Matius 10:1-23

Matius 10:1-23 AVB

Yesus memanggil dua belas orang murid-Nya lalu memberi mereka kuasa untuk menghalau roh-roh jahat dan menyembuhkan pelbagai penyakit dan kesakitan. Nama dua belas orang itu ialah: Simon yang dipanggil Petrus, dan saudaranya Andreas; Yakobus dan saudaranya Yohanes, iaitu anak-anak Zebedeus; Filipus dan Bartolomeus; Tomas, dan Matius yang dahulunya pemungut cukai; Yakobus anak Alfeus, dan Tadeus; Simon orang Patriot, dan Yudas Iskariot yang mengkhianati Dia. Yesus mengutus dua belas orang murid itu dengan petunjuk demikian: “Janganlah pergi ke daerah bangsa-bangsa asing atau ke kota orang Samaria. Pergilah kepada domba-domba hilang antara keturunan kaum Israel. Pergilah dan khabarkanlah bahawa kerajaan syurga sudah dekat. Sembuhkanlah orang yang sakit, hidupkan orang yang mati; ubati orang yang berpenyakit kusta dan halaukan roh-roh iblis. Sebagaimana pemberian dilimpahkan kepadamu, limpahkanlah pemberian. Janganlah bawa wang emas, perak mahupun tembaga dalam tali pinggangmu. Jangan bawa beg, atau dua helai baju, atau kasut, atau tongkat dalam perjalananmu, kerana seorang pekerja layak menerima makanannya. Apabila kamu sampai di suatu bandar atau pekan, carilah seorang yang rela menyambutmu. Menetaplah di rumahnya hingga kamu beredar dari tempat itu. Ketika kamu masuk ke rumah itu, berilah salam. Jika penghuni di rumah itu layak, biarlah salam sejahteramu merestui mereka. Jika tidak, biarlah salammu itu kembali kepadamu. Sekiranya sesuatu rumah atau bandar enggan menyambutmu atau mendengar kata-katamu, tinggalkanlah tempat itu dan kebaskanlah debu daripada tapak kakimu. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu: pada hari penghakiman itu, hukuman atas Sodom dan Gomora lebih ringan daripada atas bandar itu.” “Dengarlah, Aku mengutus kamu seperti domba ke tengah-tengah serigala. Hendaklah kamu bijak seperti ular dan tulus seperti merpati. Berhati-hatilah, kerana kamu akan ditangkap lalu diseret ke mahkamah, dan akan disebat di saumaah mereka. Kerana-Ku, kamu akan dibawa ke hadapan pemerintah dan raja sebagai saksi kepada mereka dan kepada bangsa yang tidak mengenal Allah. Ketika mereka menangkapmu, janganlah khuatir tentang apa yang harus kamu katakan atau bagaimana kamu harus mengatakannya. Kamu akan diberitahu apa yang harus kamu katakan pada waktu itu. Bukanlah kamu yang bertutur, tetapi Roh Bapamu yang bertutur melaluimu. Saudara akan berlaku khianat terhadap saudara, bapa terhadap anak, dan anak terhadap ibu bapa, lalu menyerahkan mereka untuk dibunuh. Kamu akan dibenci oleh semua orang kerana nama-Ku. Tetapi sesiapa yang bertahan hingga ke akhir akan diselamatkan. Apabila kamu dianiaya di sesuatu bandar, larilah ke bandar lain. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Anak Manusia akan datang semula sebelum kamu sempat menyelesaikan kunjungan di semua bandar di Tanah Israel.