Pengkhutbah 5

5
Takut kepada Allah
1Jagalah langkahmu ketika kamu berjalan ke Rumah Allah! Menghampiri bait itu untuk mendengar memang lebih baik daripada mempersembahkan korban sebagaimana yang dilakukan oleh kalangan bodoh yang tidak tahu bahawa mereka berbuat jahat. 2Janganlah terburu-buru berkata-kata dengan mulutmu, dan janganlah hatimu segera mengeluarkan perkataan di hadapan Allah, kerana Allah di syurga walhal kamu berada di bumi. Maka biarlah sedikit sahaja perkataanmu. 3Sebagaimana punca impian ialah kesibukan berusaha, begitu jugalah terlalu banyak kata membawa pengucapan bodoh. 4#Mzm 66:13,14.Jika kamu bernazar kepada Allah, bersegeralah membayarnya kerana Allah tidak berkenan terhadap kalangan bodoh. Maka bayarlah nazarmu. 5Lebih baik tidak bernazar daripada kamu bernazar tetapi tidak membayar nazarmu. 6Usah membiarkan mulutmu menyebabkan kamu berdosa, dan usah berkata di hadapan malaikat bahawa kamu tersilap. Mengapa sampai Allah perlu murka atas kata-katamu lalu merosakkan pekerjaan tanganmu?
7Terlalu banyak kata dan impian hanyalah kesia-siaan. Maka takutlah kepada Allah.
Kekayaan itu sia-sia
8Usah kehairanan jika kamu melihat di suatu wilayah berlakunya penindasan orang miskin serta pencabulan terhadap keadilan dan kebenaran kerana ada pegawai tinggi yang diawasi oleh pegawai tinggi yang lain dan mereka itu pula diawasi oleh pegawai yang lebih tinggi lagi.
9Bumi amat beruntung jika antara semua umat, ada raja yang mengusahakan ladangnya. 10Pencinta wang tidak akan puas dengan wang dan begitu jugalah pencinta kelimpahan tidak akan puas dengan pendapatannya. Ini juga kesia-siaan. 11Apabila ada pertambahan harta, akan bertambah juga kalangan yang menghabiskannya. Maka keuntungan apa yang dikecap para pemilik harta kecuali sekadar melihatnya dengan matanya?
12Nyenyak tidurnya orang yang bekerja, sama ada dia makan sedikit atau banyak tetapi kekenyangan orang kaya memang tidak membolehkan dia tidur. 13Ada keburukan yang menyedihkan yang kulihat di bawah matahari: pemilik kekayaan mendapat kehancuran daripada harta kekayaan sendiri. 14Dan melalui pengelolaan yang buruk, kekayaan itu lenyap hinggakan tiada suatu pun yang ada lagi untuk anaknya. 15#Ayb 1:21; Mzm 49:17; 1Tim 6:7. Dengan telanjang seorang keluar daripada kandungan ibunya, dan dengan telanjang juga dia akan pergi. Tiada satu apa-apa pun hasil jerih payah usahanya yang dapat dibawa dalam tangannya. 16Ini juga keburukan yang menyedihkan. Sebagaimana dia datang, demikian jugalah pemergiannya. Maka keuntungan apakah yang diperoleh setelah berpenat lelah menjaring angin?
17Malah sepanjang usianya dia makan dalam kegelapan dan penuh dukacita serta mengalami pelbagai kesusahan, kesakitan dan kekesalan. 18Lihatlah, apa yang kuanggap baik dan tepat ialah dalam segala jerih payah seseorang di bawah matahari itu, dia perlu menikmati makan minum dan kesenangan yang diberikan Allah selama tempoh kehidupannya yang singkat itu. 19Setiap orang yang dirahmati Allah kekayaan, harta benda dan kuasa untuk menikmatinya, untuk menerima bahagiannya, dan untuk bersukacita dalam jerih payahnya — itu juga kurnia Allah. 20Dia tidak sering memikirkan hari-hari hidupnya kerana Allah membiarkan dia sibuk dengan kesukaan hatinya.

Terpilih Sekarang Ini:

Pengkhutbah 5: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk