Markus 2:1-12

Markus 2:1-12 AVB

Beberapa hari kemudian, Yesus pulang ke Kapernaum dan tersebarlah khabar itu. Ramailah orang datang berhimpun di rumah tempat Dia tinggal itu, sehingga penuh sesak sampai ke pintu. Yesus pun menyampaikan firman kepada mereka. Datanglah empat orang mengusung seorang yang lumpuh. Mereka tidak dapat membawanya kepada Yesus kerana orang ramai itu. Oleh itu, mereka membuka bumbung rumah betul-betul di atas tempat Yesus berada lalu menurunkan orang lumpuh yang terbaring di atas tikar. Ketika Yesus melihat iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Anak-Ku, dosamu telah diampunkan.” Ahli-ahli Taurat yang duduk di situ berkata dalam hati, “Lancangnya orang ini mengkufuri Allah! Tiada siapa boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!” Tetapi Yesus segera mengetahui dalam roh-Nya bahawa mereka berfikir demikian lalu berkata, “Mengapa kamu berfikir begitu dalam hatimu? Manakah yang lebih mudah dikatakan kepada orang lumpuh itu: ‘Dosamu telah diampunkan,’ atau, ‘Bangun, angkat tikarmu dan berjalan’? Tetapi supaya kamu tahu bahawa di bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa...” Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Aku berkata kepadamu, bangun, angkat tikarmu, dan pulanglah.” Di hadapan mata mereka semua, orang lumpuh itu pun bangun, mengangkat tikarnya lalu segera berjalan ke luar. Semua orang di situ tercengang lalu memuji Allah. Mereka berkata, “Belum pernah kami lihat kejadian begini!”