YOHANES 18:19-40

YOHANES 18:19-40 BM

Imam Agung itu menyoal Yesus tentang pengikut-pengikut-Nya dan ajaran-Nya. Yesus menjawab, “Aku sentiasa berkata-kata dengan terus terang di hadapan umum. Aku selalu mengajar di rumah ibadat dan di Rumah Tuhan, tempat semua orang Yahudi berkumpul. Tidak pernah Aku berkata apa-apa dengan sembunyi-sembunyi. Mengapakah kamu menyoal Aku? Tanyalah mereka yang pernah mendengar Aku mengajar. Mereka mengetahui apa yang Aku katakan.” Ketika Yesus berkata demikian, salah seorang pengawal di situ menampar Dia sambil berkata, “Berani sungguh kamu berkata demikian kepada Imam Agung!” Yesus berkata kepadanya, “Jika Aku sudah berkata apa-apa yang salah, katakanlah kepada semua orang di sini apa kesalahan itu. Tetapi jika kata-kata-Ku benar, mengapa kamu menampar Aku?” Kemudian Hanas menyuruh orang membawa Yesus, yang masih terikat itu, kepada Imam Agung Kayafas. Simon Petrus masih juga berdiri berdiang di situ. Semua orang lain di situ bertanya kepadanya, “Bukankah kamu salah seorang pengikut orang itu?” Petrus menjawab, “Bukan!” Seorang daripada hamba-hamba Imam Agung ada di situ. Dia saudara kepada orang yang telinganya dikerat oleh Petrus. Dia berkata kepada Petrus, “Bukankah kamu yang aku lihat di taman itu bersama-sama dia?” Petrus berkata lagi, “Bukan.” Tepat pada waktu itu ayam berkokok. Pagi-pagi sekali, mereka membawa Yesus dari rumah Kayafas ke istana gabenor. Para penguasa Yahudi tidak masuk ke dalam istana, supaya mereka tidak menjadi najis dari segi agama, kerana mereka mahu makan Perjamuan Paska. Oleh itu Pilatus keluar untuk menjumpai mereka. Dia bertanya, “Apakah tuduhan kamu terhadap orang ini?” Mereka menjawab, “Kami tidak akan membawa dia menghadap tuan jika dia tidak bersalah.” Pilatus berkata kepada mereka, “Ambillah dia dan adililah dia menurut hukum kamu sendiri.” Tetapi mereka menjawab, “Kami tidak dibenarkan menghukum mati sesiapa pun.” ( Hal ini berlaku supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh Yesus tentang cara Dia akan mati.) Pilatus masuk kembali ke istana lalu memanggil Yesus. Dia bertanya kepada-Nya, “Adakah kamu raja orang Yahudi?” Yesus menjawab, “Adakah pertanyaan ini daripadamu atau orang lain sudah memberitahu kamu tentang diri-Ku?” Pilatus menjawab, “Adakah aku ini orang Yahudi? Bangsamu sendiri dan ketua-ketua imam sudah menyerahkan kamu kepadaku. Apakah yang sudah kamu lakukan?” Yesus berkata, “Pemerintahan-Ku bukan dari dunia ini. Jika pemerintahan-Ku dari dunia ini, semua orang-Ku akan melawan supaya Aku tidak diserahkan kepada para penguasa Yahudi. Tidak, pemerintahan-Ku bukan dari dunia ini!” Oleh itu Pilatus bertanya kepada-Nya, “Jika demikian, adakah kamu ini raja?” Yesus menjawab, “Kamu yang berkata bahawa Aku raja. Aku dilahirkan dan datang ke dunia untuk satu maksud sahaja; Aku datang untuk berkata tentang apa yang benar. Sesiapa yang menerima apa yang benar, mendengarkan Aku.” Pilatus bertanya kepada-Nya, “Apakah yang benar itu?” Kemudian Pilatus keluar lagi dari istana dan berkata kepada semua orang Yahudi di situ, “Aku tidak mendapat alasan apa pun untuk menghukum dia. Tetapi menurut kebiasaan kamu, aku selalu membebaskan seorang tahanan pada Perayaan Paska. Adakah kamu mahu aku melepaskan raja orang Yahudi ini?” Mereka menjawab sambil berseru, “Tidak! Bukan dia! Bebaskan Barabas!” (Barabas seorang perompak.)

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami