MAZMUR 51
51
Doa Minta Ampun
1Untuk pemimpin koir. Mazmur Raja Daud 2 setelah baginda ditegur oleh Nabi Natan kerana berzina dengan Batsyeba.
3Kasihanilah aku, ya Allah, kerana kasih-Mu;
hapuskanlah dosa-dosaku, kerana belas kasihan-Mu sungguh besar.
4Basuhlah aku daripada segala kejahatanku,
dan bersihkanlah aku daripada dosaku.
5Aku mengakui kesalahanku;
aku sentiasa sedar akan dosaku.
6 Aku telah berdosa terhadap-Mu - terhadap-Mu sahaja,
dan aku melakukan perkara yang Engkau anggap jahat.
Maka patutlah Engkau menghakimi aku;
adillah Engkau ketika menghukum aku.
7Aku jahat sejak aku dilahirkan;
aku berdosa sejak aku dalam kandungan.
8Engkau menghendaki ketulusan hati;
penuhkanlah batinku dengan kebijaksanaan-Mu.
9Sucikanlah aku, maka aku akan menjadi bersih;
basuhlah aku, lalu aku akan menjadi lebih putih daripada salji.
10Biarlah aku mendengar suara kesukaan dan kegembiraan,
agar aku yang Engkau hancurkan dan remukkan,
akan menjadi gembira semula.
11Palingkanlah wajah-Mu daripada dosaku,
dan hapuskanlah segala kejahatanku.
12Ya Allah, ciptalah hati yang murni bagiku,
baharuilah batinku agar menjadi teguh.
13Janganlah buang aku daripada hadirat-Mu;
janganlah ambil Roh-Mu yang suci daripadaku.
14Buatlah aku gembira lagi kerana penyelamatan daripada-Mu,
dan berilah aku hati yang rela mentaati-Mu.
15Maka aku akan mengajarkan perintah-Mu kepada orang berdosa,
dan mereka akan kembali kepada-Mu.
16Ya Allah, lepaskanlah aku daripada maut, dan selamatkanlah aku,
lalu dengan sukacita aku akan memberitakan keadilan-Mu.
17Tolonglah aku berkata-kata,
ya Tuhan,
lalu aku akan memberi Engkau pujian.
18Engkau tidak mahu korban yang dipersembahkan;
jika aku mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati-Mu,
Engkau pun tidak berkenan.
19Persembahanku adalah hati yang hancur, ya Allah;
hati yang remuk dan sesal, akan Engkau terima.
20Tunjukkanlah kebaikan-Mu kepada Sion, ya Allah,
binalah tembok-tembok Yerusalem semula.
21Maka Engkau akan berkenan dengan persembahan yang layak,
serta korban-korban yang kami bakar;
di atas mazbah-Mu, lembu jantan akan dipersembahkan.
Currently Selected:
MAZMUR 51: BM
Highlight
Share
Copy
Want to have your highlights saved across all your devices? Sign up or sign in
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.