YouVersion Logo
Search Icon

KOLOSE 1

1
1Surat ini daripada Paulus, yang dengan kehendak Allah menjadi rasul Kristus Yesus, dan daripada saudara kita Timotius.
2Surat ini ditujukan kepada umat Allah di Kolose, yang setia bersatu dengan Kristus.
Semoga Allah Bapa kita mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan.
Doa Kesyukuran
3Kami sentiasa bersyukur kepada Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus, apabila kami berdoa untuk kamu. 4Hal itu demikian kerana kami telah mendapat berita tentang kepercayaan kamu kepada Kristus Yesus, dan tentang kasih kamu bagi semua umat Allah. 5Apabila Berita Baik, perkhabaran yang benar itu disampaikan kepada kamu dahulu, kamu mendengar tentang harapan yang diberikan oleh Berita Baik itu. Kerana kamu berharap akan apa yang disediakan oleh Allah untuk kamu di syurga, kamu percaya kepada Kristus dan mengasihi umat Allah. 6Berita Baik itu terus-menerus membawa berkat untuk manusia dan Berita Baik itu tersebar ke seluruh dunia, seperti yang berlaku di kalangan kamu sejak hari pertama kamu mendengar berita tentang rahmat Allah dan benar-benar menghayatinya. 7 Kamu mendengar hal itu daripada Epafras, rakan sekerja yang kami kasihi. Dia bekerja untuk Kristus bagi pihak kami dan dia dapat dipercayai. 8Dia memberitahu kami bahawa dengan kuasa Roh Allah kamu dapat saling mengasihi.
9Itulah sebabnya kami selalu berdoa bagi kamu, sejak kami mendengar berita tentang kamu. Kami berdoa kepada Allah supaya Roh Allah memberikan kebijaksanaan dan pengertian kepada kamu, sehingga boleh mengetahui kehendak Allah dengan sempurna. 10Dengan demikian kamu dapat hidup menurut kehendak Tuhan, dan sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya. Cara hidup itu akan menghasilkan pelbagai perbuatan yang baik, dan pengetahuan kamu tentang Allah akan bertambah juga. 11-12Semoga kamu dikuatkan oleh Allah dengan kuasa-Nya yang mulia, sehingga dapat menanggung derita dengan sabar. Dengan sukacita bersyukurlah kepada Bapa, yang telah menjadikan kamu layak menerima apa yang disediakan oleh Allah untuk umat-Nya dalam pemerintahan yang penuh dengan cahaya daripada Allah. 13Allah sudah menyelamatkan kita daripada kuasa kegelapan, dan memindahkan kita ke bawah pemerintahan Anak-Nya yang dikasihi-Nya. 14 Melalui Anak-Nya, Allah membebaskan kita dan mengampunkan dosa kita.
Kristus dan Peranan-Nya
15Kristus serupa dengan Allah, tetapi Kristus dapat dilihat, sedangkan Allah tidak. Kristus itu Anak sulung yang lebih utama daripada segala sesuatu yang diciptakan. 16Hal itu demikian kerana melalui Dialah Allah menciptakan segala sesuatu di syurga dan di atas bumi, segala sesuatu yang kelihatan dan yang tidak kelihatan, termasuk juga roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah. Allah menciptakan alam semesta melalui Kristus dan untuk Kristus. 17Kristus sudah ada, sebelum segala sesuatu ada. Kerana Dia juga, segala sesuatu mempunyai tempat yang bersesuaian. 18 Kristuslah kepala jemaah, iaitu tubuh-Nya. Dialah sumber kehidupan jemaah itu. Dialah Anak sulung Allah; Allah membangkitkan Dia daripada kematian, supaya Kristus sahaja yang menjadi terutama daripada segala sesuatu. 19Allah sendiri yang menentukan bahawa keperibadian Allah juga terdapat dengan sepenuhnya dalam diri Anak. 20 Melalui Anak juga, Allah mengambil keputusan untuk membawa segala sesuatu, baik yang di bumi mahupun yang di syurga, kembali kepada-Nya. Allah melakukan hal itu melalui kematian Anak-Nya di kayu salib.
21Dahulu kamu jauh daripada Allah, dan memusuhi Dia, kerana perbuatan dan fikiran kamu jahat. 22Tetapi sekarang, dengan kematian Anak-Nya, Allah telah menjadikan kamu sahabat-sahabat-Nya, sehingga kamu dapat dibawa menghadap Dia dalam keadaan yang suci, murni, dan tidak bercela. 23Tetapi kamu harus tetap percaya kepada Berita Baik itu dan dengan kepercayaan itu kamu dapat berdiri teguh. Janganlah lepaskan harapan yang kamu terima ketika mendengar Berita Baik daripada Allah. Itulah Berita Baik yang telah diisytiharkan kepada semua orang di dunia. Kerana Berita Baik itu, aku, Paulus menjadi hamba untuk mengisytiharkannya.
Pelayanan Paulus
24Sekarang aku bersukacita kerana boleh mengalami penderitaan untuk kepentingan kamu. Dengan penderitaan jasmani, aku melengkapi apa yang masih harus diderita oleh Kristus bagi pihak jemaah, iaitu tubuh-Nya. 25Aku dijadikan penolong jemaah oleh Allah untuk kepentingan kamu. Aku diberikan tugas untuk menyampaikan keseluruhan perkhabaran Allah, 26yang dirahsiakan oleh Allah kepada semua orang selama berabad-abad yang lalu, tetapi sekarang dinyatakan kepada umat-Nya. 27Allah merancang untuk menyatakan rahsia-Nya kepada umat-Nya; rahsia yang agung dan mulia untuk umat manusia. Inilah rahsia itu: Kristus tinggal dalam diri kamu, dan hal ini bererti bahawa kamu akan ikut menikmati kemuliaan Allah. 28Oleh itu kami mengisytiharkan Kristus kepada semua orang. Dengan segala kebijaksanaan kami memberikan amaran dan ajaran kepada mereka, supaya setiap orang dapat dibawa ke hadirat Allah sebagai orang yang matang dalam hal-hal rohani, kerana sudah bersatu dengan Kristus. 29Untuk mencapai tujuan itu aku bekerja keras dengan segala kekuatan yang diberikan oleh Kristus, dan kekuatan itu nyata dalam apa yang aku lakukan.

Currently Selected:

KOLOSE 1: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in