjadi tanda#2:34 Atau: Tanda daripada Allah. yang akan dibantahi orang 35supaya fikiran dalam hati mereka didedahkan. Dan jiwamu sendiri akan ditusuk oleh pedang.”
36 # Ydt 8:4,5. Ada pula seorang nabiah yang bernama Hana anak Fanuel, daripada suku Asyer. Dia telah lanjut usianya. Sesudah berkahwin selama tujuh tahun dan hidup bersama dengan suaminya, 37Hana kemudian menjadi balu sehingga dia berumur lapan puluh empat tahun. Dia tidak pernah meninggalkan Bait Suci, malahan dia beribadat kepada Allah dengan berpuasa dan berdoa siang malam. 38Pada ketika itu juga, dia datang dan mengucapkan syukur kepada Allah lalu berkata tentang anak itu kepada semua orang yang menantikan pembebasan bagi Yerusalem.
39 # Mat 2:23. Setelah ibu bapa-Nya menunaikan segala yang wajib menurut Hukum Tuhan, mereka pulang ke kota Nazaret, kota tempat tinggal mereka di Galilea. 40Anak itu semakin membesar dan bertambah kuat serta penuh dengan kebijaksanaan. Kasih kurnia Allah ada pada-Nya.
Yesus di Bait Suci
41 # Kel 12:1-27; Ul 16:1-8. Tiap-tiap tahun ibu bapa-Nya pergi ke Yerusalem untuk menyambut Perayaan Paskah. 42Ketika Yesus berusia dua belas tahun, mereka pergi menghadiri perayaan itu seperti biasa. 43Setelah tamat perayaan itu, mereka pun berangkat pulang; tetapi Yesus, anak mereka itu tertinggal di Yerusalem dan ibu bapa-Nya tidak menyedari hal itu. 44Mereka menyangka Dia ada bersama teman-teman seperjalanan. Oleh itu, mereka berjalan sepanjang hari sebelum mereka mencari-cari Yesus dalam kalangan kaum keluarga dan kenalan mereka. 45Apabila mereka tidak menjumpai-Nya, mereka kembali ke Yerusalem untuk mencari-Nya. 46Selepas tiga hari, mereka akhirnya menemui Yesus di dalam Bait Suci. Dia duduk dikelilingi oleh guru-guru Taurat sambil mendengar pengajaran mereka dan menanya soalan. 47Semua orang yang mendengar Yesus kagum akan pengertian dan jawapan-Nya. 48Ketika ibu bapa-Nya melihat-Nya, mereka juga kagum lalu ibu-Nya berkata, “Anakku, mengapakah Engkau berbuat demikian terhadap kami? Ibu dan ayah begitu bimbang mencari-Mu.”
49Lalu Yesus menjawab, “Mengapakah ibu dan ayah mencari Aku? Tidakkah ibu dan ayah mengetahui Aku harus melakukan kerja Bapa-Ku?” 50Tetapi mereka tidak memahami apa yang dikatakan-Nya kepada mereka.
51Kemudian Dia pulang bersama mereka ke Nazaret. Dia taat kepada mereka. Ibu-Nya menyimpan segala perkara ini dalam hatinya. 52#1Sam 2:26; Ams 3:4.Yesus semakin membesar dan bijaksana. Dia diredai Allah dan manusia.
Currently Selected:
Lukas 2: AVB
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited