Lukas 1:5-25

Lukas 1:5-25 AVB

Pada zaman Herodes, raja negeri Yudea, ada seorang imam bernama Zakharia daripada golongan Abia. Isterinya, Elisabet, daripada keturunan Harun. Kedua-duanya orang yang benar di hadapan Allah, dan mengikut segala perintah serta ketetapan Tuhan dengan sepenuhnya. Tetapi mereka tidak mempunyai anak kerana Elisabet mandul, dan kedua-duanya pun telah lanjut usia. Pada suatu hari Zakharia melaksanakan tugasnya sebagai imam di hadapan Allah menurut giliran golongannya bertugas. Mengikut peraturan keimaman, dia diundi masuk ke dalam Bait Suci Tuhan untuk membakar kemenyan. Orang ramai berhimpun di luar untuk beribadat sewaktu kemenyan dibakar. Lalu ternampak kepada Zakharia, malaikat Tuhan berdiri di sebelah kanan mazbah tempat pembakar kemenyan itu. Hati Zakharia berdebar apabila melihatnya dan dia berasa amat takut. Tetapi malaikat itu berkata kepadanya, “Janganlah takut, hai Zakharia, kerana permohonanmu telah dikabulkan. Isterimu Elisabet akan melahirkan seorang anak lelaki bagimu. Kamu hendaklah menamainya Yohanes. Kamu akan bergembira dan bersukacita apabila dia dilahirkan. Begitu juga ramai orang lain kerana dia akan menjadi mulia di mata Tuhan. Dia tidak akan minum air anggur atau minuman keras kerana dia akan dipenuhi dengan Roh Kudus sejak dari rahim ibunya lagi. Dia akan mengembalikan ramai orang Israel kepada Tuhan, Allah mereka, dan dia akan melangkah di hadapan Tuhan dengan roh dan kuasa Elia untuk mendamaikan hati bapa dengan anak dan mengembalikan orang ingkar kepada kebijaksanaan orang yang benar, supaya menyediakan suatu kaum yang bersiap sedia bagi Tuhan.” Zakharia berkata kepada malaikat itu, “Bagaimanakah aku dapat mengetahui perkara ini akan berlaku? Aku telah tua dan isteriku pun telah lanjut usianya.” Malaikat itu menjawab lagi, “Akulah Gabriel yang berdiri di hadirat Allah, telah diutuskan untuk menyampaikan berita baik ini kepadamu. Ketahuilah, oleh sebab engkau tidak percaya kepada kata-kataku ini yang akan dipenuhi pada masanya, engkau akan menjadi bisu dan tidak dapat bertutur hingga pada hari semua perkara ini berlaku.” Sementara itu, orang yang berhimpun itu ternanti-nanti akan Zakharia; mereka sangat hairan kerana dia begitu lama di dalam Bait Suci. Apabila dia keluar, dia tidak dapat bertutur kepada mereka. Maka ketahuilah mereka bahawa Zakharia telah nampak suatu penglihatan di dalam Bait Suci. Dia menggunakan isyarat dengan tangannya kerana dia tetap bisu. Setelah tamat masa perkhidmatannya, Zakharia pulang ke rumahnya. Kemudian, Elisabet, isterinya pun hamil lalu dia menyisihkan diri selama lima bulan, katanya, “Inilah perbuatan Tuhan bagiku. Pada hari-hari ini Dia telah berkenan menghapuskan aibku di hadapan orang.”