IMAMAT 6
6
1TUHAN memberikan peraturan ini kepada Musa. 2-3Jika seseorang berdosa terhadap TUHAN kerana tidak mahu mengembalikan barang-barang yang dititipkan kepadanya oleh sesama orang Israel, atau kerana menipu orang, ataupun mencuri barang milik orang itu, atau kerana bersumpah tidak menjumpai sesuatu barang yang hilang, orang itu harus mempersembahkan korban kepada TUHAN. 4-5Orang yang berdosa itu harus membayar segala yang telah diperolehnya dengan cara yang tidak jujur. Pada hari dia didapati bersalah, dia harus membayar harga sepenuhnya kepada si pemilik, ditambah pula dengan dua puluh peratus. 6Orang yang bersalah itu harus membawa seekor domba jantan atau seekor kambing jantan yang tidak ada cacat kepada imam sebagai korban untuk membayar ganti rugi kepada TUHAN. Harganya harus dinilai menurut apa yang ditetapkan di Khemah TUHAN. 7#Bil 5.5-8 Imam harus mempersembahkan korban untuk mengampunkan dosa orang itu, lalu orang itu akan diampuni oleh TUHAN.
Korban untuk Menyenangkan Hati TUHAN
8TUHAN memerintah Musa 9supaya memberi Harun dan anak-anaknya peraturan berikut tentang korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Korban itu harus ditinggalkan di atas mazbah sepanjang malam, dan apinya harus menyala terus. 10Kemudian imam yang berpakaian jubah linen dan celana pendek daripada linen, harus mengambil abu berlemak yang tertinggal di mazbah lalu menaruhnya di tepi mazbah itu. 11Selepas itu imam harus menukar pakaiannya lalu membawa abu itu ke luar perkhemahan, ke tempat yang dikhaskan untuk abu itu. 12Api di atas mazbah harus terus-menerus menyala dan tidak boleh padam. Tiap-tiap pagi imam harus meletakkan kayu api di atas mazbah, menyusun korban untuk menyenangkan hati TUHAN, di atas mazbah, dan membakar lemak daripada korban untuk memohon berkat TUHAN. 13Api di atas mazbah itu harus terus-menerus menyala dan tidak boleh padam.
Korban untuk Mengucap Syukur kepada TUHAN
14Inilah peraturan tentang korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN. Seorang imam keturunan Harun harus mempersembahkan korban itu di hadapan mazbah. 15Imam itu harus mengambil segenggam tepung bersama dengan minyak, serta semua kemenyannya, lalu membakar semuanya di atas mazbah sebagai tanda bahawa seluruhnya sudah dipersembahkan kepada TUHAN. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN. 16-17Tepung yang selebihnya harus dijadikan roti tidak beragi dan dimakan oleh imam di tempat yang khas, iaitu di halaman Khemah TUHAN. TUHAN sudah memberikan roti itu kepada para imam sebagai bahagian mereka daripada persembahan makanan. Korban ini sangat suci, seperti korban untuk mengampunkan dosa dan korban untuk membayar ganti rugi. 18Untuk sepanjang masa, setiap orang lelaki keturunan Harun boleh memakannya sebagai bahagian mereka daripada makanan yang dipersembahkan kepada TUHAN. Orang lain yang menyentuh persembahan makanan akan ditimpa celaka kerana kekuatan kesuciannya.
19TUHAN memberikan peraturan ini kepada Musa 20bagi pentahbisan imam keturunan Harun. Pada hari seorang imam ditahbiskan, dia harus mempersembahkan satu kilogram tepung yang terbaik (sama banyaknya dengan korban untuk mengucap syukur, yang dipersembahkan setiap hari) kepada TUHAN, separuh pada waktu pagi dan separuh pada waktu petang. 21Tepung itu harus dicampuri minyak dan dimasak di atas pemanggang, kemudian dibelah-belah dan dipersembahkan sebagai korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN. 22Untuk sepanjang masa, korban ini harus dipersembahkan oleh tiap-tiap keturunan Harun yang menjadi Imam Agung. Korban ini mesti dibakar seluruhnya sebagai persembahan kepada TUHAN. 23Sedikit pun daripada korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, yang dipersembahkan oleh imam tidak boleh dimakan; seluruhnya mesti dibakar.
Korban untuk Mengampunkan Dosa
24TUHAN memerintah Musa 25untuk memberi Harun dan anak-anaknya peraturan berikut tentang korban untuk mengampunkan dosa. Binatang bagi korban ini harus disembelih di sebelah utara mazbah, di tempat menyembelih binatang bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Korban ini sangat suci. 26Imam yang mempersembahkan binatang itu harus memakannya di tempat yang khas, iaitu di halaman Khemah TUHAN. 27Seseorang atau apa pun yang terkena daging binatang itu akan ditimpa celaka kerana kekuatan kesuciannya. Pakaian yang kena percikan darah binatang itu harus dibasuh di tempat yang khas. 28Periuk tanah yang digunakan untuk merebus daging itu mesti dipecahkan. Jika periuk itu dibuat daripada logam, periuk itu harus digosok dan dibilas dengan air. 29Setiap orang lelaki daripada keluarga imam boleh makan korban ini; korban ini sangat suci. 30Tetapi jika ada darah binatang itu yang dibawa masuk ke dalam Khemah TUHAN lalu digunakan untuk upacara pengampunan dosa, daging binatang itu tidak boleh dimakan; binatang itu mesti dibakar.
Terpilih Sekarang Ini:
IMAMAT 6: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.