KEJADIAN 42:18-38

KEJADIAN 42:18-38 BM

Pada hari yang ketiga Yusuf berkata kepada mereka, “Aku orang yang takut dan taat kepada Allah. Aku akan menyelamatkan kamu dengan satu syarat. Untuk membuktikan bahawa kamu ini jujur, seorang daripada kamu akan ditahan di dalam penjara; yang lain boleh pulang dan membawa gandum yang dibeli untuk keluarga kamu yang sedang menderita kebuluran. Selepas itu kamu harus membawa adik kamu yang bongsu kepadaku. Itulah buktinya nanti bahawa kata-kata kamu itu benar, dan aku tidak akan menjatuhkan hukuman mati kepada kamu.” Mereka setuju dengan keputusan gabenor itu. Kemudian mereka bercakap satu sama lain, “Sekarang kita dihukum kerana kesalahan kita terhadap adik kita dahulu; dia meminta tolong tetapi kita tidak mempedulikannya, walaupun kita nampak dia sangat menderita. Itulah sebabnya kita mengalami penderitaan ini sekarang.” Ruben berkata, “Dahulu aku melarang kamu menyakiti anak itu, tetapi kamu tidak mahu mendengar. Sekarang kita menerima balasan kerana kematiannya.” Yusuf memahami bahasa mereka tetapi mereka tidak mengetahui hal itu, kerana mereka berkata-kata dengan Yusuf melalui seorang jurubahasa. Yusuf meninggalkan mereka, lalu menangis. Apabila dia dapat berkata-kata lagi, dia kembali kepada mereka lalu memilih Simeon. Yusuf menyuruh orang mengikat Simeon di hadapan semua saudaranya. Yusuf memerintahkan supaya karung-karung yang dibawa saudara-saudaranya diisi dengan gandum, lalu wang masing-masing dimasukkan ke dalam karung-karung itu. Yusuf juga memerintahkan supaya mereka diberi bekal makanan untuk perjalanan. Perintahnya itu dilaksanakan. Selepas itu saudara-saudara Yusuf memuati keldai mereka dengan gandum yang sudah dibeli, lalu mereka berangkat. Di tempat mereka bermalam, seorang daripada mereka membuka karung gandumnya untuk memberi keldainya makanan, lalu menjumpai wangnya di atas gandum. “Wang aku dikembalikan,” serunya kepada saudara-saudaranya. “Tengoklah, wang ada di dalam karungku!” Hati mereka berdebar-debar, dan dengan takut mereka saling bertanya, “Apakah yang dilakukan Allah kepada kita?” Apabila mereka sampai di Kanaan, mereka menceritakan segala sesuatu yang dialami mereka, kepada bapa mereka. Mereka berkata, “Gabenor Mesir bercakap kasar kepada kami dan menuduh kami mengintip negerinya. Kami menjawab, ‘Kami orang jujur, bukan pengintip. Kami dua belas orang adik-beradik, anak daripada satu bapa, tetapi seorang sudah meninggal, dan yang bongsu ada bersama dengan bapa kami di Kanaan.’ Gabenor itu berkata, ‘Aku mahu menguji kamu untuk mengetahui sama ada kamu jujur. Seorang daripada kamu harus tinggal, tetapi yang lain boleh pulang dan membawa gandum kepada keluarga kamu yang sedang menderita kebuluran. Apabila kamu datang ke sini lagi, bawalah adik bongsu kamu. Dengan demikian aku akan tahu bahawa kamu bukan pengintip, melainkan orang jujur. Saudara kamu yang aku tahan itu akan kukembalikan kepada kamu, lalu kamu boleh tinggal di negeri ini dan bebas berdagang.’ ” Apabila mereka mengosongkan karung, masing-masing menjumpai kantung wangnya. Ketika mereka melihat wang itu, mereka dan bapa mereka takut. Kemudian bapa mereka berkata, “Kamu menyebabkan aku kehilangan semua anakku. Yusuf tiada lagi; Simeon pun tiada lagi; sekarang kamu mahu membawa pergi Benyamin pula. Akulah yang menderita!” Oleh itu Ruben berkata kepada bapanya, “Serahkanlah Benyamin ke bawah jagaan saya. Saya akan membawa dia kembali. Jika tidak, ayah boleh membunuh kedua-dua orang anak lelaki saya.” Tetapi Yakub berkata, “Tidak! Kamu tidak boleh membawa Benyamin. Abangnya sudah meninggal dan kini hanya dia yang tinggal. Jangan-jangan dia mendapat kecelakaan dalam perjalanan. Aku sudah tua, dan kesedihan yang kamu datangkan kepadaku akan mengakibatkan kematianku.”