KELUARAN 14

14
Menyeberangi Laut Gelagah
1Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, 2“Suruhlah orang Israel kembali dan berkhemah di hadapan kota Pi-Hahirot, di antara kota Migdol dan Laut Gelagah,#Laut Gelagah: Lihat 10.19. dekat kota Baal-Zefon. 3Raja Mesir akan menyangka bahawa orang Israel sedang mengembara di negeri ini dan takut melintasi padang gurun. 4Aku akan menyebabkan raja Mesir berdegil sehingga dia mengejar kamu; kemenangan-Ku atas raja itu akan mendatangkan penghormatan kepada-Ku. Kemudian orang Mesir akan tahu bahawa Akulah TUHAN.” Orang Israel melakukan apa yang diperintahkan kepada mereka.
5Apabila raja Mesir diberitahu bahawa orang Israel telah melarikan diri, raja itu bersama dengan para pegawainya mengubah fikiran, lalu berkata, “Apakah yang telah kita buat? Kita telah membiarkan orang Israel melarikan diri sehingga kita kehilangan abdi.” 6Raja menyiapkan kereta kudanya untuk berperang, dan juga tenteranya. 7Raja berangkat dengan semua kereta kudanya, termasuk enam ratus buah kereta kuda terbaik yang dikendarai oleh para panglima tentera. 8TUHAN menyebabkan raja berdegil, sehingga raja mengejar orang Israel yang sedang dalam perjalanan meninggalkan tempat itu dengan kemenangan.#dengan kemenangan atau di bawah perlindungan TUHAN. 9Tentera Mesir bersama dengan semua kuda, kereta kuda dan pemandu, mengejar orang Israel dan menyusul mereka di tempat perkhemahan mereka di tepi Laut Gelagah,#Laut Gelagah: Lihat 10.19. dekat Pi-Hahirot dan Baal-Zefon.
10Apabila orang Israel melihat raja dan tentera Mesir mara untuk menyerang mereka, mereka takut lalu berseru kepada TUHAN meminta pertolongan. 11Mereka berkata kepada Musa, “Tiadakah kubur di Mesir sehingga kamu membawa kami ke padang gurun untuk mati? Lihatlah apa yang terjadi kerana kamu membawa kami keluar dari Mesir! 12Sebelum kita berangkat, kami telah berkata bahawa perkara ini akan berlaku. Kami telah memberitahu kamu supaya tidak mengganggu kami, dan membiarkan kami terus menjadi abdi orang Mesir. Lebih baik kami menjadi abdi di sana daripada mati di padang gurun ini.”
13Musa menjawab, “Jangan takut! Tabahlah! Perhatikanlah apa yang akan dilakukan oleh TUHAN untuk menyelamatkan kamu pada hari ini; kamu tidak akan melihat semua orang Mesir itu lagi. 14TUHAN akan berjuang untuk kamu. Kamu tidak perlu berbuat apa-apa.”
15TUHAN berfirman kepada Musa, “Mengapa engkau berseru meminta tolong? Suruhlah orang Israel berjalan terus. 16Angkatlah tongkatmu dan hulurkan ke atas laut. Air laut akan terbelah, lalu orang Israel akan dapat berjalan melintasi laut di atas dasarnya yang kering. 17Aku akan menyebabkan orang Mesir begitu degil sehingga mereka mengejar orang Israel, bahkan ke dalam laut sekali pun. Maka kemenangan-Ku atas raja Mesir, tenteranya, kereta kudanya, dan para pemandu kereta kudanya akan mendatangkan penghormatan kepada-Ku. 18Apabila Aku mengalahkan mereka, orang Mesir akan tahu bahawa Akulah TUHAN.”
19Malaikat Allah yang berada di hadapan tentera Israel berpindah ke belakang. Tiang awan yang berada di hadapan mereka juga berpindah 20ke antara tentera Mesir dan orang Israel. Awan itu mendatangkan kegelapan bagi orang Mesir tetapi memberikan cahaya kepada orang Israel, sehingga sepanjang malam kedua-dua pasukan itu tidak dapat menghampiri satu sama lain.
21Musa menghulurkan tangannya ke atas laut, dan TUHAN menyebabkan angin timur bertiup dengan kencang sehingga air laut mundur. Angin itu bertiup sepanjang malam dan mengubah laut menjadi tanah yang kering. Air laut terbelah, 22#1 Kor 10.1-2; Ibr 11.29 dan orang Israel melintasi laut di atas tanah yang kering, sedangkan air di sebelah kanan dan kiri merupakan tembok air. 23Orang Mesir bersama dengan kuda, kereta kuda, dan para pemandu kereta kuda, mengejar orang Israel sampai ke tengah laut. 24Apabila fajar menyingsing, dari tiang api dan tiang awan, TUHAN melihat tentera Mesir, lalu mengacau-bilaukan mereka. 25Dia menyebabkan roda-roda kereta kuda mereka tersekat sehingga susah bergerak. Orang Mesir berkata, “TUHAN memihak orang Israel untuk menentang kita. Marilah kita lari dari sini!”
26TUHAN berfirman kepada Musa, “Hulurkanlah tanganmu ke atas laut, maka air akan kembali lalu menimpa orang Mesir dan kereta kuda serta pemandu kereta kuda mereka.” 27Oleh itu Musa menghulurkan tangannya ke atas laut. Apabila fajar menyingsing, air kembali ke paras biasa. Orang Mesir cuba melarikan diri dari laut, tetapi TUHAN menenggelamkan mereka. 28Air kembali dan menutupi semua kereta kuda dan pemandu kereta kuda, serta segenap tentera Mesir yang mengejar orang Israel ke tengah laut; tiada seorang pun tentera Mesir yang terselamat. 29Tetapi orang Israel melintasi laut di atas tanah yang kering, sedangkan air di sebelah kanan dan kiri merupakan tembok air.
30Pada hari itu, TUHAN menyelamatkan orang Israel daripada orang Mesir. Orang Israel melihat mayat orang Mesir terdampar di pantai. 31Apabila orang Israel melihat TUHAN mengalahkan orang Mesir dengan kuasa yang besar, mereka takut akan TUHAN; mereka percaya kepada TUHAN dan hamba-Nya Musa.

Terpilih Sekarang Ini:

KELUARAN 14: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk