YouVersion Logo
Search Icon

Matius 2

2
Ahli ilmu bintang dari Timur
1Yesus dilahirkan di Betlehem, di Tanah Yudea, semasa pemerintahan Raja Herodes. Tidak lama kemudian datanglah beberapa orang ahli ilmu bintang dari Timur ke Yerusalem. 2Mereka bertanya, “Di manakah Anak yang baru lahir, yang akan menjadi Raja orang Yahudi? Kami melihat bintang-Nya muncul di Timur, dan kami datang hendak menyembah-Nya.”
3Apabila mendengar perkara itu, Raja Herodes berasa risau, begitu juga semua penduduk Yerusalem. 4Raja Herodes memanggil semua ketua imam dan ahli Taurat berhimpun lalu bertanya kepada mereka di mana tempat lahirnya Kristus, Mesias itu. 5Mereka menjawab, “Di Betlehem, di Tanah Yudea. Hal ini tertulis oleh seorang nabi:
6 # Mi 5:2. ‘Wahai Betlehem di Tanah Yehuda,
engkau bukanlah yang terkecil antara pemimpin kota utama Yehuda,
kerana daripadamu akan muncul seorang Pemimpin yang akan memimpin umat-Ku Israel.’ ”
7Setelah itu, Raja Herodes berjumpa secara rahsia dengan ahli-ahli ilmu bintang itu dan mendapat tahu daripada mereka dengan tepat bila bintang itu terbit. 8Raja Herodes menyuruh ahli-ahli ilmu bintang pergi ke Betlehem dengan perintah demikian: “Pergilah dan carilah Anak itu sedaya upaya. Apabila kamu menjumpai-Nya, beritahulah aku, supaya aku juga dapat pergi menyembah-Nya.”
9Mereka pun pergi. Di pertengahan jalan, mereka melihat bintang yang telah muncul di Timur dahulu kini mendahului mereka dan berhenti di atas tempat Anak itu. 10Sungguh gembira mereka apabila melihat bintang itu. 11Mereka masuk ke dalam rumah itu dan melihat Anak itu dengan ibu-Nya Maria. Mereka pun sujud menyembah Anak itu, lalu membuka harta benda mereka dan mempersembahkan emas, dupa dan mir kepada-Nya.
12Allah memberikan peringatan kepada mereka melalui mimpi supaya jangan kembali kepada Herodes. Oleh itu, mereka pun pulang ke negeri mereka mengikut jalan lain.
Hijrah ke Mesir
13Selepas itu, malaikat Tuhan memperlihatkan diri dalam mimpi kepada Yusuf lalu berkata, “Herodes akan mengeluarkan perintah supaya mencari dan membunuh Anak itu. Bangunlah. Bawalah Anak itu dan ibu-Nya ke Mesir. Tinggallah di situ hingga Aku berfirman kepadamu.”
14Yusuf pun bangun. Pada malam itu juga dia membawa Anak itu dan ibu-Nya ke Mesir. 15#Hos 11:1.Mereka tinggal di situ hingga kematian Raja Herodes. Maka terlaksanalah apa yang difirmankan Tuhan menerusi nabi-Nya: “Dari Mesir, Kupanggil Anak-Ku.”
16Setelah Raja Herodes sedar dirinya ditipu oleh ahli-ahli ilmu bintang dari Timur itu, dia pun marah lalu mengeluarkan perintah untuk membunuh semua anak lelaki yang berusia dua tahun ke bawah di Betlehem dan kawasan yang berdekatan. Usia itu berdasarkan maklumat yang diberikan oleh ahli-ahli ilmu bintang tentang masa bintang itu mula-mula muncul.
17Oleh yang demikian, terlaksanalah apa yang dikatakan oleh Nabi Yeremia:
18 # Yer 31:15. “Satu suara terdengar di Rama,
rintih ratap dan perkabungan.
Rahel meratapi anak-anaknya;
dia tidak mahu dilipur hatinya, kerana mereka tiada lagi.”
Pulang dari Mesir
19Selepas kematian Herodes, malaikat Tuhan memperlihatkan diri dalam mimpi kepada Yusuf di Mesir. 20Kata malaikat itu, “Bangunlah. Bawalah Anak itu dan ibu-Nya ke Tanah Israel, kerana orang yang hendak meragut nyawa Anak itu telah mati.” 21Yusuf pun bangun lalu membawa Anak itu dan ibu-Nya ke Tanah Israel.
22Tetapi apabila mendengar bahawa Arkelaus telah menaiki takhta menggantikan bapanya Herodes di Yudea, Yusuf pun takut pergi ke sana. Setelah mendapat peringatan daripada Allah dalam mimpi, dia pun pergi ke Galilea. 23#Mrk 1:24; Luk 2:39; Yoh 1:45.Dia menetap di kota yang bernama Nazaret. Dengan demikian terlaksanalah apa yang dikatakan oleh para nabi: “Dia akan dipanggil Orang Nazaret.”

Currently Selected:

Matius 2: AVB

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in