1 PETRUS 4
4
Hidup yang Baru
1Kerana Kristus sudah menanggung penderitaan secara jasmani, kamu juga mesti menguatkan diri dengan pendirian seperti itu. Hal ini demikian kerana sesiapa yang menanggung penderitaan secara jasmani, tidak lagi berbuat dosa. 2Oleh itu, selama kamu hidup di dunia ini, kamu mesti dikuasai oleh kehendak Allah dan bukan oleh keinginan manusia. 3Pada masa lampau, kamu sudah cukup lama melakukan apa yang suka dilakukan oleh orang yang tidak mengenal Allah. Hidup kamu tidak senonoh. Kamu menuruti hawa nafsu, bersifat pemabuk, berpesta liar, minum minuman keras dengan berlebih-lebihan, dan menyembah berhala yang menjijikkan. 4Sekarang orang yang tidak mengenal Allah hairan apabila kamu tidak mengikut cara hidup mereka yang jahat itu. Itulah sebabnya mereka menghina kamu. 5Tetapi mereka harus mempertanggungjawabkan hidup mereka kepada Allah yang siap menghakimi orang hidup dan orang mati. 6Itulah sebabnya Berita Baik sudah diisytiharkan juga kepada orang mati, supaya mereka yang telah diadili dalam keadaan jasmani - seperti halnya semua orang akan diadili - dapat hidup secara rohani menurut kehendak Allah.
Pengurus Kurnia Allah
7Tidak lama lagi segala sesuatu akan berakhir. Oleh itu, kamu harus mengawal diri dan berwaspada, supaya kamu dapat berdoa. 8 Inilah perkara yang terpenting: Kamu harus saling mengasihi dengan sepenuh hati, kerana jika kamu saling mengasihi, kamu juga bersedia untuk saling mengampuni. 9Hendaklah kamu saling menyambut saudara seiman di rumah tanpa bersungut-sungut. 10Setiap orang daripada kamu sudah menerima kurnia yang berlainan daripada Allah. Oleh itu sebagai pengurus yang baik bagi kurnia Allah, kamu mesti menggunakan kurnia-kurnia itu untuk kepentingan semua orang. 11Sesiapa yang menyampaikan perkhabaran, harus menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Sesiapa yang memberikan pertolongan kepada orang lain, harus melakukannya dengan kekuatan yang diberikan oleh Allah, supaya dalam segala hal Allah dimuliakan melalui Yesus Kristus. Kristuslah yang memiliki kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya. Amin.
Menanggung Penderitaan sebagai Orang Kristian
12Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Kamu sekarang menanggung penderitaan yang berat kerana kamu sedang diuji. Janganlah hairan dan janganlah anggap perkara itu luar biasa. 13Sebaliknya, bersyukurlah kerana kamu turut menanggung penderitaan bersama-sama Kristus. Dengan demikian kamu akan bersukacita, apabila kemuliaan Kristus dinyatakan kelak. 14Berbahagialah kamu jika kamu dihina kerana kamu pengikut Kristus. Hal ini bererti bahawa Roh yang mulia, iaitu Roh Allah ada pada kamu. 15Janganlah seorang pun antara kamu menanggung penderitaan kerana dia pembunuh, atau pencuri, atau penjahat, atau kerana dia mencampuri urusan orang lain. 16Tetapi jika kamu menanggung penderitaan oleh sebab kamu orang Kristian, janganlah malu kerananya. Bersyukurlah kepada Allah, kerana kamu pengikut Kristus.
17Tibalah saatnya Allah mengadili dunia. Mula-mula Dia akan mengadili umat-Nya sendiri. Jika kita yang mula-mula diadili, betapa dahsyatnya kesudahan orang yang tidak percaya kepada Berita Baik daripada Allah! 18 Di dalam Alkitab tertulis,
“Jika orang baik pun susah diselamatkan,
apa yang akan berlaku kepada orang berdosa yang tidak mengenal Allah?”
19Oleh itu, orang yang menanggung penderitaan kerana hal itu kehendak Allah, harus berbuat baik dan berserah kepada Pencipta mereka, yang sentiasa menepati janji-Nya.
Currently Selected:
1 PETRUS 4: BM
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.