1 Raja-Raja 13

13
Hamba Allah dari Yehuda
1Kemudian datanglah seorang hamba Allah dari Yehuda ke Betel atas perintah TUHAN. Pada waktu itu Yerobeam sedang berdiri di sisi mazbah untuk membakar dupa. 2#2Raj 23:15,16.Atas perintah TUHAN, orang itu berseru terhadap mazbah itu, katanya, “Wahai mazbah! Wahai mazbah! Beginilah firman TUHAN, ‘Sesungguhnya, seorang anak akan lahir bagi keluarga Daud, Yosia namanya. Dia akan menjalankan ibadat korban di atasmu dengan para imam bukit-bukit pemujaan yang membakar dupa di atasmu, dan tulang-tulang manusia akan dibakar di atasmu.’ ” 3Pada hari itu juga dia memberitahukan suatu tanda ajaib, katanya, “Inilah tanda ajaib yang telah difirmankan TUHAN, ‘Sesungguhnya, mazbah ini akan terbelah, dan abu di atasnya akan tercurah.’ ”
4Apabila Raja Yerobeam mendengar perkataan yang diserukan hamba Allah itu terhadap mazbah di Betel, dia menghulurkan tangannya dari mazbah sambil berkata, “Tangkap dia!” Tetapi tangan yang dihulurnya kepada orang itu menjadi kaku sehingga tidak dapat ditariknya kembali. 5Mazbah itu pun terbelah dan abu tercurah dari atasnya, selaras dengan tanda ajaib yang diberitahukan oleh hamba Allah itu atas perintah TUHAN. 6Lalu raja berkata kepada hamba Allah itu, “Tolong mohon belas kasihan TUHAN, Allahmu, dan doakanlah aku, supaya tanganku dapat kembali.”
Maka hamba Allah itu memohonkan belas kasihan TUHAN sehingga tangan raja dapat kembali dan menjadi seperti sediakala. 7Kata raja kepada hamba Allah itu, “Mari singgah ke istanaku. Segarkanlah dirimu, sesudah itu aku hendak memberimu hadiah.”
8Tetapi kata hamba Allah itu kepada raja, “Sekalipun setengah istanamu kauberikan kepadaku, aku tidak mahu singgah di tempatmu. Aku pun tidak mahu makan roti atau minum air di tempat ini, 9kerana demikianlah firman TUHAN memerintahkan aku, ‘Jangan makan roti atau minum air. Jangan kembali melalui jalan yang telah kautempuh.’ ” 10Lalu pergilah dia melalui jalan lain dan tidak kembali melalui jalan yang ditempuhnya sewaktu dia datang ke Betel.
Seorang nabi tua di Betel
11Pada waktu itu ada seorang nabi tua yang tinggal di Betel. Anak-anaknya datang menceritakan kepadanya semua perbuatan yang dilakukan hamba Allah pada hari itu di Betel. Mereka juga menceritakan kepada ayah mereka perkataan yang diucapkannya kepada raja. 12Lalu ayah mereka bertanya kepada mereka, “Ke jalan manakah dia pergi?” Anak-anaknya pun menunjukkan jalan yang ditempuh hamba Allah yang datang dari Yehuda itu. 13Kemudian dia berkata kepada anak-anaknya, “Pelanailah keldai untukku.” Mereka memelanai keldai untuknya, lalu dia menungganginya. 14Dia pergi menyusul hamba Allah itu dan mendapatinya sedang duduk di bawah sebuah pokok oak. Lalu dia bertanya kepadanya, “Adakah engkau hamba Allah yang datang dari Yehuda?”
Jawabnya, “Ya, akulah dia.”
15Kemudian dia berkata kepadanya, “Mari, ikutlah aku ke rumah untuk makan roti.”
16Jawabnya, “Aku tidak dapat kembali bersama denganmu atau singgah di rumahmu. Aku pun tidak mahu makan roti atau minum air bersama denganmu di tempat ini, 17kerana kepadaku telah disampaikan firman TUHAN, ‘Jangan makan roti atau minum air di sana. Jangan kembali melalui jalan yang telah kautempuh.’ ”
18Lalu kata orang itu kepadanya, “Aku pun seorang nabi, sama seperti engkau. Ada malaikat yang bersabda kepadaku atas perintah TUHAN demikian, ‘Bawalah dia pulang bersamamu ke rumahmu, supaya dia makan roti dan minum air.’ ” Tetapi dia berbohong kepadanya.
19Maka kembalilah orang itu bersamanya, lalu makan roti dan minum air di rumahnya. 20Sementara mereka duduk menghadap meja, datanglah firman TUHAN kepada nabi yang telah membawa dia kembali. 21Lalu nabi itu berseru kepada hamba Allah yang datang dari Yehuda itu, katanya, “Beginilah firman TUHAN, ‘Kerana engkau telah menderhaka terhadap firman TUHAN dan tidak berpegang teguh pada perintah yang diberikan kepadamu oleh TUHAN, Allahmu, 22melainkan kembali lalu makan roti dan minum air di tempat ini padahal Dia telah berfirman kepadamu, “Jangan makan roti atau minum air di situ,” maka jenazahmu tidak akan masuk ke dalam kubur nenek moyangmu.’ ”
23Setelah makan roti dan minum air, dia memelanai keldai untuk nabi yang telah dibawanya kembali itu. 24Orang itu pun pergi, tetapi di jalan dia diadang seekor singa yang kemudian menewaskannya. Jenazahnya tercampak di jalan, sementara keldai dan singa itu berdiri di sisinya. 25Kemudian berlalulah beberapa orang di situ. Apabila melihat jenazah itu tercampak di jalan dengan singa berdiri di sisinya, pergilah mereka mengkhabarkan hal itu di kota tempat nabi tua itu tinggal.
26Ketika nabi yang mengajak orang itu berbalik dari jalannya mendengar hal itu, berkatalah ia, “Dialah hamba Allah yang menderhaka terhadap firman TUHAN. Oleh sebab itu TUHAN menyerahkan dia kepada singa yang kemudian mencabik dan menewaskannya, selaras dengan firman yang disampaikan TUHAN kepadanya.” 27Kemudian berkatalah dia kepada anak-anaknya, “Pelanailah keldai bagiku.” Mereka pun memelanainya. 28Dia pergi dan mendapati jenazah orang itu tercampak di jalan, sementara keldai dan singa itu berdiri di sisi jenazah itu. Singa itu tidak memakan jenazah itu, pula tidak mencabik keldai itu. 29Nabi itu mengangkat jenazah hamba Allah itu, meletakkannya ke atas keldai, dan membawanya pulang ke kotanya untuk meratapi dan menguburkannya. 30Diletakkannya jenazah itu di dalam kuburnya sendiri lalu mereka meratapi jenazah itu demikian, “Aduh, saudaraku!” 31Setelah menguburkannya, berkatalah dia kepada anak-anaknya, “Kalau aku mati, kuburkanlah aku dalam kubur tempat hamba Allah itu dikuburkan. Letakkanlah tulang-tulangku di sisi tulang-tulangnya. 32Kerana perkataan yang diserukannya atas perintah TUHAN terhadap mazbah yang ada di Betel dan terhadap semua kuil di bukit-bukit pemujaan di kota-kota Samaria pasti akan terjadi.”
33Yerobeam masih tidak berbalik daripada jalannya yang jahat walaupun sesudah terjadinya peristiwa itu. Sebaliknya, dia mengangkat pula daripada kalangan rakyat imam untuk bukit pemujaan, dan melantik sesiapa sahaja yang mahu menjadi imam di bukit pemujaan. 34Hal itu menyebabkan keluarga Yerobeam berdosa, sehingga mereka dilenyapkan dan dipunahkan dari muka bumi.

Terpilih Sekarang Ini:

1 Raja-Raja 13: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk