Amsal 22
22
1Nama baik patut lebih didambakan daripada banyak harta,
dihargai orang lebih baik daripada perak dan emas.
2Orang kaya dan orang miskin mempunyai kesamaan:
TUHAN yang menjadikan mereka semua.
3Orang yang bijaksana melihat bahaya lalu bersembunyi,
tetapi orang betul bendul berjalan terus lalu menderita akibatnya.
4Ganjaran atas sifat rendah hati dan takut kepada TUHAN
ialah kekayaan, kehormatan, dan kehidupan.
5Duri dan jerat ada di jalan orang yang menyeleweng,
tetapi sesiapa yang memelihara nyawanya, menjauhi semua itu.
6 # Sir 6:18. Didiklah seorang anak di jalan yang patut dilaluinya,
maka pada masa tuanya pun dia tidak menyimpang dari laluan itu.
7Orang kaya menguasai orang miskin,
dan si penghutang menjadi hamba kepada si pemiutang.
8Sesiapa yang menyemai kezaliman akan menuai kesia-siaan,
dan rotan amarahnya akan binasa.
9Orang yang murah hati akan diberkati,
kerana dia berkongsi makanannya dengan orang miskin.
10Usirlah si pencemuh, maka pertengkaran turut pergi,
dan berakhirlah pertikaian serta kutukan.
11Sesiapa yang menyukai kesucian hati
dan santun bicaranya akan menjadi sahabat raja.
12Mata TUHAN memelihara pengetahuan,
tetapi Dia memusnahkan kata-kata si pengkhianat.
13Kata si pemalas, “Ada singa di luar!
Aku akan dibunuhnya di tengah-tengah jalan.”
14Mulut si perempuan penzina sebuah jebak yang dalam;
orang yang dimurkai TUHAN akan jatuh ke dalamnya.
15Kebodohan melekat dalam hati anak-anak,
tetapi rotan didikan akan mengenyahkannya daripada mereka.
16Sesiapa menindas orang miskin untuk memperkaya diri
atau memberikan hadiah kepada orang kaya, hanya akan menderita kemiskinan.
Pepatah-pepatah orang bijak
17Pasanglah telingamu dan dengarlah kata-kata orang bijaksana;
perhatikan pengetahuanku!
18Kerana akan menyenangkan jika itu engkau memegang teguh dalam hatimu,
dan jika semua itu tersedia pada bibirmu.
19Supaya kepercayaanmu sepenuhnya kepada TUHAN,
maka aku memberitahukan kepadamu pada hari ini, ya kepadamu.
20Bukankah aku telah menuliskan kepadamu tiga puluh pepatah,
iaitu nasihat serta pengetahuan,
21untuk mengajar kamu kata-kata yang benar dan dapat dipegang,
sehingga engkau dapat memberikan jawapan yang tepat kepada orang yang menyuruhmu?
22Jangan rompak orang miskin kerana dia tidak berdaya,
dan jangan hancurkan orang yang tertindas di sidang pengadilan,
23kerana TUHAN akan membela perkara mereka,
lalu merampas orang yang merampasi mereka.
24Jangan bersahabat dengan pemarah,
atau bergaul dengan orang yang panas baran,
25supaya jangan engkau meniru tingkah lakunya
lalu jiwamu terjerat.
26Jangan menjadi orang yang menaja jamin,
yang menjadi penjamin bagi hutang orang lain.
27Jika engkau tidak mempunyai apa-apa pun untuk membayarnya,
mengapa tempat tidurmu harus diambil daripadamu?
28Jangan pindahkan batas tanah lama
yang ditetapkan oleh para leluhurmu.
29Adakah engkau memperhatikan orang yang mahir dalam pekerjaannya?
Dia akan menghadap raja-raja, bukan berdiri di hadapan orang bawahan.
Currently Selected:
Amsal 22: AVB
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited