EFESUS 5:5-18

EFESUS 5:5-18 BM

Kamu tentu tahu bahawa orang yang melakukan perbuatan cabul, atau yang tidak senonoh, ataupun yang tamak (kerana ketamakan seperti penyembahan berhala), tidak akan menikmati Pemerintahan Kristus dan Allah. Janganlah biarkan sesiapa pun menipu kamu dengan kata-kata dusta, kerana hal-hal inilah yang menimbulkan kemurkaan Allah terhadap mereka yang tidak taat kepada-Nya. Oleh itu janganlah sekali-kali berhubungan dengan orang semacam itu. Dahulu kamu hidup dalam kegelapan, tetapi sekarang kamu telah menjadi umat Tuhan, maka kamu hidup dalam cahaya. Itulah sebabnya kamu mesti hidup seperti orang yang hidup dalam cahaya, kerana cahaya itulah yang menyebabkan orang melakukan segala sesuatu yang baik, adil, dan tulus. Berusahalah untuk melakukan apa yang menyenangkan hati Tuhan. Janganlah lakukan perbuatan tidak berguna, yang biasa dilakukan oleh orang yang hidup dalam kegelapan. Sebaliknya, kamu harus mendedahkan perkara-perkara itu. ( Sebenarnya hal-hal yang dilakukan mereka dengan diam-diam amat memalukan untuk dipercakapkan.) Segala sesuatu akan kelihatan dengan jelas, apabila disinari cahaya, kerana segala sesuatu yang dapat dilihat dengan jelas, adalah cahaya. Itulah sebabnya dikatakan, “Bangunlah, hai kamu yang tidur, dan bangkitlah daripada kematian! Kristus akan menyinari kamu.” Oleh itu, perhatikanlah cara hidup kamu dengan baik. Janganlah hidup seperti orang bodoh, tetapi hiduplah seperti orang bijak. Setiap kali kamu berpeluang melakukan apa yang baik, gunakanlah peluang itu, kerana masa ini masa yang jahat. Janganlah bertindak bodoh, tetapi berusahalah untuk mengetahui apa yang dikehendaki Tuhan bagi kamu. Janganlah kamu menjadi mabuk oleh wain, kerana hal itu akan merosakkan hidup kamu. Tetapi hendaklah kamu dikuasai oleh Roh Allah.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan EFESUS 5:5-18