YOHANES 8
8
Wanita yang Didapati Berzina
[ 1Kemudian semua orang pulang ke rumah, tetapi Yesus pergi ke Bukit Zaitun. 2Keesokan harinya, pagi-pagi sekali Dia pergi ke Rumah Tuhan dan semua orang di situ datang kepada-Nya. Dia duduk lalu mula mengajar mereka. 3Sementara itu guru Taurat dan orang Farisi membawa seorang wanita kepada Yesus. Wanita itu didapati berzina. Mereka menyuruh wanita itu berdiri di hadapan semua orang, 4lalu berkata kepada Yesus, “Guru, wanita ini tertangkap basah ketika berzina. 5#Im 20.10; Ul 22.22-24 Di dalam kitab Taurat, Musa memerintahkan agar wanita seperti ini direjam sehingga mati. Tetapi apakah pendapat guru?” 6Mereka bertanya demikian kerana hendak memerangkap Yesus, supaya mereka boleh menuduh Dia. Tetapi Yesus menunduk dan menulis di tanah dengan jari-Nya. 7Mereka terus-menerus bertanya kepadanya. Oleh itu Yesus meluruskan badan-Nya dan berkata kepada mereka, “Sesiapa di kalangan kamu yang tidak berdosa boleh melemparkan batu pertama untuk merejam dia.” 8Setelah itu Yesus menunduk semula dan menulis lagi di atas tanah. 9Apabila mereka mendengar Yesus berkata demikian, seorang demi seorang, mulai daripada yang tertua, meninggalkan tempat itu. Akhirnya hanya Yesus dan wanita yang masih berdiri itu ada di sana. 10Yesus meluruskan badan-Nya lalu berkata kepada wanita itu, “Di manakah mereka? Tidak adakah orang yang menghukum kamu?”
11“Tidak ada, tuan,” jawabnya.
“Baiklah,” kata Yesus, “Aku pun tidak menghukum kamu. Pergilah dan janganlah berdosa lagi.”]#Banyak naskhah dan terjemahan kuno tidak mempunyai bahagian ini (8.1-11); naskhah-naskhah lain menempatkannya sesudah Yoh 21.24; yang lain lagi menempatkannya sesudah Luk 21.38; dan sebuah naskhah menempatkannya sesudah Yoh 7.36.
Yesus, Cahaya bagi Dunia
12 #
Mat 5.14; Yoh 9.5 Yesus berkata lagi kepada orang Farisi, “Akulah cahaya bagi dunia. Orang yang mengikut Aku tidak akan berjalan dalam kegelapan, tetapi beroleh cahaya yang memberikan hidup.”
13 #
Yoh 5.31
Orang Farisi di situ berkata kepada-Nya, “Sekarang kamu memberikan kesaksian tentang dirimu sendiri, tetapi kesaksian kamu tidak dapat meyakinkan orang.”
14Yesus menjawab, “Meskipun Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian-Ku benar, kerana Aku tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi. Kamu tidak tahu dari mana Aku datang atau ke mana Aku pergi. 15Kamu menghakimi orang menurut cara manusia; Aku tidak menghakimi sesiapa pun. 16Tetapi seandainya Aku menghakimi orang, keputusan-Ku adil, kerana Aku tidak melakukannya seorang diri; Bapa yang mengutus Aku bersama-sama Aku. 17#Ul 19.15 Di dalam Taurat kamu tertulis: Apabila dua orang saksi memberikan kesaksian yang sama, maka kesaksian mereka benar. 18Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, dan Bapa yang mengutus Aku pun memberikan kesaksian tentang diri-Ku.”
19“Bapamu itu di mana?” tanya mereka.
Yesus menjawab, “Kamu tidak mengenal Aku ataupun Bapa-Ku. Jika kamu mengenal Aku, kamu pasti mengenal Bapa-Ku juga.”
20Yesus mengatakan semua ini semasa Dia mengajar di Rumah Tuhan, dekat peti wang persembahan. Tetapi tidak seorang pun menangkap Dia, kerana saat-Nya belum tiba.
Ke Tempat Aku Pergi, Kamu Tidak Boleh Pergi
21Yesus berkata lagi kepada mereka, “Aku akan pergi dan kamu akan mencari Aku, tetapi kamu akan mati dalam dosa kamu. Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.”
22Para penguasa Yahudi berkata, “Barangkali dia mahu membunuh diri, kerana dia berkata, ‘Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.’ ”
23Yesus berkata, “Kamu datang dari bawah, tetapi Aku datang dari atas. Kamu berasal dari dunia; Aku tidak berasal dari dunia. 24Itulah sebabnya Aku berkata kepada kamu, bahawa kamu akan mati dalam dosa kamu. Memang kamu akan mati dalam dosa kamu, jika kamu tidak percaya bahawa ‘Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU.’ ”#AKU: Mungkin sekali nama ini merujuk kepada nama yang diguna oleh Allah untuk menyatakan diri-Nya (Kel 3.14).
25“Kamu siapa sebenarnya?” tanya mereka.
Yesus menjawab, “Untuk apa berkata-kata lagi dengan kamu.#Untuk apa berkata-kata lagi dengan kamu; atau Aku ini semuanya yang Aku katakan kepada kamu dari permulaan. 26Masih banyak perkara tentang kamu yang perlu Aku katakan dan adili. Tetapi Dia yang mengutus Aku dapat dipercayai. Lagi pun Aku memberitahu dunia apa yang Aku dengar daripada Dia.”
27Mereka tidak mengerti bahawa Yesus sedang berkata-kata kepada mereka tentang Bapa. 28Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, “Apabila kamu meninggikan Anak Manusia pada kayu salib, barulah kamu tahu bahawa ‘Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU’. Kemudian kamu akan tahu bahawa tiada sesuatu pun yang Aku lakukan menurut kehendak-Ku sendiri. Aku hanya mengatakan apa yang diarahkan oleh Bapa kepada-Ku. 29Dia yang mengutus Aku ada bersama-sama Aku. Dia tidak pernah membiarkan Aku sendirian, kerana Aku sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya.”
30Pada masa Yesus berkata-kata demikian, banyak orang percaya kepada-Nya.
Orang Bebas dan Hamba
31Kemudian Yesus berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya, “Jika kamu taat kepada ajaran-Ku, kamu benar-benar pengikut-Ku. 32Kamu akan mengenal Allah. Oleh itu kamu akan dibebaskan.”#Kamu akan mengenal Allah…dibebaskan; Harfiah: dan kamu akan mengetahui kebenaran, dan kebenaran itu akan memerdekakan kamu.
33 #
Mat 3.9; Luk 3.8 Mereka berkata, “Kami keturunan Abraham. Kami belum pernah menjadi hamba sesiapa pun. Apakah maksud guru berkata, ‘Kamu akan bebas?’ ”
34Yesus berkata kepada mereka, “Apa yang Aku katakan ini benar: Setiap orang yang berbuat dosa adalah hamba dosa. 35Seorang hamba tidak selalunya menjadi anggota tetap sebuah keluarga, tetapi seorang anak selama-lamanya menjadi anggota sebuah keluarga. 36Oleh itu, jika Anak membebaskan kamu, kamu benar-benar bebas. 37Aku tahu kamu keturunan Abraham. Namun kamu berusaha untuk membunuh Aku, kerana kamu tidak mahu menerima ajaran-Ku. 38Aku mengatakan apa yang ditunjukkan oleh Bapa-Ku kepada-Ku, sedangkan kamu melakukan apa yang diajarkan oleh bapa kamu.”
39Mereka menjawab, “Bapa kami Abraham.”
Tetapi Yesus berkata, “Jika kamu benar-benar anak-anak Abraham, tentu kamu akan melakukan#Jika kamu benar-benar…tentu kamu akan melakukan; Beberapa buah naskhah kuno: Jika kamu…lakukanlah. apa yang dilakukan oleh Abraham. 40Yang Aku lakukan hanyalah memberitahu kamu kata-kata benar yang diberitahukan oleh Allah kepada-Ku. Namun kamu mahu membunuh Aku. Abraham tidak pernah berbuat demikian! 41Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh bapa kamu.”
Mereka menjawab, “Kami bukan anak haram. Bapa kami hanya satu, iaitu Allah sendiri.”
42Yesus berkata kepada mereka, “Seandainya Allah benar-benar Bapa kamu, tentu kamu akan mengasihi Aku, kerana Aku datang daripada Allah. Aku tidak datang dengan kehendak-Ku sendiri, tetapi Dialah yang mengutus Aku. 43Mengapa kamu tidak memahami apa yang Aku katakan? Hal itu demikian kerana kamu tidak tahan mendengar ajaran-Ku. 44Bapa kamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih suka menurut kehendak bapa kamu. Sejak permulaan, Iblis itu pembunuh. Dia tidak pernah memihak kebenaran, kerana tidak ada kebenaran padanya. Apabila Iblis berdusta, hal itu memang sudah sewajarnya, kerana dia pendusta dan asal segala dusta. 45Tetapi Aku mengatakan apa yang benar. Itulah sebabnya kamu tidak percaya kepada-Ku. 46Siapakah antara kamu dapat membuktikan bahawa Aku berdosa? Jika Aku mengatakan apa yang benar, mengapa kamu tidak percaya kepada-Ku? 47Orang yang berasal daripada Allah mendengar firman Allah. Tetapi kamu bukan daripada Allah, itulah sebabnya kamu tidak mahu mendengar firman-Nya.”
Yesus dan Abraham
48Orang Yahudi di situ berkata, “Memang betul apa yang kami katakan; kamu orang Samaria yang dirasuk syaitan.”
49Yesus berkata, “Aku tidak dirasuk syaitan. Aku menghormati Bapa-Ku, tetapi kamu menghina Aku. 50Aku tidak mencari kehormatan bagi diri-Ku sendiri. Tetapi ada satu yang menghendaki supaya Aku dihormati dan Dia akan menghakimi dengan adil. 51Apa yang Aku katakan ini benar: Orang yang taat kepada ajaran-Ku tidak akan mati.”
52Orang Yahudi di situ berkata kepada Yesus, “Sekarang kami tahu bahawa kamu benar-benar dirasuk syaitan! Abraham sudah mati; begitu juga semua nabi. Tetapi kamu berkata, ‘Orang yang taat kepada ajaran-Ku tidak akan mati.’ 53Abraham bapa kami sudah mati. Adakah kamu lebih besar daripada Abraham? Begitu juga semua nabi sudah mati. Pada sangkamu siapakah kamu ini?”
54Yesus menjawab, “Jika Aku mencari kehormatan untuk diri-Ku sendiri, kehormatan itu tidak berguna. Yang menghormati Aku ialah Bapa-Ku yang kamu anggap sebagai Allah kamu. 55Kamu tidak mengenal Dia, tetapi Aku mengenal Dia. Jika Aku berkata Aku tidak mengenal Dia, Aku pendusta seperti kamu. Aku mengenal Dia dan Aku mentaati firman-Nya. 56Bapa kamu Abraham bersukacita kerana akan melihat masa kedatangan-Ku. Dia sudah melihatnya dan dia bergembira.”
57Mereka berkata kepada Yesus, “Umurmu belum lagi lima puluh tahun dan kamu sudah melihat Abraham?”#Kamu sudah melihat Abraham?; Beberapa buah naskhah kuno: Adakah Abraham pernah melihat kamu?
58Yesus menjawab, “Apa yang Aku katakan ini benar: Sebelum Abraham dilahirkan, Aku sudah ada.”#Lihat Yoh 8.24.
59Kemudian semua orang Yahudi di situ memungut batu untuk merejam Yesus, tetapi Yesus menyembunyikan diri lalu meninggalkan Rumah Tuhan.
Currently Selected:
YOHANES 8: BMDC
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.