YOHANES 19:16-27

YOHANES 19:16-27 BM

Kemudian Pilatus menyerahkan Yesus kepada mereka untuk disalibkan. Mereka mengambil Yesus dan membawa Dia pergi. Sambil memikul salib-Nya, Yesus pergi ke luar bandar ke tempat yang bernama “Tempat Tengkorak.” (Dalam bahasa Ibrani tempat itu disebut “Golgota”.) Di situ Dia disalibkan. Dua orang lain juga disalibkan bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kiri, seorang di sebelah kanan dan Yesus di tengah. Pilatus menyuruh orang memasang papan kenyataan pada kayu salib Yesus. Papan kenyataan itu bertulis: “Yesus dari Nasaret, Raja Orang Yahudi”. Banyak orang Yahudi membacanya kerana tempat Yesus disalibkan itu tidak jauh dari bandar. Tulisan itu dalam bahasa Ibrani, Latin, dan Yunani. Ketua-ketua imam berkata kepada Pilatus, “Janganlah tulis, ‘Raja Orang Yahudi’, melainkan tulislah: ‘Orang ini berkata, Aku Raja Orang Yahudi.’ ” Tetapi Pilatus menjawab, “Apa yang sudah aku tulis tidak boleh diubah!” Setelah askar-askar itu menyalibkan Yesus, mereka mengambil pakaian-Nya lalu membahaginya menjadi empat bahagian; dan masing-masing mendapat sebahagian. Mereka juga mengambil jubah-Nya yang dibuat daripada sehelai kain yang ditenun dari atas sampai ke bawah tanpa jahitan. Askar-askar bercakap sesama sendiri, “Janganlah koyak jubah ini. Marilah kita buang undi untuk menentukan orang yang boleh mendapatnya.” Hal ini berlaku supaya apa yang tertulis di dalam Alkitab terjadi, “Mereka membahagi-bahagi pakaian-Ku, dan membuang undi bagi jubah-Ku.” Demikianlah yang dilakukan oleh askar-askar itu. Ibu Yesus, saudara perempuan ibunya, Maria isteri Klopas, dan Maria Magdalena berdiri dekat salib itu. Yesus nampak ibu-Nya dan pengikut yang dikasihi-Nya berdiri di situ. Oleh itu Yesus berkata kepada ibu-Nya, “Puan, dia anak puan.” Kemudian Yesus berkata kepada pengikut itu, “Dia ibumu.” Sejak itu, ibu Yesus tinggal di rumah pengikut itu.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan YOHANES 19:16-27