YESAYA 7

7
Perkhabaran untuk Raja Ahas
1 # 2 Raj 16.5; 2 Taw 28.5-6 Raja Ahas ialah putera Raja Yotam dan cucu Raja Uzia. Pada masa Raja Ahas memerintah Yehuda, peperangan berlaku. Raja Rezin, raja negeri Siria, dan Raja Pekah anak Remalya, iaitu raja Israel, menyerang Yerusalem tetapi mereka tidak berjaya menawan kota itu.
2Apabila raja Yehuda mendengar bahawa tentera Siria telah berada di kawasan Israel, raja dan rakyatnya sangat ketakutan sehingga mereka gementar seperti pokok digoyangkan angin.
3TUHAN berfirman kepada Yesaya, “Bawalah anakmu, Syear Yasyub#Syear Yasyub: Nama ini dalam bahasa Ibrani bererti “Beberapa orang akan kembali” (lihat juga 10.20-22). dan pergilah menghadap Raja Ahas. Engkau akan menemuinya di jalan tempat pembuat kain bekerja, di hujung parit yang menyalurkan air dari kolam yang di sebelah atas. 4Suruhlah dia berwaspada dan tenang. Dia tidak usah takut ataupun gelisah. Kemurkaan Raja Rezin dan orang Siria serta Raja Pekah tidak lebih berbahaya daripada asap dua puntung kayu api. 5Siria telah berkomplot dengan Israel dan rajanya. 6Mereka hendak menyerang Yehuda dan menakut-nakutkan penduduknya supaya berpihak kepada mereka, lalu melantik anak lelaki Tabeel menjadi raja.
7Tetapi Aku, TUHAN, berfirman bahawa perkara ini sekali-kali tidak akan berlaku, 8kerana Siria tidak lebih kuat daripada Damsyik, ibu kotanya, dan Damsyik pun tidak lebih kuat daripada Raja Rezin. Sedangkan dalam masa enam puluh lima tahun, Israel akan berpecah belah sehingga tidak dapat bertahan sebagai satu bangsa. 9Israel tidak lebih kuat daripada Samaria, ibu kotanya, dan Samaria pun tidak lebih kuat daripada Raja Pekah.
Jika kamu tidak sungguh-sungguh percaya kepada-Ku, pasti kamu akan jatuh.”
Tanda Imanuel
10TUHAN menyampaikan satu lagi perkhabaran kepada Raja Ahas. 11“Mintalah supaya TUHAN, Allahmu memberikan satu tanda kepadamu, sama ada dari dunia orang mati di bawah, atau dari langit di atas.”
12Raja Ahas menjawab, “Beta tidak mahu meminta tanda. Beta tidak mahu menguji TUHAN.”
13Lalu Yesaya berkata, “Dengarlah baik-baik, hai keturunan Raja Daud. TIdak cukupkah tuanku menguji kesabaran manusia? Mestikah tuanku menguji kesabaran Allah hamba juga? 14#Mat 1.23 Baiklah, Tuhan sendiri akan memberikan tanda kepada tuanku: seorang gadis#gadis: Kata Ibrani yang diterjemahkan di sini dengan ‘gadis’ bererti wanita muda yang cukup umur untuk berkahwin, dan tidak mempunyai erti khusus ‘perawan’. Penggunaan kata ‘perawan’ dalam Mat 1.23 merujuk kepada terjemahan Perjanjian Lama ke dalam bahasa Yunani yang dibuat lebih kurang 500 tahun selepas Yesaya. yang mengandung akan melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakannya ‘Imanuel.’#Imanuel: Nama ini dalam bahasa Ibrani bererti “Allah berserta kita.” 15Apabila anak itu cukup dewasa untuk membuat keputusannya sendiri, negeri itu akan makmur.#makmur: Naskhah Ibrani: Ia akan minum susu dan madu. Makanan itu dihubungkan dengan permulaan sejarah Israel. 16Bahkan sebelum masa itu tiba, negeri kedua-dua orang raja yang tuanku takuti akan ditinggalkan kosong.
17TUHAN akan mendatangkan raja Asyur, lalu tuanku dan semua keluarga tuanku serta rakyat akan mengalami bencana yang lebih dahsyat daripada apa yang pernah berlaku sejak Israel terpisah dari Yehuda.
18Pada masa itu TUHAN akan bersiul sebagai tanda untuk memanggil tentera Mesir yang datang seperti kawanan lalat dari hujung Sungai Nil, dan tentera Asyur yang datang seperti kawanan lebah dari negeri mereka. 19Mereka akan mengerumuni lembah-lembah yang curam, celah-celah bukit batu, dan tiap-tiap belukar duri serta padang rumput.
20Pada masa itu Tuhan akan mengupah seorang pencukur, iaitu raja Asyur dari seberang Sungai Efrat. Raja itu akan mencukur janggut dan rambut pada kepala orang Israel, serta bulu pada tubuh mereka.
21Pada masa itu walaupun seorang penternak hanya dapat menyelamatkan seekor anak lembu dan dua ekor kambing, 22binatang-binatang itu akan memberikan susu yang lebih daripada cukup untuk keperluan penternak itu. Sesungguhnya, beberapa orang yang tersisa di negeri itu akan minum susu dan makan madu.
23Pada masa itu ladang anggur yang baik, yang ditanami seribu pokok dan berharga seribu wang perak, semuanya akan ditumbuhi semak dan belukar berduri. 24Di situ orang akan memburu binatang dengan busur dan panah. Seluruh negeri itu akan penuh dengan semak dan belukar berduri. 25Bukit-bukit yang dahulunya diusahakan akan ditumbuhi duri sehingga tiada sesiapa pun yang mahu ke situ. Tanah itu akan menjadi tempat merumput bagi lembu dan domba.”

Terpilih Sekarang Ini:

YESAYA 7: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk