IMAMAT 11
11
Binatang yang Halal dan Haram
(Ul 14.3-21)
1TUHAN memberi Musa dan Harun peraturan-peraturan berikut 2bagi umat Israel. Kamu boleh makan binatang darat apa sahaja 3yang berkuku belah dan yang memamah biak. 4-6Tetapi kamu tidak boleh makan unta, landak batu, atau arnab. Binatang ini mesti dianggap haram kerana walaupun memamah biak, tetapi tidak berkuku belah. 7Jangan makan babi. Babi mesti dianggap haram kerana walaupun berkuku belah, tetapi tidak memamah biak. 8Jangan makan binatang-binatang itu, dan jangan sentuh bangkainya; binatang-binatang itu haram.
9Kamu boleh makan semua jenis ikan yang mempunyai sirip dan sisik, 10tetapi apa sahaja binatang yang hidup di dalam air dan yang tidak mempunyai sirip dan sisik, tidak boleh dimakan. 11Binatang seperti itu mesti dianggap haram. Kamu tidak boleh memakannya ataupun menyentuh bangkainya. 12Kamu tidak boleh makan binatang apa sahaja yang hidup di dalam air dan yang tidak mempunyai sirip dan sisik.
13-19Burung-burung yang berikut tidak boleh kamu makan: burung rajawali, burung hantu, semua jenis burung helang, burung nasar, burung gagak, burung unta, burung camar, burung ranggung, burung pucung, dan semua jenis burung bangau, burung undan, burung kosa, dan kelawar.
20Semua serangga yang bersayap adalah haram, 21kecuali serangga yang dapat melompat. 22Kamu boleh makan belalang juta, jengkerik, dan belalang. 23Tetapi semua serangga lain yang bersayap dan juga yang merayap mesti dianggap haram.
24-28Seseorang yang menyentuh bangkai binatang yang berikut akan menjadi najis sehingga matahari terbenam: semua binatang yang berkuku, kecuali yang berkuku belah dan yang memamah biak, dan semua binatang yang berkaki empat dan yang mempunyai cakar. Sesiapa yang membawa bangkai binatang jenis ini mesti mencuci pakaiannya, tetapi dia tetap najis sehingga matahari terbenam.
29-30Tikus mondok, tikus, cicak, biawak, dan semua jenis bengkarung mesti dianggap haram. 31Seseorang yang menyentuh binatang itu atau bangkainya, akan menjadi najis sehingga matahari terbenam. 32Jika bangkai binatang itu jatuh ke atas benda apa sahaja, benda itu pun menjadi najis; sama ada benda itu daripada kayu, kain, kulit, atau karung, tidak kira apa pun kegunaan benda-benda itu. Benda-benda itu harus dicelup ke dalam air, tetapi benda itu tetap najis sehingga matahari terbenam. 33Jika bangkai itu jatuh ke dalam belanga, segala yang ada di dalamnya menjadi najis, dan belanga itu mesti dipecah. 34Makanan apa sahaja yang biasanya boleh dimakan akan menjadi najis, jika kena air dari belanga itu, dan minuman yang di dalam belanga itu juga menjadi najis. 35Apa sahaja yang dijatuhi bangkai itu menjadi najis. Jika benda itu ketuhar tanah atau dapur arang, benda itu harus dipecah. 36Tetapi mata air dan perigi tidak menjadi najis, walaupun segala yang lain menjadi najis apabila terkena bangkai itu. 37Jika salah satu bangkai itu terjatuh ke atas benih yang akan ditanam, benih itu tidak menjadi najis. 38Tetapi jika benih itu sedang direndam di dalam air lalu salah satu bangkai itu terjatuh ke atasnya, benih itu menjadi najis.
39Sesiapa menyentuh bangkai binatang yang halal akan menjadi najis sehingga matahari terbenam. 40Sesiapa yang makan bahagian apa pun daripada bangkai binatang itu, mesti mencuci pakaiannya, tetapi dia akan tetap najis sehingga matahari terbenam. Sesiapa membawa bangkai itu mesti mencuci pakaiannya, tetapi dia akan tetap najis sehingga matahari terbenam.
41Kamu tidak boleh makan binatang kecil yang bergerak di atas tanah, 42baik binatang yang menjalar, yang berjalan dengan empat kaki, ataupun yang mempunyai banyak kaki. 43Jangan najiskan diri kamu dengan memakan salah satu binatang itu. 44#Im 19.2; 1 Ptr 1.16 Akulah TUHAN, Allah kamu; berhati-hatilah agar kamu tetap suci, kerana Aku suci. 45Akulah TUHAN yang membawa kamu keluar dari Mesir, supaya Aku boleh menjadi Allah kamu. Hendaklah kamu suci kerana Aku suci.
46Demikianlah peraturan-peraturan tentang binatang, burung, segala sesuatu yang hidup di dalam air, dan yang bergerak di atas tanah. 47Berhati-hatilah membezakan apa yang halal dengan apa yang haram, binatang yang boleh dimakan dengan binatang yang tidak boleh dimakan.
Terpilih Sekarang Ini:
IMAMAT 11: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.