Yohanes 18:19-40

Yohanes 18:19-40 AVB

Imam besar menyoal Yesus tentang murid-murid-Nya dan ajaran-Nya. Yesus menjawab, “Aku sentiasa bercakap terang-terangan kepada dunia. Aku sering mengajar di saumaah dan di Bait Suci, tempat semua orang Yahudi berhimpun. Tidak pernah Kukatakan apa-apa secara rahsia. Mengapakah kamu menyoal-Ku? Tanyalah mereka yang pernah mendengar apa yang Kukatakan kepada mereka. Mereka tahu apa yang Kukatakan itu.” Seorang pegawai di situ menampar Yesus sambil berkata, “Begitukah Kamu bercakap kepada seorang imam besar?” Yesus berkata kepadanya, “Sekiranya yang Kukatakan itu salah, tunjukkanlah kepada semua orang di sini apa kesalahan itu. Tetapi kalau kata-kata-Ku benar, mengapa kamu menampar-Ku?” Selepas itu, Hanas menyuruh orang membawa Yesus yang masih dalam keadaan terikat ke hadapan Imam Besar Kayafas. Simon Petrus masih berdiri berdiang. Maka orang di situ bertanya kepadanya, “Bukankah kamu seorang daripada murid orang itu?” Petrus menjawab, “Bukan!” Seorang daripada hamba imam besar ada di situ. Dia saudara kepada hamba yang ditetak putus telinganya oleh Petrus. Dia berkata kepada Petrus, “Bukankah kamu yang kulihat di taman itu bersama-Nya?” Petrus menyangkal-Nya lagi, dan sejurus selepas itu, ayam berkokok. Kemudian mereka membawa Yesus dari rumah Kayafas ke istana gabenor. Tetapi orang Yahudi tidak turut masuk ke dalam istana itu kerana pagi masih awal. Mereka tidak mahu terkena najis, kerana mereka hendak menyertai jamuan Paskah. Oleh yang demikian, Pilatus keluar menemui mereka. Dia bertanya, “Apakah tuduhanmu terhadap orang ini?” Mereka menjawab, “Jika orang ini tidak melakukan perbuatan jahat, sudah tentu kami tidak akan membawa-Nya ke hadapanmu.” Kemudian Pilatus berkata kepada mereka, “Ambillah Dia dan adili Dia mengikut undang-undangmu.” Orang Yahudi menjawab, “Kami tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk menjatuhkan hukum mati ke atas seseorang.” Dengan demikian akan terjadilah apa yang telah dikatakan oleh Yesus tentang cara kematian-Nya. Selepas itu, Pilatus masuk semula ke istana dan memanggil Yesus lalu bertanya, “Adakah Kamu Raja orang Yahudi?” Yesus menjawab, “Adakah kata-kata ini daripada dirimu sendiri, atau adakah orang lain mengatakannya kepadamu tentang diri-Ku?” Pilatus menjawab, “Adakah aku seorang Yahudi? Bangsa-Mu sendiri dan ketua-ketua imam telah membawa-Mu kepadaku. Apakah yang telah Kaulakukan?” Yesus menjawab, “Kerajaan-Ku bukanlah daripada dunia ini. Kiranya kerajaan-Ku dari dunia ini, tentulah para murid-Ku berjuang mempertahan-Ku daripada diserahkan kepada orang Yahudi. Tetapi kerajaan-Ku bukanlah dari sini.” Dengan demikian Pilatus pun berkata kepada-Nya, “Jadi, adakah Kamu seorang raja?” Yesus menjawab, “Betul katamu. Aku seorang raja. Aku dilahirkan ke dunia untuk memberikan kesaksian tentang kebenaran. Setiap orang yang memihak kepada kebenaran mendengar suara-Ku.” Pilatus berkata kepada-Nya, “Apakah itu kebenaran?” Kemudian dia keluar mendapatkan orang Yahudi lalu berkata, “Aku mendapati-Nya tidak bersalah sama sekali. Tetapi kamu ada satu adat, iaitu aku harus membebaskan seorang daripada bangsamu pada Perayaan Paskah. Mahukah kamu kubebaskan Raja orang Yahudi?” Mereka semua berteriak lagi, “Jangan bebaskan orang itu. Bebaskan Barabas.” Barabas itu seorang perompak.