KOLOSE Kata Pengantar

Kata Pengantar
Kolose adalah sebuah kota di Asia Kecil, di sebelah timur kota Efesus. Paulus tidak memulakan jemaah di Kolose, tetapi ketika dia mengutus pekerja-pekerja dari Efesus, ibu kota wilayah Roma di Asia, Paulus merasa bertanggungjawab juga atas jemaah di Kolose. Paulus mendapat berita bahawa antara jemaah di situ terdapat guru-guru yang mengajarkan ajaran salah. Mereka berkeras bahawa untuk mengenal Allah dan mendapat penyelamatan yang sempurna, orang mesti menyembah “roh-roh yang menguasai dan memerintah alam semesta.” Di samping itu, guru-guru itu berkata bahawa orang mesti mentaati peraturan bersunat, pantang dan sebagainya.
Surat Paulus kepada Jemaah di Kolose ditulis untuk menentang ajaran-ajaran itu dan untuk mengemukakan ajaran Kristian yang benar. Inti surat ini menjelaskan bahawa Yesus Kristus dapat memberikan penyelamatan yang sempurna, dan bahawa ajaran-ajaran lain itu hanya menjauhkan orang daripada Kristus. Melalui Kristus, Allah menciptakan dunia ini, dan melalui Kristus juga Allah menyelamatkannya. Hanya melalui bersatu dengan Kristus, dunia mempunyai harapan untuk diselamatkan. Kemudian Paulus menjelaskan pertalian ajaran itu dengan kehidupan orang Kristian.
Perlu dikemukakan di sini bahawa Tikhikus, yang membawa surat ini ke Kolose bagi pihak Paulus, disertai oleh Onesimus. Onesimus itu seorang abdi yang disuruh oleh Paulus supaya kembali kepada tuannya Filemon, seorang anggota jemaah di Kolose.
Kandungan
Pendahuluan 1.1-8
Sifat dan Peranan Kristus 1.9—2.19
Hidup Baru yang Dialami Orang Kristian 2.20—4.6
Penutup 4.7-18

Terpilih Sekarang Ini:

KOLOSE Kata Pengantar: ABBDK96

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk