KEJADIAN 25

25
Keturunan Abraham daripada Isterinya yang Lain
(1 Taw 1.32-33)
1Abraham berkahwin lagi dengan seorang perempuan yang bernama Ketura. 2Isterinya itu melahirkan Zimran, Yoksan, Medan, Midian, Ishbak, dan Suah. 3Yoksan ialah bapa Syeba dan Dedan. Keturunan Dedan ialah orang Asyur, orang Letus, dan orang Leum. 4Anak Midian ialah Efa, Efer, Henokh, Abida, dan Eldaa. Mereka semuanya keturunan Ketura.
5Walaupun Abraham mewariskan segala harta bendanya kepada Ishak, 6semasa Abraham masih hidup, dia memberikan hadiah kepada anak-anak yang dilahirkan oleh isteri-isterinya yang lain. Kemudian dia menyuruh anak-anaknya itu pindah ke daerah di sebelah timur Kanaan, jauh daripada Ishak, anaknya.
Abraham Meninggal dan Dikuburkan
7-8Abraham meninggal ketika umurnya sudah lanjut, iaitu 175 tahun. 9Anak-anaknya Ishak dan Ismael mengebumikan dia di dalam Gua Makhpela yang terletak di tanah sebelah timur Mamre. Dahulu tanah itu milik Efron anak Zohar, orang Het, 10#Kej 23.3-16 tetapi sudah dibeli oleh Abraham daripada orang Het itu. Sara, isteri Abraham, juga dikebumikan di sana. 11Selepas Abraham meninggal, Allah memberkati Ishak, anak Abraham, yang tinggal berhampiran dengan perigi yang disebut “Perigi Dia Yang Hidup Yang Melihat Aku.”
Keturunan Ismael
(1 Taw 1.28-31)
12Ismael ialah anak Abraham dan Hagar, perempuan Mesir, hamba Sara. 13Berikut ialah nama anak-anak Ismael menurut urutan kelahiran mereka: Nebayot, Kedar, Adbeel, Mibsam, 14Misyma, Duma, Masa, 15Hadad, Tema, Yetur, Nafis, dan Kedma. 16Mereka menjadi nenek moyang dua belas suku; pekan dan perkhemahan mereka disebut menurut nama mereka. 17Ismael berumur 137 tahun ketika dia meninggal. 18Keturunan Ismael tinggal di kawasan di antara Hawila dan Syur, di sebelah timur Mesir ke arah Asyur. Mereka hidup terpisah daripada keturunan Abraham yang lain.
Kelahiran Esau dan Yakub
19Inilah kisah Ishak, anak Abraham. 20Ishak berumur empat puluh tahun ketika dia berkahwin dengan Ribka anak Betuel, adik Laban, seorang Aram dari Mesopotamia. 21Oleh sebab Ribka tidak mempunyai anak, Ishak berdoa kepada TUHAN untuk isterinya. TUHAN mengabulkan doanya sehingga Ribka mengandung. 22Ribka mengandung anak kembar. Sebelum anak-anak itu lahir, mereka bergelut di dalam rahim. Ribka berkata, “Mengapakah perkara seperti ini harus berlaku kepadaku?” Oleh itu dia memohon petunjuk daripada TUHAN.
23 # Rm 9.12 TUHAN berfirman kepadanya,
“Dua bangsa berada di dalam kandunganmu.
Engkau akan melahirkan dua bangsa yang bermusuhan.
Yang seorang lebih kuat daripada yang lain;
yang sulung akan melayani yang bongsu.”
24Masanya tiba bagi Ribka untuk bersalin, lalu dia melahirkan anak lelaki kembar. 25Anak yang sulung kemerah-merahan dan kulitnya seperti jubah yang berbulu, maka anak itu dinamakannya Esau.#Esau: Nama ini mungkin merujuk kepada Seir, daerah yang didiami oleh keturunan Esau pada kemudian hari; Seir bunyinya seperti perkataan Ibrani yang bermakna “berbulu”. 26Apabila anak yang kedua dilahirkan, tangannya memegang tumit Esau, maka anak itu dinamakannya Yakub.#Yakub: Nama ini bunyinya seperti perkataan Ibrani yang bermakna “tumit”. Ishak berumur enam puluh tahun ketika anak-anak itu dilahirkan.
Esau Menjual Haknya sebagai Anak Sulung
27Kedua-dua orang anak itu membesar; Esau menjadi seorang pemburu yang mahir dan suka tinggal di padang, tetapi Yakub bersifat tenang dan suka tinggal di khemah. 28Ishak lebih sayang kepada Esau kerana dia suka makan daging binatang buruan, tetapi Ribka lebih sayang kepada Yakub.
29Pada suatu hari ketika Yakub sedang memasak bubur kacang merah, Esau pulang dari berburu. Esau berasa lapar, 30lalu berkata kepada Yakub, “Aku kelaparan; berilah aku sedikit kacang merah itu.” (Itulah sebabnya dia disebut Edom.)#Edom: Nama ini bunyinya seperti perkataan Ibrani yang bermakna “merah”.
31Yakub menjawab, “Aku akan memberikan kacang merah itu kepadamu, jika engkau menyerahkan hakmu sebagai anak sulung kepadaku.”
32Esau berkata, “Peduli apa hak itu bagiku. Aku lapar setengah mati!”
33 # Ibr 12.16 Yakub menjawab, “Bersumpahlah dahulu bahawa kamu akan menyerahkan hakmu kepadaku.”
Esau bersumpah dan menyerahkan haknya kepada Yakub. 34Kemudian Yakub memberikan roti dan sebahagian bubur kacang merah itu kepadanya. Esau makan dan minum, lalu pergi. Demikianlah Esau tidak menghargai haknya sebagai anak sulung.

Terpilih Sekarang Ini:

KEJADIAN 25: BMDC

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk