1 SAMUEL 1:7-20

1 SAMUEL 1:7-20 BM

Perkara itu berlangsung selama bertahun-tahun. Setiap kali mereka pergi ke rumah TUHAN, Penina selalu menyakiti hati Hana sehingga Hana menangis dan tidak mahu makan apa-apa. Setiap kali pula suaminya Elkana akan bertanya kepadanya, “Hana, mengapa menangis? Mengapa tidak mahu makan? Mengapa selalu bersedih? Bukankah aku lebih berharga bagimu daripada sepuluh orang anak lelaki?” Pada suatu hari, setelah mereka makan di rumah TUHAN di Silo, Hana bangkit dari tempat makan. Pada masa itu Imam Eli yang juga berada di rumah TUHAN, sedang duduk di kerusinya dekat pintu. Dengan sangat sedih, Hana berdoa kepada TUHAN sambil menangis tersedu-sedu. Kemudian Hana mengucapkan suatu janji, katanya, “Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, perhatikanlah hamba-Mu ini. Lihatlah kesusahanku, dan ingatlah akan aku. Jangan lupakan aku. Jika Engkau memberikan seorang anak lelaki kepadaku, aku berjanji akan menyerahkan dia kepada-Mu seumur hidupnya. Rambutnya tidak akan dipotong.” Lama sekali Hana berdoa kepada TUHAN, dan selama itu Eli memperhatikan mulut Hana. Hana berdoa dengan senyap; oleh itu hanya bibirnya yang bergerak tetapi suaranya tidak kedengaran. Itulah sebabnya dia disangka mabuk oleh Eli. Kemudian Eli berkata kepadanya, “Jangan mabuk di sini! Jangan minum wain lagi!” Hana menjawab, “Tuan, saya tidak mabuk. Saya tidak minum wain. Saya putus asa, dan saya sedang berdoa untuk meluahkan isi hati kepada TUHAN. Tolong jangan anggap saya sebagai perempuan hina. Saya berdoa seperti ini kerana saya sangat sedih.” Kemudian Eli berkata, “Jika begitu, pulanglah dengan sejahtera. Semoga Allah Israel mengabulkan permintaanmu.” “Semoga saya mendapat restu tuan,” kata Hana. Kemudian Hana pergi dari situ, lalu makan dan tidak sedih lagi. Pada keesokan hari, Elkana dan keluarganya bangun pagi-pagi. Setelah mereka beribadat kepada TUHAN, mereka pulang ke Rama. Elkana bersetubuh dengan isterinya Hana, dan TUHAN mengabulkan doa Hana. Hana mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. Hana menamakan anak itu Samuel, kerana katanya, “Aku sudah memintanya daripada TUHAN.”