KELUARAN 16
16
Manna dan Burung Puyuh
1Segenap umat Israel berangkat dari Elim. Pada hari kelima belas dalam bulan kedua sejak mereka meninggalkan Mesir, mereka tiba di padang gurun Sin yang terletak di antara Elim dan Sinai. 2Mereka semua bersungut-sungut terhadap Musa dan Harun di padang gurun itu. 3Mereka berkata kepada Musa dan Harun, “Lebih baik sekiranya kami mati dibunuh oleh TUHAN di Mesir. Di sana sekurang-kurangnya kami dapat duduk, serta makan daging, dan seberapa banyak makanan yang kami inginkan. Tetapi kamu telah membawa kami ke padang gurun ini supaya kami semua mati kelaparan.”
4 #
Yoh 6.31
TUHAN berfirman kepada Musa, “Sekarang Aku akan menghujani kamu semua dengan makanan dari langit. Tiap-tiap hari umat mesti keluar untuk mengumpulkan roti secukupnya bagi satu hari. Dengan cara ini Aku dapat menguji umat-Ku, supaya Aku tahu sama ada mereka mentaati perintah-Ku atau tidak. 5Pada hari yang keenam, mereka harus mengumpulkan makanan itu dua kali ganda banyaknya dan menyediakannya.”
6Oleh itu Musa dan Harun berkata kepada segenap umat Israel, “Pada petang ini kamu akan tahu bahawa TUHAN itulah yang membawa kamu keluar dari Mesir. 7Pada pagi hari kamu akan melihat cahaya hadirat TUHAN. Dia telah mendengar sungutan kamu terhadap-Nya; ya, terhadap-Nya, kerana kami hanya melaksanakan perintah-Nya.” 8Kemudian Musa berkata, “TUHAN akan memberi kamu daging untuk dimakan pada waktu petang, dan seberapa banyak roti yang kamu kehendaki pada waktu pagi, kerana Dia telah mendengar betapa seringnya kamu bersungut terhadap-Nya. Sesungguhnya, sungutan kamu bukanlah terhadap kami, tetapi terhadap TUHAN.”
9Musa berkata kepada Harun, “Suruhlah mereka semua datang menghadap TUHAN, kerana Dia telah mendengar sungutan mereka.” 10Sedang Harun berucap kepada mereka semua, mereka memandang ke hala padang gurun, dan tiba-tiba cahaya hadirat TUHAN kelihatan di dalam awan. 11TUHAN berfirman kepada Musa, 12“Aku telah mendengar sungutan orang Israel. Katakan kepada mereka, bahawa pada waktu petang mereka akan mendapat daging untuk dimakan, dan pada waktu pagi mereka akan mendapat roti sebanyak yang diingini mereka. Oleh itu mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah mereka.”
13Pada petang hari, banyak sekali burung puyuh datang ke perkhemahan mereka sehingga meliputi seluruh perkhemahan. Pada waktu pagi, terdapat pula lapisan embun di sekeliling perkhemahan. 14Setelah embun itu mengewap, sesuatu yang tipis seperti sisik dan halus seperti embun yang beku terdapat di atas padang gurun. 15#1 Kor 10.3 Apabila orang Israel melihatnya, mereka tidak tahu apa benda itu. Mereka bertanya satu sama lain, “Apakah benda ini?”
Musa berkata kepada mereka, “Inilah makanan yang diberi oleh TUHAN kepada kamu untuk dimakan. 16TUHAN telah memberikan perintah supaya tiap-tiap orang mengumpulkan makanan itu seberapa banyak yang diperlukannya, iaitu sebanyak dua liter bagi setiap anggota keluarga.”
17Orang Israel berbuat demikian; ada yang mengumpulkan lebih daripada dua liter dan ada pula yang mengumpulkan kurang daripada itu. 18#2 Kor 8.15 Ketika mereka menakarnya, ternyata bahawa orang yang mengumpulkan banyak tidak mendapat lebih, dan orang yang mengumpulkan sedikit tidak pula kekurangan. Tiap-tiap orang mengumpulkan sebanyak yang diperlukannya. 19Musa berkata kepada mereka, “Tiada sesiapa yang boleh menyimpan makanan walau sedikit pun sehingga esok.” 20Tetapi ada di kalangan mereka yang tidak mengendahkan kata-kata Musa, lalu menyimpan sebahagian daripada makanan itu. Pagi esoknya, makanan itu berulat dan berbau busuk, lalu Musa marah kepada mereka. 21Setiap pagi mereka mengumpulkan makanan itu, sebanyak yang diperlukan. Apabila matahari panas terik, makanan yang tertinggal di tanah mencair.
22Pada hari keenam mereka mengumpulkan makanan dua kali ganda banyaknya, sebanyak empat liter bagi setiap orang. Semua pemimpin umat itu datang dan memberitahukan hal itu kepada Musa. 23#Kel 20.8-11 Musa berkata kepada mereka, “TUHAN memerintahkan bahawa esok hari rehat, hari suci yang ditahbiskan bagi-Nya. Pada hari ini bakarlah apa yang hendak kamu bakar, dan rebuslah apa yang hendak kamu rebus. Yang selebihnya, hendaklah diketepikan dan disimpan untuk esok.” 24Sebagaimana yang telah disuruh oleh Musa, mereka menyimpan lebihan makanan itu sehingga hari berikutnya; makanan itu tidak menjadi basi dan tidak berulat. 25Musa berkata, “Makanlah makanan ini pada hari ini, kerana hari ini hari Sabat, hari rehat yang telah ditahbiskan bagi TUHAN. Kamu tidak akan mendapat sebarang makanan di luar perkhemahan. 26Kamu mesti mengumpulkan makanan selama enam hari, tetapi pada hari ketujuh, hari rehat itu, tidak ada makanan untuk dipungut.”
27Pada hari ketujuh beberapa orang antara umat itu keluar untuk mengumpulkan makanan, tetapi tidak mendapati apa-apa. 28Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Berapa lama lagi kamu tidak mahu taat kepada perintah-Ku? 29Ingatlah bahawa Aku, TUHAN telah memberikan hari rehat kepada kamu. Itulah sebabnya, pada hari keenam Aku memberi kamu makanan yang cukup untuk dua hari. Pada hari ketujuh setiap orang mesti tinggal di tempat masing-masing, dan tidak boleh meninggalkan rumahnya.” 30Oleh itu mereka tidak bekerja pada hari ketujuh.
31 #
Bil 11.7-8
Umat Israel menamakan makanan itu manna.#manna: Nama ini bunyinya seperti perkataan Ibrani yang bererti “apa itu”. Rupanya seperti biji-biji kecil berwarna putih dan rasanya seperti biskut yang dibuat dengan madu. 32Musa berkata, “TUHAN telah menyuruh kita menyimpan sedikit manna untuk keturunan kita, supaya mereka dapat melihat makanan yang diberikan TUHAN kepada kita di padang gurun, ketika Dia membawa kita keluar dari Mesir.” 33#Ibr 9.4 Musa berkata kepada Harun, “Ambillah sebuah balang dan isilah dengan dua liter manna, lalu letakkan balang itu di hadapan TUHAN, untuk disimpan bagi keturunan kita.” 34Harun meletakkan balang itu di hadapan Tabut Perjanjian untuk disimpan, menurut perintah TUHAN kepada Musa. 35#Yos 5.12 Orang Israel memakan manna selama empat puluh tahun sehingga mereka tiba di tanah Kanaan, tempat mereka menetap. ( 36Takaran benda kering yang biasa dipakai orang pada zaman itu, berisi dua puluh liter.)
Terpilih Sekarang Ini:
KELUARAN 16: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.