Matius 12

12
Tuhan atas hari Sabat
1 # Ul 23:25. Pada suatu hari Sabat, Yesus berjalan melalui ladang gandum. Para murid-Nya lapar lalu memetik bulir gandum dan memakannya. 2Apabila orang Farisi melihat perkara ini, mereka berkata kepada Yesus, “Lihatlah, murid-Mu melakukan sesuatu yang dilarang pada hari Sabat!”
3 # 1Sam 21:1-6. Yesus menjawab, “Tidakkah kamu membaca apa yang dilakukan oleh Daud apabila dia dan mereka yang ada bersamanya berasa lapar? 4#Im 24:9.Daud masuk ke dalam Rumah Allah, lalu dia dan mereka yang ada bersamanya makan roti persembahan, meskipun perbuatan itu dilarang kerana hanya imam dibenarkan makan roti itu. 5#Bil 28:9,10.Tidakkah kamu baca dalam Taurat Musa betapa setiap hari Sabat imam di Bait Suci melanggar hukum hari Sabat? Namun demikian, mereka tidak disalahkan. 6Aku berkata kepadamu: Di sini ada yang lebih besar daripada Bait Suci. 7#Mat 9:13. Hos 6:6.Ada tersurat: ‘Aku menghendaki belas kasihan, bukan korban sembelihan.’ Jika kamu benar-benar memahami ayat itu, tentulah tidak kamu salahkan orang yang tidak bersalah; 8kerana Anak Manusia ialah Tuhan atas hari Sabat.”
9Yesus beredar dari situ lalu masuk ke sebuah saumaah#12:9 Saumaah: Tempat ibadat bani Israel. Juga dikenali sebagai rumah ibadat. mereka. 10Di situ ada seorang yang lumpuh sebelah tangannya. Beberapa orang cuba mencari alasan untuk menuduh Yesus. Mereka bertanya kepada-Nya, “Tidakkah menyembuhkan orang pada hari Sabat melanggar hukum?”
11 # Luk 14:5. Yesus menjawab, “Apakah yang akan kamu lakukan jika seorang daripadamu mempunyai seekor domba, dan pada hari Sabat domba itu terjatuh ke dalam lubang? Tentulah kamu berusaha untuk menariknya keluar. 12Betapa lebih berharganya manusia daripada domba? Oleh itu, berbuat baik pada hari Sabat tidak melanggar hukum.”
13Setelah itu, Yesus berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, “Hulurkanlah tanganmu.” Orang itu pun menghulurkan tangannya yang lumpuh lalu tangan itu terus sembuh sama seperti yang sebelahnya. 14Ketika itu orang Farisi beredar dari situ lalu berpakat hendak membunuh Yesus.
Yesus Hamba Allah
15Apabila Yesus mengetahui pakatan itu, Dia pun meninggalkan tempat itu. Ramai orang mengikut-Nya dan ramai yang disembuhkan-Nya daripada pelbagai penyakit. 16Dia melarang keras mereka mengatakan siapa Dia. 17Dengan demikian terjadilah firman Allah melalui Nabi Yesaya:
18 # Yes 42:1-4. “Inilah hamba-Ku yang telah Kupilih,
Yang Kukasihi dan Kuredai.
Aku akan menaruh Roh-Ku ke atas-Nya,
dan keadilan-Ku akan diisytiharkan-Nya kepada semua bangsa.
19Dia tidak akan bertengkar atau membentak,
ataupun bersuara lantang di jalan raya.
20Sehelai rumput mensiang yang terkulai tidak akan dipatahkan-Nya,
dan sumbu yang malap tidak akan dipadamkan-Nya,
sehingga Dia berjaya menegakkan keadilan.
21Dalam nama-Nya, bangsa-bangsa asing akan bersandar harap kepada-Nya.”
Yesus dan Beelzebul
22Setelah itu, seorang yang buta dan bisu kerana dirasuk roh iblis dibawa kepada Yesus lalu disembuhkan-Nya. 23Orang ramai di situ ketakjuban lalu bertanya sama sendiri, “Mungkinkah Dia ini Anak Daud?”
24 # Mat 9:34; 10:25. Apabila orang Farisi mendengar tentang itu, mereka menjawab, “Dia dapat menghalau roh-roh iblis kerana diberi kuasa oleh Beelzebul, ketua roh iblis.”
25Yesus mengetahui isi hati mereka lalu berkata, “Kerajaan yang berpecah belah akan hancur lebur dan kota atau keluarga#12:25 Keluarga merujuk kepada seisi rumah termasuk sanak saudara, pembantu rumah dan semua penghuni dalam rumah keluarga itu. yang berpecah belah tidak dapat bertahan. 26Begitu juga, andainya Iblis mengusir Iblis, dia akan berpecah belah, dan bagaimanakah kerajaannya dapat bertahan? 27Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan kuasa Beelzebul, maka dengan kuasa siapakah pula pengikut-pengikutmu menghalau roh-roh iblis? Oleh itu, merekalah yang akan menjadi hakimmu. 28Tetapi jika Aku menghalau roh-roh iblis dengan Roh Allah, maka sesungguhnya kerajaan Allah sudah bertapak dalam kalanganmu.
29 # Tob 8:3. Atau bagaimanakah orang dapat memasuki rumah seorang yang gagah dan merampas harta bendanya kecuali orang gagah itu dapat diikat dahulu? Selepas itu, barulah dia dapat merompak rumahnya.
30 # Mrk 9:40. Orang yang tidak berpihak kepada-Ku menentang-Ku; dan orang yang tidak mengumpulkan bersama-Ku mencerai-beraikan. 31Ketahuilah: Orang yang berbuat dosa dan mengucapkan kata-kata kufur akan diampuni, tetapi mereka yang mengkufuri Roh Kudus tidak akan diampuni. 32#Luk 12:10.Orang yang menentang Anak Manusia dengan kata-katanya dapat diampuni, tetapi mereka yang menghina Roh Kudus tidak dapat diampuni, baik di dunia mahupun di akhirat.”
33 # Sir 27:6; Mat 7:20; Luk 6:44. “Jika kamu ingin mendapat buah yang baik, kamu harus mempunyai pokok yang baik. Jika pokok tidak baik, buahnya pun tidak baik. Baik tidaknya pokok diketahui daripada buahnya. 34#Mat 3:7; 23:33; Luk 3:7. Mat 15:18; Luk 6:45.Hai kamu bagaikan ular kapak berbisa, bagaimana dapat kamu tuturkan perkara yang baik sedangkan dirimu jahat? Yang diluahkan mulut meluap daripada hati. 35Orang yang baik membuahkan hal-hal baik daripada khazanah simpanannya kerana hatinya penuh kebaikan. Orang yang jahat membuahkan hal-hal jahat kerana hatinya penuh kejahatan. 36Aku berkata kepadamu: Pada hari penghakiman, setiap orang harus mempertanggungjawabkan setiap katanya yang tidak sewajarnya dituturkan. 37Kata-katamu sendiri akan dijadikan ukuran sama ada kamu bersalah atau tidak, dan dengan kata-katamu sendiri pula kamu dihukum.”
Petanda Yunus
38 # Mat 16:1; Mrk 8:11; Luk 11:16. Selepas itu, beberapa orang ahli Taurat dan orang Farisi berkata kepada Yesus, “Guru, kami ingin melihat suatu tanda mukjizat daripada-Mu.”
39 # Mat 16:4; Mrk 8:12. Tetapi Yesus menjawab, “Manusia zaman yang durjana dan tidak setia ini ingin melihat tanda mukjizat. Tetapi satu tanda pun tidak akan ditunjukkan kepadanya kecuali tanda nabi Yunus. 40#Yun 1:17.Sebagaimana Yunus tinggal tiga hari tiga malam di dalam perut ikan besar, begitu jugalah Anak Manusia akan tinggal tiga hari tiga malam di dalam perut bumi. 41#Yun 3:5.Pada hari penghakiman, orang Niniwe akan bangkit bersama orang zaman ini dan menuduhnya pula kerana orang Niniwe itu bertaubat apabila mendengar perkhabaran Yunus; dan sekarang di sini ada yang lebih besar daripada Yunus. 42#1Raj 10:1-10; 2Taw 9:1-12.Pada hari penghakiman, Ratu Syeba dari Selatan akan bangkit bersama orang zaman ini dan menuduhnya pula, kerana dia telah datang dari hujung bumi untuk mendengar hikmah Raja Salomo; dan sekarang di sini ada yang lebih besar daripada Raja Salomo.
43Apabila roh jahat keluar daripada seseorang, roh itu akan menjelajahi kawasan yang tandus untuk mencari tempat berehat. Sekiranya tempat itu tidak ditemukannya, 44roh itu akan berkata, ‘Aku akan pulang ke rumah yang telah kutinggalkan.’ Roh itu pun pulang dan mendapati rumah itu kosong, bersih dan kemas. 45Roh itu lalu pergi memanggil tujuh roh lain yang lebih durjana daripadanya. Semuanya memasuki tubuh orang itu dan menetap di situ. Akhirnya keadaan orang itu lebih teruk daripada dahulu. Inilah yang akan terjadi kepada manusia durjana zaman ini.”
Yesus dan sanak saudara-Nya
46Sedang Yesus berbicara dengan orang ramai, ibu dan saudara-saudara-Nya datang berdiri di luar kerana hendak bercakap dengan Yesus. 47Seorang daripada orang ramai itu memberitahu Yesus, “Ibu dan saudara-saudara-Mu ada di luar dan hendak bercakap dengan-Mu.”
48Tetapi Yesus menjawab, “Siapakah ibu-Ku? Siapakah saudara-saudara-Ku?” 49Dia menunjuk kepada murid-murid-Nya lalu berkata, “Inilah ibu-Ku dan saudara-saudara lelaki-Ku. 50Sesiapa yang melakukan kehendak Bapa-Ku yang di syurga, merekalah saudara lelaki, saudara perempuan dan ibu-Ku.”

Terpilih Sekarang Ini:

Matius 12: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk