YouVersion Logo
Search Icon

2 KORINTUS 2

2
1Oleh itu aku mengambil keputusan untuk tidak melawat kamu lagi supaya tidak menyedihkan kamu. 2Jika aku menyedihkan kamu, siapa pula yang dapat menggembirakan aku? Tentunya orang yang sudah aku sedihkan. 3Itulah sebabnya aku menulis surat itu kepada kamu. Dengan demikian apabila aku melawat kamu, aku tidak disedihkan oleh kamu yang seharusnya menggembirakan aku. Kerana aku yakin bahawa apabila aku gembira, kamu semua pun gembira. 4Aku menulis kepada kamu dengan hati yang sedih dan berat, dan dengan mencucurkan air mata. Aku tidak bermaksud hendak menjadikan kamu sedih, tetapi hendak menyedarkan kamu bahawa aku sangat mengasihi kamu.
Pengampunan bagi yang Bersalah
5Jika seseorang sudah menyedihkan orang lain, dia melakukannya bukan terhadap aku, tetapi terhadap kamu semua atau setidak-tidaknya beberapa orang daripada kamu. (Aku berkata demikian kerana aku tidak mahu bersikap terlalu keras terhadap orang itu.) 6Cukuplah sudah hukuman yang sudah dijatuhkan kepada orang itu oleh kebanyakan daripada kamu. 7Sekarang kamu harus mengampuni dia dan menggalakkan dia, supaya dia tidak terlalu sedih hati sehingga putus asa. 8Oleh itu aku meminta supaya kamu meyakinkan dia bahawa kamu benar-benar mengasihi dia. 9Aku menulis surat itu kepada kamu kerana aku hendak menguji kamu, sama ada kamu sentiasa sedia mentaati aku. 10Apabila kamu mengampunkan kesalahan seseorang, maka aku pun mengampuni dia. Hal itu demikian kerana pada waktu aku mengampuni dia - jika memang ada yang perlu diampunkan - aku mengampuninya di hadapan Kristus untuk kebaikan kamu. 11Aku berbuat demikian supaya Iblis tidak berpeluang untuk menguasai kita, kerana kita mengetahui rancangannya.
Kekhuatiran Paulus ketika di Troas
12Ketika aku tiba di Troas untuk mengkhabarkan Berita Baik tentang Kristus, aku mendapati Tuhan sudah membuka jalan untuk menyampaikan Berita Baik di situ. 13 Tetapi aku gelisah kerana aku tidak dapat menjumpai saudara kita Titus. Oleh itu aku mengucapkan selamat tinggal kepada orang di situ, lalu pergi ke Makedonia.
Kemenangan kerana Kristus
14Tetapi syukur kepada Allah! Kerana kami hidup bersatu dengan Kristus, kami sentiasa dipimpin oleh Allah untuk menyertai perarakan kemenangan Kristus. Allah menggunakan kami agar berita tentang Kristus tersebar seperti bau yang harum semerbak ke merata tempat. 15Kami seperti bau kemenyan yang harum, yang dipersembahkan oleh Kristus kepada Allah. Semerbak baunya merebak kepada orang yang sedang diselamatkan dan kepada orang yang sedang menuju kepada kebinasaan. 16Bagi orang yang sedang menuju kepada kebinasaan, perkhabaran daripada Allah seperti bau kematian yang membunuh. Tetapi bagi orang yang sedang diselamatkan, perkhabaran itu seperti bau harum yang membawa kehidupan. Siapakah yang layak untuk menjalankan tugas itu? 17Kami bukan seperti kebanyakan orang lain yang memperlakukan Berita Baik daripada Allah, seperti barang niaga yang murah. Tetapi kerana Allah sudah mengutus kami, kami melakukan tugas itu dengan ketulusan di sisi-Nya, sebagai hamba Kristus.

Currently Selected:

2 KORINTUS 2: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in