KEJADIAN 18:16-33

KEJADIAN 18:16-33 BM

Kemudian ketiga-tiga tetamu itu meninggalkan tempat itu, lalu pergi ke suatu tempat. Di situ mereka dapat memandang kota Sodom. Abraham mengikut mereka untuk menghantar mereka meneruskan perjalanan. TUHAN berfirman dalam hati, “Aku tidak mahu merahsiakan perkara yang akan Aku lakukan daripada Abraham. Keturunannya akan menjadi bangsa yang besar dan berkuasa, dan Aku akan memberkati semua bangsa di bumi kerana dia. Aku sudah memilih dia supaya memerintah anak-anak dan keturunannya untuk taat kepada-Ku dan melakukan hal yang benar dan adil. Jika mereka berbuat demikian, Aku akan memenuhi segala janji-Ku kepada Abraham.” Selanjutnya TUHAN berfirman kepada Abraham, “Ada tuduhan yang berat sekali terhadap penduduk Sodom dan Gomora, dan memang dosa mereka itu sangat besar. Oleh itu Aku hendak turun ke sana untuk menyiasat sama ada tuduhan yang sudah Aku dengar itu benar atau tidak.” Kemudian dua daripada tetamu itu berangkat menuju ke Sodom, tetapi TUHAN tinggal dengan Abraham. Abraham menghampiri TUHAN dan bertanya, “Benarkah Engkau mahu membinasakan orang yang tidak bersalah bersama dengan orang yang bersalah? Jika terdapat lima puluh orang yang tidak bersalah di dalam kota itu, adakah Engkau akan memusnahkan seluruh kota itu? Tidakkah Engkau mahu mengampuninya untuk menyelamatkan yang lima puluh orang itu? Tentu Engkau tidak mahu membunuh orang yang tidak bersalah bersama dengan orang yang bersalah. Tentu tidak! Engkau tidak mungkin berbuat demikian. Jika Engkau berbuat demikian, orang yang tidak bersalah akan dihukum bersama dengan orang yang bersalah. Itu tidak mungkin. Hakim bagi seluruh bumi tentu bertindak dengan adil.” TUHAN menjawab, “Jika Aku mendapati lima puluh orang yang tidak bersalah di Sodom, Aku akan mengampuni seluruh kota itu kerana mereka.” Abraham berkata lagi, “Ampunkanlah kelancanganku kerana tidak henti-henti bercakap kepada-Mu, ya Tuhan. Aku ini hanya manusia dan tidak berhak untuk mengatakan apa-apa pun. Tetapi mungkin hanya terdapat empat puluh lima orang yang tidak bersalah, dan bukan lima puluh orang. Adakah Engkau memusnahkan seluruh kota itu disebabkan kurang hanya lima orang?” TUHAN menjawab, “Aku tidak akan memusnahkan kota itu jika Aku mendapati empat puluh lima orang yang tidak bersalah.” Abraham berkata lagi, “Mungkin hanya terdapat empat puluh orang.” TUHAN menjawab, “Aku tidak akan memusnahkannya jika Aku mendapati empat puluh orang.” Abraham berkata, “Ya Tuhan, janganlah murka jika aku bercakap lagi. Bagaimana pula jika terdapat hanya tiga puluh orang?” TUHAN berfirman, “Aku tidak akan melakukannya jika Aku mendapati tiga puluh orang.” Abraham berkata, “Ampunkanlah kelancanganku kerana tidak henti-henti bercakap kepada-Mu, ya Tuhan. Bagaimana jika hanya ada dua puluh orang?” TUHAN berfirman, “Aku tidak akan memusnahkan kota itu jika Aku mendapati dua puluh orang.” Abraham berkata, “Ya Tuhan, janganlah murka. Aku akan bercakap hanya sekali lagi. Bagaimana pula jika terdapat hanya sepuluh orang?” TUHAN berfirman, “Aku tidak akan memusnahkannya jika Aku mendapati sepuluh orang.” Selepas TUHAN berfirman kepada Abraham, TUHAN pergi, lalu Abraham pulang ke rumahnya.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami