AMSAL 27
27
1 Jangan banggakan hari esok, kerana orang tidak tahu apa yang akan berlaku nanti.
2Biarlah orang lain memuji kamu - bahkan orang asing pun. Jangan puji diri sendiri.
3Batu dan pasir masih ringan jika dibandingkan dengan kesusahan yang disebabkan oleh kebodohan.
4Kemarahan itu kejam serta menghancurkan, tetapi tiada sesiapa dapat menghadapi kecemburuan.
5Lebih baik teguran yang terus terang daripada kasih yang tidak diungkapkan.
6Seorang kawan memukul dengan maksud baik, tetapi berwaspadalah apabila seorang musuh mencium kamu.
7Kalau kenyang, madu pun ditolak; kalau lapar, yang pahit pun terasa enak.
8Orang yang jauh dari rumah bagaikan burung yang tidak bersarang.
9Minyak wangi menggembirakan hati, tetapi kesusahan merunsingkan hati.
10Jangan lupa akan sahabatmu atau sahabat bapamu. Ketika kamu dalam kesusahan, jangan pergi ke rumah saudaramu; jiran yang dekat dapat lebih menolong kamu daripada saudara yang jauh.
11Hai anakku, hendaklah kamu bijak, supaya aku gembira dan dapat menjawab jika dicela.
12Orang yang bijak mengelakkan bahaya apabila melihatnya, tetapi orang bodoh membiarkan diri ditimpa malapetaka dan menyesal kemudian.
13Bodohlah orang yang berjanji menanggung hutang orang lain; miliknya harus diambil sebagai jaminan janjinya.
14Salam yang diteriakkan pada pagi-pagi sekali sama dengan kutukan.
15Isteri yang meleter bagaikan titisan air yang tidak henti-henti pada waktu hujan. 16Dia tidak dapat disuruh diam, sama seperti angin tidak dapat ditahan, dan minyak tidak dapat digenggam.
17Sebagaimana besi mengasah besi, demikianlah manusia belajar daripada satu sama lain.
18Orang yang memelihara pokok ara akan makan buahnya; orang yang melayani tuannya akan dihormati.
19Seperti air mencerminkan wajah, demikian juga hati orang mencerminkan orang yang sebenarnya.
20Di dunia orang mati, selalu ada tempat; begitu juga nafsu manusia tidak ada batasnya.
21Emas dan perak diuji dengan api; orang dinilai menurut sikapnya terhadap pujian.
22Walaupun orang bodoh dipukul hingga setengah mati, namun kebodohannya tidak lenyap.
23Peliharalah ternakan kamu baik-baik, 24kerana kekayaan tidak kekal. Bahkan kuasa untuk memerintah pun tidak tetap selama-lamanya. 25Kamu memotong rumput dan mengumpulkannya untuk ternakan kamu, tetapi sementara itu rumput yang baru tumbuh. 26Kamu dapat membuat pakaian daripada bulu domba. Kamu dapat membeli tanah daripada jualan kambing. 27Kambing yang selebihnya akan menghasilkan susu bagi kamu, keluarga kamu, dan pelayan perempuan.
Currently Selected:
AMSAL 27: BM
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.