YouVersion Logo
Search Icon

RATAPAN 4

4
Penderitaan Yerusalem Setelah Jatuh
1Emas yang berkilauan telah menjadi pudar;
batu-batu Rumah TUHAN bertaburan di jalan.
2Dahulu kaum pemuda kota Sion seperti emas yang berharga,
tetapi sekarang mereka diperlakukan seperti belanga tembikar.
3Serigala betina pun tahu menyusui anaknya,
tetapi umat-Ku kejam seperti burung unta di padang gurun.
4Mereka membiarkan bayi mereka mati kehausan dan kelaparan;
anak-anak minta makanan, tetapi tiada sesiapa pun yang memberikan makanan.
5Orang yang dahulu makan makanan terbaik, sekarang mati kelaparan di jalan;
mereka yang dahulu hidup mewah, sekarang mengorek sampah mencari makanan.
6 Bangsaku telah dihukum lebih berat daripada penduduk Sodom,
yang musnah dalam sekelip mata kerana dihukum oleh Allah.
7Dahulu para pemimpin kami murni seperti salji yang putih bersih.
Mereka tegap dan kuat,
segar bugar dan sihat.
8Tetapi sekarang mereka terlantar di jalan dan tidak dikenali orang,
muka mereka menjadi lebih hitam daripada jelaga,
kulit mereka kerepot dan melekat pada tulang,
seperti kayu yang kering kerontang.
9Mereka menderita dan mati perlahan-lahan, kerana sama sekali tidak mempunyai makanan.
Orang yang mati di medan pertempuran, lebih beruntung daripada orang yang mati kelaparan.
10 Bencana yang menimpa bangsaku sangat mengerikan;
sehingga ibu yang penyayang terpaksa memasak anak sendiri untuk dimakan.
11TUHAN melampiaskan kemurkaan-Nya
dan membakar kota Sion sampai musnah.
12Di kalangan raja-raja dan penduduk dunia tidak seorang pun yang percaya
bahawa pintu gerbang Yerusalem dapat dimasuki musuh.
13Tetapi hal itu berlaku kerana nabi-nabinya telah berdosa,
dan imam-imamnya membunuh orang yang tidak bersalah.
14Para pemimpin kota Yerusalem bagai orang buta yang berjalan tidak tentu arah.
Pakaian mereka berlumuran darah sehingga tiada seorang pun mahu menyentuh mereka.
15Orang berkata, “Pergi dari sini! Kamu najis, jangan sentuh kami!”
Oleh itu mereka mengembara dari negeri ke negeri,
tetapi tidak disambut oleh sesiapa pun.
16TUHAN tidak mempedulikan mereka lagi; Dia sendiri mencerai-beraikan mereka.
Dia tidak lagi menghargai para imam atau mengasihani para pemimpin.
17Mata kami penat memandang, menantikan bantuan yang tidak kunjung datang.
Kami mengharapkan pertolongan daripada bangsa yang sebenarnya tidak dapat memberikan apa-apa.
18Musuh selalu mengawasi kami, sehingga kami tidak dapat keluar ke jalan.
Kematian kami sudah dekat, kerana hidup kami sudah berakhir.
19Orang yang mengejar kami lebih pantas daripada burung helang.
Mereka memburu kami di bukit-bukit, dan mengadang kami di padang gurun.
20Mereka menangkap orang yang memberi kami hidup,
iaitu raja pilihan TUHAN;
orang yang kami percayai untuk melindungi kami daripada penyerbu.
21Tertawalah, hai penduduk Edom dan Us, bergembiralah, selagi kamu dapat tertawa.
Kamu pun akan ditimpa bencana, dan menelanjangi diri kerana kamu mabuk.
22Sion telah menjalani hukuman kerana dosanya; kini TUHAN tidak akan membiarkan kami tinggal di tempat pembuangan lagi.
Tetapi engkau, hai Edom,
akan dihukum oleh TUHAN; dosa-dosamu akan didedahkan.

Currently Selected:

RATAPAN 4: BM

Highlight

Share

Copy

None

Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in