ROMA Kata Pengantar

Kata Pengantar
Surat Paulus kepada Jemaah di Roma ditulis untuk menyediakan jemaah di situ bagi lawatan Paulus. Dia bercadang untuk bekerja antara orang Kristian di situ untuk sementara waktu. Kemudian dengan pertolongan mereka, dia berharap untuk meneruskan perjalanan ke Sepanyol. Dalam suratnya, Paulus menjelaskan makna kepercayaan kepada Yesus dan petunjuk yang praktis bagi kehidupan orang Kristian.
Setelah Paulus menyampaikan salam kepada jemaah di Roma dan memberitahu mereka bahawa dia berdoa bagi mereka, Paulus menyatakan tema suratnya: “Berita Baik itu menunjukkan cara bagaimana hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula, iaitu melalui kepercayaan kepada Allah, dari mula sehingga akhir” (1.17).
Kemudian Paulus menghuraikan tema itu. Semua orang, baik Yahudi mahupun bukan Yahudi, perlu berbaik semula dengan Allah, kerana mereka semua dalam kekuasaan dosa. Hubungan manusia dengan Allah menjadi baik, apabila mereka percaya kepada Yesus Kristus. Kemudian Paulus menjelaskan hidup baru yang dialami orang Kristian kerana hidup bersatu dengan Kristus. Hidup baru itu hasil daripada hubungan baru dengan Allah. Orang yang percaya kepada Yesus hidup damai dengan Allah. Mereka dibebaskan oleh Roh Allah daripada kuasa dosa dan maut. Dalam fasal 5-8 Paulus juga menjelaskan matlamat Taurat Allah dan kuasa Roh Allah dalam kehidupan orang yang percaya kepada Yesus. Kemudian Paulus menjelaskan hubungan antara orang Yahudi dan bukan Yahudi dalam rancangan Allah untuk umat manusia. Paulus menyimpulkan bahawa penolakan orang Yahudi terhadap Yesus adalah sebahagian daripada rancangan Allah. Hal itu berlaku supaya umat manusia boleh menerima rahmat Allah melalui Yesus Kristus. Paulus yakin bahawa orang Yahudi tidak akan selamanya menolak Yesus. Akhirnya Paulus menulis tentang cara hidup orang Kristian, terutama sekali dalam hal menunjukkan kasih kepada orang lain. Paulus juga mengemukakan hal lain seperti: pengabdian kepada Allah, kewajipan orang Kristian terhadap negara dan sesama orang Kristian, dan pelbagai soalan yang berkaitan dengan hati nurani. Paulus mengakhiri suratnya dengan pesanan peribadi dan pujian kepada Allah.
Kandungan
Pendahuluan dan Tema 1.1-17
Manusia Memerlukan Penyelamatan 1.18—3.20
Cara Allah Menyelamatkan Manusia 3.21—4.25
Hidup Baru kerana Bersatu dengan Kristus 5.1—8.39
Israel dalam Rancangan Allah 9.1—11.36
Kelakuan Orang Kristian 12.1—15.13
Penutup dan Salam Peribadi 15.14—16.27

Terpilih Sekarang Ini:

ROMA Kata Pengantar: BMDC

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk