KELUARAN 36

36
1Bezaleel, Oholiab, dan semua tukang yang telah dikurniakan kemahiran dan pengertian oleh TUHAN, iaitu mereka yang tahu cara membuat segala yang diperlukan untuk membina Khemah TUHAN, mesti melakukan segala-galanya sebagaimana yang telah diperintahkan TUHAN.”
Umat Israel Memberikan Banyak Sumbangan
2Musa memanggil Bezaleel, Oholiab, dan semua tukang lain yang telah dikurniai kebolehan oleh TUHAN, iaitu mereka yang rela menolong; lalu Musa menyuruh mereka memulakan pekerjaan itu. 3Musa memberi mereka segala sumbangan yang dibawa oleh orang Israel untuk pembinaan Khemah TUHAN. Tetapi orang Israel masih lagi membawa sumbangan kepada Musa tiap-tiap pagi. 4Oleh itu para tukang yang sedang melakukan pekerjaan itu 5memberikan laporan kepada Musa, “Umat telah memberikan lebih daripada apa yang diperlukan untuk pekerjaan yang diperintahkan TUHAN.”
6Kemudian Musa memberitahu segenap umat supaya tidak membawa sumbangan lagi untuk Khemah TUHAN; umat pun tidak memberikan apa-apa lagi. 7Bahan-bahan yang sudah diberikan lebih daripada cukup untuk menyelesaikan segala pekerjaan itu.
Membina Khemah TUHAN
(Kel 26.1-37)
8Tukang-tukang yang paling mahir antara para tukang itu membina Khemah TUHAN. Mereka membuatnya daripada sepuluh helai kain linen halus yang ditenun dengan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, serta disulam dengan gambar kerub.#kerub: Lihat 25.18. 9Setiap helai berukuran sama, 12 meter panjang dan 2 meter lebar. 10Mereka menjahit lima helai menjadi satu labuh tirai, dan lima helai yang lain dibuat begitu juga. 11Mereka membuat gelung daripada kain biru pada tepi sebelah luar kedua-dua labuh tirai. 12Mereka membuat lima puluh utas gelung pada satu labuh tirai dan lima puluh utas gelung pada tirai yang kedua, sehingga merupakan satu pasang. 13Mereka membuat lima puluh bentuk cangkuk emas untuk menyambungkan kedua-dua labuh tirai itu.
14Kemudian mereka membuat bumbung Khemah daripada sebelas helai kain bulu kambing. 15Tiap-tiap helai berukuran sama, 13 meter panjang dan 2 meter lebar. 16Mereka menjahit lima helai menjadi satu layar dan yang enam helai lagi dibuat begitu juga. 17Mereka memasang lima puluh utas gelung pada tepi helai yang terakhir bagi layar yang pertama, dan lima puluh utas gelung pada tepi layar yang kedua. 18Mereka membuat lima puluh bentuk cangkuk gangsa untuk menyatukan dua layar itu sehingga menjadi bumbung Khemah. 19Mereka membuat dua lagi penutup: satu daripada kulit kambing jantan yang dicelup merah, dan satu lagi daripada kulit halus untuk dibentangkan di sebelah atas.
20Mereka membuat rangka tegak lurus daripada kayu akasia untuk Khemah. 21Tiap-tiap rangka berukuran 4 meter panjang dan 66 sentimeter lebar. 22Unjuran yang sepadan dibuat pada setiap batang rangka, sehingga rangka-rangka itu dapat dihubungkan. 23Mereka membuat dua puluh batang rangka untuk bahagian selatan, 24dengan empat puluh buah alas perak bagi rangka-rangka itu: dua buah alas di bawah setiap batang rangka untuk menyangga kedua-dua unjuran itu. 25Mereka juga membuat dua puluh batang rangka untuk bahagian utara, 26dengan empat puluh buah alas perak, dua buah alas di bawah setiap batang rangka. 27Bagi bahagian belakang Khemah TUHAN, di sebelah barat, mereka membuat enam batang rangka 28dan dua batang rangka untuk sudut-sudut. 29Rangka-rangka sudut dihubungkan di bahagian bawah sampai ke bahagian atas. Kedua-dua batang rangka yang membentuk sudutnya dibuat dengan cara itu. 30Oleh itu terdapat lapan batang rangka dengan enam belas buah alas perak: dua buah alas di bawah setiap batang rangka.
31Mereka membuat lima belas batang kayu lintang daripada kayu akasia, lima batang untuk rangka-rangka di satu sisi Khemah TUHAN, 32lima batang untuk rangka-rangka di bahagian lain, dan lima batang lagi untuk rangka-rangka di sebelah barat, di bahagian belakang. 33Kayu lintang yang ada di tengah-tengah rangka itu melintang dari satu hujung Khemah ke hujung yang lain. 34Mereka menyaluti rangka itu dengan emas lalu memasang gelang-gelang emas pada rangka itu untuk menyangga kayu lintang, yang juga disaluti emas.
35Mereka membuat tirai daripada kain linen halus yang ditenun dengan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah, serta disulami gambar kerub.#Kerub: Lihat 25.18. 36Mereka membuat empat batang tiang daripada kayu akasia untuk menyangga tirai itu; tiang-tiang itu disaluti emas dan dipasangkan dengan cangkuk-cangkuk emas. Kemudian mereka membuat empat buah alas perak untuk menyangga tiang-tiang itu. 37Untuk pintu Khemah TUHAN, mereka membuat tirai daripada kain linen halus yang ditenun dengan kain bulu berwarna biru, ungu, dan merah yang dihias dengan sulaman. 38Untuk tirai itu mereka membuat lima batang tiang yang dipasangkan dengan cangkuk-cangkuk. Mereka menyaluti bahagian atas tiang dan batang-batangnya dengan emas. Mereka membuat lima buah alas daripada gangsa untuk tiang-tiang itu.

Terpilih Sekarang Ini:

KELUARAN 36: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk