Kebuluran berlaku lagi di negeri itu seperti yang terjadi pada zaman Abraham. Kemudian Ishak pergi menghadap Raja Abimelekh, raja orang Filistin, di Gerar. Ishak berbuat begitu kerana TUHAN sudah menampakkan diri kepadanya dan berfirman, “Janganlah pergi ke Mesir; tinggallah di negeri ini, seperti yang sudah Kuperintahkan kepadamu. Tinggallah di sini dan Aku akan melindungi serta memberkati engkau. Seluruh wilayah ini akan Kuberikan kepadamu dan keturunanmu. Aku akan menepati perjanjian yang sudah Kubuat dengan Abraham, bapamu. Aku akan mengurniai engkau keturunan sebanyak bintang di langit dan Aku akan memberikan seluruh wilayah ini kepada mereka. Semua bangsa di dunia akan memohon supaya Aku memberkati mereka sebagaimana Aku sudah memberkati keturunanmu. Aku akan memberkati engkau kerana Abraham sudah mentaati Aku dan mematuhi segala hukum serta perintah-Ku.” Oleh itu Ishak tinggal di Gerar. Apabila orang lelaki di sana bertanya tentang Ribka, dia berkata bahawa Ribka itu adiknya. Ishak tidak mahu mengaku bahawa Ribka itu isterinya, kerana dia takut orang lelaki di sana akan membunuhnya untuk mendapatkan Ribka yang sangat cantik itu. Selepas Ishak tinggal di sana beberapa lama, Raja Abimelekh memandang ke bawah dari tingkapnya dan nampak Ishak sedang bercumbu-cumbuan dengan Ribka. Maka Raja Abimelekh memanggil Ishak dan bertanya, “Bukankah wanita itu isterimu? Mengapa kamu mengatakan dia adikmu?” Ishak menjawab, “Hamba fikir hamba akan dibunuh jika mengatakan bahawa dia isteri hamba.” Raja Abimelekh bertitah, “Apakah yang sudah kamu lakukan terhadap kami? Salah seorang daripada orang beta, dengan mudahnya dapat meniduri isterimu, dan kamu akan bertanggungjawab terhadap kesalahan kami.” Kemudian Raja Abimelekh memberikan amaran kepada rakyatnya, “Sesiapa yang mengganggu orang ini ataupun isterinya akan dibunuh.” Ishak menyemai benih untuk bercucuk tanam di negeri itu, dan pada tahun itu dia mendapat hasil seratus kali ganda kerana TUHAN memberkati dia. Kekayaannya semakin bertambah dan dia menjadi kaya raya. Orang Filistin berasa iri hati terhadapnya kerana dia mempunyai banyak kawanan domba dan lembu, serta banyak hamba. Oleh itu mereka menimbusi semua perigi yang telah digali oleh hamba-hamba Abraham, semasa Abraham masih hidup. Kemudian Raja Abimelekh bertitah kepada Ishak, “Tinggalkanlah negeri kami. Kamu sudah menjadi lebih berkuasa daripada kami semua.”
Baca KEJADIAN 26
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: KEJADIAN 26:1-16
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video