YESAYA 9

9
1 # Mat 4.16; Luk 1.79 Orang yang berjalan dalam kegelapan
telah melihat cahaya yang sangat terang.
Mereka tinggal dalam bayangan segelap maut,
tetapi kini mereka disinari cahaya yang terang.
2Ya TUHAN, Engkau telah memberi mereka kesukaan besar,#Dapat bermakna: Engkau telah memberi mereka kesukaan besar; Naskhah Ibrani: Engkau telah membuat bangsa itu bertambah banyak.
Engkau membahagiakan mereka.
Mereka bersukacita kerana perbuatan-Mu,
seperti orang bersukacita semasa menuai hasil tanaman,
atau membahagi-bahagikan barang jarahan.
3Engkau sudah mengambil beban mereka yang berat,
dan kayu pikulan dari bahu mereka.
Engkau telah mengalahkan bangsa yang menindas dan memperdaya umat-Mu,
sebagaimana Engkau mengalahkan tentera Midian dahulu kala.
4Kasut yang dipakai oleh tentera yang menyerang
dan segala pakaian mereka yang berlumuran darah
akan dibakar habis oleh api.
5Seorang anak telah dilahirkan bagi kita!
Seorang anak lelaki telah dianugerahkan kepada kita!
Dia akan menjadi pemimpin kita.
Dia akan disebut “Penasihat Bijaksana,”#Bijaksana; atau yang mengagumkan.
“Allah Perkasa,” “Bapa Kekal,”
“Raja Damai.”
6 # Luk 1.32-33 Kekuasaan-Nya akan terus bertambah;
pemerintahan-Nya akan sentiasa aman.
Dia akan memerintah sebagai ganti Raja Daud,
pemerintahan-Nya akan berdasarkan hukum dan keadilan
dari sekarang hingga akhir zaman.
TUHAN Yang Maha Kuasa pasti melakukan segala perkara ini.
TUHAN Akan Menghukum Israel
7Tuhan telah menjatuhkan hukuman kepada kerajaan Israel, iaitu keturunan Yakub. 8Semua penduduk Israel dan kota Samaria akan mengetahui bahawa Dialah yang melakukan hal ini. Sekarang mereka sombong dan tinggi hati. Mereka berkata, 9“Bangunan-bangunan yang dibuat daripada batu bata telah roboh, tetapi kami akan menggantikannya dengan bangunan-bangunan daripada batu pahat. Kayu ara telah ditebang, tetapi kami akan menggantikannya dengan kayu sedar yang terbaik.”
10TUHAN telah menggerakkan musuh mereka#Dapat bermakna: musuh mereka; Naskhah Ibrani: musuh-musuh Raja Rezin. untuk menyerang mereka. 11Bangsa Siria di timur dan bangsa Filistin di barat telah mengangakan mulut untuk menelan Israel. Tetapi sekalipun semua itu terjadi, kemurkaan TUHAN masih belum padam; Dia masih hendak menghukum mereka.
12Umat Israel masih belum bertaubat. Walaupun TUHAN Yang Maha Kuasa telah menghukum mereka, tetapi mereka masih belum kembali kepada-Nya. 13Dalam sehari sahaja TUHAN akan menghukum pemimpin-pemimpin Israel bersama-sama rakyat. Dia akan memenggal dan membuang kepala serta ekor Israel. 14Kepala Israel ialah orang tua-tua dan orang terhormat, dan ekornya ialah nabi-nabi yang memberi ajaran yang menyesatkan! 15Pemimpin-pemimpin rakyat telah menyesatkan dan mengelirukan rakyat. 16Oleh itu, Tuhan tidak akan membenarkan orang muda mereka melepaskan diri. Dia tidak akan menunjukkan belas kasihan terhadap balu dan anak yatim piatu, kerana semua umat itu telah membuang iman dan derhaka. Segala perkataan mereka jahat. Tetapi sekalipun semua itu terjadi, kemurkaan TUHAN masih belum padam; Dia masih hendak menghukum mereka.
17Kejahatan umat itu berkobar seperti api yang memusnahkan semak berduri dan lalang. Nyalanya seperti hutan terbakar yang mengepul-ngepulkan asap. 18Kerana TUHAN Yang Maha Kuasa sangat murka, hukuman-Nya seperti api yang membakar seluruh negeri itu serta penduduknya. Tiap-tiap orang hanya mementingkan diri sendiri. 19Di seluruh negeri itu orang merenggut dan memakan apa-apa sahaja yang dapat dimakan, namun mereka tidak kenyang. Bahkan mereka makan saudara sendiri. 20Penduduk Manasye dan penduduk Efraim menyerang satu sama lain, lalu mereka bersama-sama menyerang Yehuda. Tetapi sekalipun semua itu terjadi, kemurkaan TUHAN masih belum padam; Dia masih hendak menghukum mereka.

Terpilih Sekarang Ini:

YESAYA 9: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk