YouVersion Logo
Search Icon

KISAH RASUL-RASUL 5

5
Ananias dan Safira
1Ada seorang lelaki bernama Ananias. Dia dengan isterinya, Safira menjual sebidang tanah yang dimiliki oleh mereka. 2Dengan persetujuan isterinya, Ananias menyimpan sebahagian wang itu untuk dirinya sendiri. Yang selebihnya diserahkannya kepada rasul-rasul. 3Oleh itu Petrus berkata kepadanya, “Ananias, mengapa kamu membiarkan Iblis menguasai hatimu, sehingga kamu berdusta terhadap Roh Allah dengan menyimpan sebahagian daripada wang penjualan tanahmu itu? 4Bukankah tanah itu milikmu, sebelum kamu menjualnya? Setelah kamu menjualnya, wangnya milikmu juga. Mengapa kamu berniat berbuat demikian? Kamu tidak berdusta terhadap manusia, tetapi terhadap Allah!” 5Sebaik sahaja Ananias mendengar kata-kata itu, dia jatuh lalu mati. Semua orang yang mendengar peristiwa itu menjadi takut. 6Kemudian beberapa orang muda datang membalut mayat Ananias, lalu membawanya ke luar dan menguburkannya.
7Kira-kira tiga jam kemudian isteri Ananias masuk. Dia tidak mengetahui apa yang telah berlaku. 8Petrus berkata kepadanya, “Katakanlah, adakah wang ini seluruh hasil penjualan tanah yang kamu terima bersama-sama suamimu?”
“Ya,” jawabnya, “memang itu semuanya.”
9Lalu Petrus berkata kepadanya, “Mengapa kamu dan suamimu berpakat untuk mencubai Roh Tuhan? Lihatlah, beberapa orang muda yang menguburkan suamimu ada di depan pintu. Mereka pun akan mengusungmu ke luar.” 10Seketika itu juga isteri Ananias jatuh dan mati di hadapan Petrus. Orang muda di situ masuk dan mendapati Safira sudah mati. Oleh itu mereka membawa mayatnya ke luar dan menguburnya di sebelah suaminya. 11Dengan demikian jemaah dan semua orang lain yang mendengar peristiwa itu menjadi sangat takut.
Mukjizat dan Keajaiban
12Banyak mukjizat dan keajaiban dilakukan oleh rasul-rasul di kalangan orang ramai. Semua pengikut Yesus berkumpul di Serambi Salomo. 13Tidak ada orang di luar kelompok itu berani berkumpul dengan pengikut-pengikut Yesus, walaupun masyarakat sangat menghormati mereka. 14Tetapi bilangan mereka semakin bertambah, kerana banyak orang lelaki dan perempuan percaya kepada Tuhan. 15Oleh sebab mukjizat yang dilakukan oleh para rasul, orang sakit dibaringkan di atas tilam atau tikar, lalu dibawa ke jalan supaya setidak-tidaknya mereka terkena bayang Petrus, apabila dia lalu di situ. 16Banyak orang datang dari bandar-bandar di sekitar Yerusalem. Mereka membawa orang sakit dan orang yang dirasuk roh jahat, dan semua orang itu disembuhkan.
Rasul-Rasul Dianiaya
17Kemudian Imam Agung dan semua pengikutnya, yang termasuk golongan orang Saduki tempatan mula bertindak terhadap para rasul, kerana iri hati. 18Mereka menangkap rasul-rasul itu lalu memasukkan mereka ke dalam penjara awam. 19Tetapi pada malam itu, malaikat Tuhan membuka pintu-pintu penjara itu lalu memimpin rasul-rasul itu ke luar. Malaikat itu berkata kepada mereka, 20“Pergilah berdiri di Rumah Tuhan dan beritahu orang ramai tentang hidup yang baru ini.” 21Rasul-rasul itu menurut perintah malaikat itu. Pada waktu fajar mereka pergi ke Rumah Tuhan dan mula mengajar.
Imam Agung dan para pengikutnya memanggil semua pemimpin masyarakat Yahudi untuk mengadakan mesyuarat Majlis Agama. Kemudian mereka memberikan perintah supaya rasul-rasul itu diambil dari penjara untuk dibawa menghadap mereka. 22Tetapi apabila pegawai-pegawai itu tiba di penjara, mereka tidak mendapati rasul-rasul itu. Lalu mereka kembali dan melaporkan hal itu kepada Majlis Agama. 23Mereka berkata, “Apabila kami tiba di penjara, kami mendapati pintu penjara masih terkunci baik-baik, dan pengawal-pengawal sedang berjaga di pintu. Tetapi apabila kami membuka pintu itu, kami tidak mendapati seorang pun di dalamnya.” 24Apabila ketua-ketua imam dan ketua pengawal Rumah Tuhan mendengar laporan itu, mereka bingung tentang apa yang mungkin berlaku terhadap rasul-rasul itu. 25Kemudian seorang lelaki masuk dan memberitahu mereka, “Beberapa orang yang tuan-tuan tahan di penjara sedang mengajar orang ramai di Rumah Tuhan!” 26Oleh itu ketua pengawal Rumah Tuhan pergi dengan anak buahnya dan membawa rasul-rasul itu kembali. Tetapi mereka tidak menggunakan kekerasan, kerana mereka takut kalau-kalau orang ramai merejam mereka.
27Mereka membawa rasul-rasul itu ke hadapan Majlis Agama. Lalu Imam Agung berkata, 28#Mat 27.25 “Dengan tegas kami melarang kamu mengajar berdasarkan ajaran orang itu. Tetapi sekarang lihatlah apa yang sudah kamu lakukan! Kamu menyebarkan ajaran kamu ke seluruh Yerusalem, dan kamu mahu mendakwa kami bertanggungjawab atas kematiannya.”
29Petrus dan rasul-rasul yang lain menjawab, “Kami harus taat kepada Allah dan bukan kepada manusia. 30Yesus yang tuan-tuan salibkan, sudah dibangkitkan daripada kematian oleh Allah yang disembah nenek moyang kita. 31Allah mengangkat Dia ke tempat yang berkuasa di sebelah kanan-Nya, untuk menjadi Pemimpin dan Penyelamat, supaya umat Israel mendapat peluang untuk bertaubat dan beroleh pengampunan dosa. 32Kami menjadi saksi dalam semua perkara ini - kami dan juga Roh Allah, yang dikurniakan oleh Allah kepada orang yang mentaati perintah-Nya.”
33Apabila anggota-anggota Majlis Agama mendengar kata-kata itu, mereka marah sekali sehingga mereka mahu menghukum mati rasul-rasul itu. 34Tetapi di kalangan anggota Majlis Agama itu ada seorang Farisi bernama Gamaliel. Dia seorang guru Taurat yang sangat dihormati oleh semua orang. Dia berdiri lalu menyuruh orang membawa rasul-rasul itu ke luar sebentar. 35Lalu dia berkata kepada Majlis Agama itu, “Saudara-saudara orang Israel! Fikirkan baik-baik apa yang hendak saudara-saudara lakukan terhadap semua orang itu. 36Beberapa waktu dahulu, Teudas muncul dan menganggap dirinya seorang pemimpin yang besar. Kira-kira empat ratus orang mengikut dia. Tetapi dia terbunuh, lalu semua pengikutnya tercerai-cerai, dan pergerakannya lenyap. 37Setelah itu Yudas, orang dari Galilea pun muncul pada masa pembancian. Dia mempengaruhi banyak orang, tetapi dia juga terbunuh, lalu semua pengikutnya tercerai-cerai. 38Oleh itu tentang perkara ini sekarang, saya cadangkan supaya jangan ambil tindakan apa-apa terhadap semua orang itu. Biarkan mereka pergi. Jika apa yang dicadangkan dan dilakukan mereka itu daripada manusia, maka semuanya akan lenyap. 39Tetapi jika semua itu datang daripada Allah, saudara-saudara tidak akan dapat mengalahkan mereka. Malah mungkin akan ternyata bahawa saudara-saudara melawan Allah.”
Nasihat Gamaliel diterima oleh Majlis Agama. 40Rasul-rasul itu dipanggil, lalu dicambuk, kemudian dilarang mengajar lagi berdasarkan ajaran Yesus. Setelah itu mereka dibebaskan. 41Apabila rasul-rasul itu meninggalkan Majlis Agama, mereka bersukacita kerana Allah menganggap mereka layak menanggung hukuman bagi Yesus. 42Setiap hari, baik di Rumah Tuhan mahupun di rumah orang, mereka tidak berhenti-henti mengajarkan dan mengkhabarkan Berita Baik bahawa Yesus itulah Penyelamat yang diutus oleh Allah.

Currently Selected:

KISAH RASUL-RASUL 5: BMDC

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in

Video for KISAH RASUL-RASUL 5