2 RAJA-RAJA 2

2
Elia Diangkat ke Syurga
1Masanya tiba bagi TUHAN untuk mengangkat Elia ke syurga dengan angin puting beliung. Pada masa itu Elia dan Elisa telah berangkat dari Gilgal. 2Di tengah jalan Elia berkata kepada Elisa, “Tinggallah di sini; TUHAN telah memerintah aku pergi ke Betel.”
Tetapi Elisa menjawab, “Saya bersumpah demi kesetiaan saya kepada TUHAN yang hidup dan kepada tuan bahawa saya tidak akan meninggalkan tuan.” Oleh itu mereka berdua pergi ke Betel.
3Sekumpulan nabi yang tinggal di Betel menghampiri Elisa dan bertanya kepadanya, “Adakah engkau tahu bahawa TUHAN akan mengambil tuanmu daripadamu pada hari ini?”
Elisa menjawab, “Aku tahu, tetapi janganlah kita sebutkan hal itu.”
4Kemudian Elia berkata kepada Elisa, “Tinggallah di sini; TUHAN telah memerintah aku pergi ke Yerikho.”
Tetapi Elisa menjawab, “Saya bersumpah demi kesetiaan saya kepada TUHAN yang hidup dan kepada tuan bahawa saya tidak akan meninggalkan tuan.” Oleh itu mereka berdua pergi ke Yerikho.
5Sekumpulan nabi yang tinggal di Yerikho menghampiri Elisa lalu bertanya kepadanya, “Adakah engkau tahu bahawa TUHAN akan mengambil tuanmu daripadamu pada hari ini?”
Elisa menjawab, “Aku tahu, tetapi janganlah kita sebutkan hal itu.”
6Setelah itu Elia berkata kepada Elisa, “Tinggallah di sini; TUHAN telah memerintah aku pergi ke Sungai Yordan.”
Tetapi Elisa menjawab, “Saya bersumpah demi kesetiaan saya kepada TUHAN yang hidup dan kepada tuan bahawa saya tidak akan meninggalkan tuan.” Oleh itu mereka meneruskan perjalanan. 7Lima puluh orang daripada kumpulan nabi mengikuti mereka ke Sungai Yordan. Elia dan Elisa berhenti di tepi sungai, dan lima puluh orang nabi itu berdiri tidak berapa jauh dari situ. 8Kemudian Elia menanggalkan jubahnya, menggulungnya, lalu memukul air sungai dengan gulungan itu. Kemudian air sungai itu terbelah dua sehingga Elia dan Elisa dapat menyeberangi sungai dengan berjalan di atas dasar yang kering. 9#Ul 21.17 Di situ Elia berkata kepada Elisa, “Katakanlah apa yang engkau mahu aku lakukan untukmu sebelum aku dibawa pergi.”
Elisa menjawab, “Benarkanlah saya mewarisi kuasa tuan supaya saya boleh menjadi pengganti tuan.”#mewarisi…pengganti: Elisa meminta bahagian yang diwarisi oleh anak lelaki sulung daripada bapanya, menurut undang-undang (Lihat Ul 21.17).
10Elia berkata, “Permintaan itu susah dikabulkan. Tetapi jika engkau nampak aku ketika aku dibawa pergi, engkau akan menerima permintaanmu. Jika tidak, engkau tidak akan menerimanya.”
11Mereka terus bercakap-cakap sambil meneruskan perjalanan. Tiba-tiba sebuah kereta kuda berapi yang ditarik oleh beberapa kuda berapi memisahkan mereka, lalu Elia diangkat ke syurga oleh angin puting beliung. 12#2 Raj 13.14 Elisa nampak hal itu, lalu berseru kepada Elia, “Bapaku, bapaku! Pembela kuat Israel! Bapa sudah pergi!” Maka hilanglah Elia dari pemandangan Elisa.
Dengan dukacita Elisa mengoyak jubahnya menjadi dua sobekan. 13Kemudian dia mengambil jubah Elia yang telah terjatuh. Lalu Elisa kembali dan berdiri di tepi Sungai Yordan. 14Dia memukul air sungai itu dengan jubah Elia, lalu berkata, “Di manakah TUHAN, Allah Elia?” Kemudian dia memukul air sungai itu lagi, dan air itu terbelah dua, lalu Elisa berjalan ke seberang sungai itu. 15Lima puluh orang nabi dari Yerikho itu nampak Elisa lalu berkata, “Kuasa Elia ada pada Elisa!” Mereka menghampiri dia, lalu bersujud di hadapannya, 16dan berkata, “Kami sebanyak lima puluh orang di sini, dan kami semua kuat. Biarlah kami pergi mencari Elia, tuanmu. Mungkin Roh TUHAN telah membawanya dan meninggalkannya di atas gunung ataupun di lembah.”
Elisa berkata, “Jangan, tak usah pergi!”
17Tetapi mereka mendesak sehingga Elisa membenarkan mereka pergi. Selama tiga hari, lima puluh orang itu mencari Elia di mana-mana, tetapi mereka tidak menemuinya. 18Kemudian mereka kembali kepada Elisa yang sedang menunggu di Yerikho. Elisa berkata kepada mereka, “Bukankah saya melarang kamu pergi?”
Mukjizat-Mukjizat yang Dilakukan Elisa
19Beberapa orang dari Yerikho berkata kepada Elisa, “Sebagaimana tuan tahu, kota ini baik, tetapi airnya tidak baik dan menyebabkan banyak perempuan hamil keguguran.”
20Elisa berkata, “Bubuhlah garam di dalam sebuah mangkuk baru dan bawalah mangkuk itu kepada saya.” Mereka pun membawanya kepada Elisa. 21Elisa pergi ke tempat mata air, lalu melemparkan garam itu ke dalam air, dan berkata, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Aku membersihkan air ini supaya tidak lagi menyebabkan kematian ataupun keguguran.’ ” 22Sejak itu airnya baik seperti yang dikatakan Elisa.
23Elisa meninggalkan Yerikho lalu pergi ke Betel. Di tengah jalan, beberapa orang budak lelaki yang datang dari bandar mengolok-olok dia. Mereka berkata, “Hai botak, pergi dari sini!”
24Elisa menoleh, memandang budak-budak itu, lalu mengutuk mereka atas nama TUHAN. Selepas itu dua ekor beruang betina keluar dari hutan dan mencabik-cabikkan tubuh empat puluh dua orang daripada budak-budak itu.
25Elisa meneruskan perjalanannya ke Gunung Karmel, kemudian dia pulang ke Samaria.

Terpilih Sekarang Ini:

2 RAJA-RAJA 2: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk