IMAMAT 21

21
Kesucian Para Imam
1TUHAN memerintah Musa menyampaikan perintah ini kepada imam-imam keturunan Harun, “Seorang imam tidak boleh menajiskan diri dengan mengikuti upacara penguburan seorang sanak saudaranya, 2kecuali orang yang meninggal itu ibunya, bapanya, anak lelakinya, anak perempuannya, saudara lelakinya, 3atau saudara perempuannya yang belum berkahwin dan tinggal serumah dengan dia. 4Dia tidak boleh menajiskan diri dengan mengikuti upacara penguburan saudara mara isterinya.
5 # Im 19.27-28; Ul 14.1 Seorang imam tidak boleh membotakkan bahagian mana pun kepalanya, atau menggunting janggutnya, atau melukai tubuhnya untuk menunjukkan bahawa dia berkabung. 6Seorang imam harus suci dan tidak boleh menghina nama-Ku. Dia mempersembahkan persembahan makanan kepada-Ku, kerana itu dia harus suci. 7Seorang imam tidak boleh berkahwin dengan pelacur perempuan, atau perempuan yang bukan dara lagi, atau perempuan yang sudah bercerai, kerana imam dikhaskan untuk Aku. 8Umat Israel harus mengakui imam sebagai orang yang dikhaskan bagi-Ku kerana imam mempersembahkan persembahan makanan kepada-Ku. Akulah TUHAN; Aku ini suci dan Aku menyucikan umat-Ku. 9Jika anak perempuan seorang imam menjadi pelacur, dia menghina bapanya; perempuan itu mesti dibakar sampai mati.
10Imam Agung sudah ditahbiskan dengan menuangkan minyak upacara ke atas kepalanya, dan dengan mengenakan pakaian imam agung padanya. Oleh itu dia tidak boleh membiarkan rambutnya kusut, atau mengoyakkan pakaiannya untuk menunjukkan bahawa dia berkabung. 11-12Dia sudah dikhaskan untuk Aku, oleh itu dia tidak boleh menajiskan diri. Dia tidak boleh meninggalkan Khemah-Ku lalu masuk ke rumah yang ada jenazah, walaupun jenazah itu jenazah bapa atau ibunya sendiri. Perbuatannya itu menajiskan Khemah-Ku. 13Imam Agung harus berkahwin dengan seorang anak dara. 14Dia tidak boleh berkahwin dengan seorang balu, atau perempuan yang sudah bercerai, atau perempuan bekas pelacur. Dia hanya boleh berkahwin dengan seorang anak dara daripada puaknya sendiri. 15Jika dia melanggar peraturan itu, anak-anaknya yang seharusnya suci, akan menjadi najis. Akulah TUHAN dan Aku sudah mengkhususkan dia sebagai Imam Agung.”
16TUHAN menyuruh Musa 17menyampaikan hal ini kepada Harun, “Sesiapa daripada keturunanmu yang mempunyai cacat tubuh, orang itu tidak boleh mempersembahkan persembahan makanan kepada-Ku. Peraturan ini berlaku selama-lamanya. 18Orang yang mempunyai cacat tubuh seperti yang berikut tidak boleh mempersembahkan korban: orang buta, orang tempang, orang yang cacat muka atau cacat anggota tubuhnya; 19orang yang lumpuh tangan atau tempang kakinya; 20orang yang bongkok atau orang kerdil; orang yang berpenyakit mata atau berpenyakit kulit, dan orang yang dikembiri. 21Setiap keturunan Imam Harun yang mempunyai cacat pada tubuhnya, tidak boleh mempersembahkan persembahan makanan kepada-Ku. 22Tetapi orang yang demikian boleh makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada-Ku, sama ada persembahan makanan yang suci, mahupun persembahan makanan yang sangat suci. 23Tetapi oleh sebab kecacatannya, dia tidak boleh mendekati tirai yang memisahkan Bilik Suci ataupun datang ke mazbah. Dia tidak boleh menajiskan benda-benda yang sudah dikhaskan untuk Aku, kerana Akulah TUHAN dan Akulah yang mengekhaskan benda-benda itu untuk Aku.”
24Itulah peraturan-peraturan yang disampaikan oleh Musa kepada Harun, anak-anak Harun dan segenap umat Israel.

Terpilih Sekarang Ini:

IMAMAT 21: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk