LUKAS 12:13-33

LUKAS 12:13-33 BM

Seorang daripada orang ramai berkata kepada Yesus, “Guru, suruhlah saudara saya berikan sebahagian daripada harta peninggalan bapa kami kepada saya.” Yesus berkata kepadanya, “Saudara, siapa memberikan kuasa kepada-Ku untuk menjadi hakim, ataupun membahagikan harta antara kamu berdua?” Seterusnya Yesus berkata kepada mereka semua, “Berjaga-jagalah dan berwaspadalah! Janganlah tamak! Hidup seseorang tidak terdiri daripada kekayaannya, walaupun hartanya banyak sekali.” Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka. Dia berkata, “Seorang hartawan mempunyai tanah yang menghasilkan tuaian yang banyak. Dia mula berfikir dalam hati, ‘Aku tidak mempunyai tempat untuk menyimpan segala hasil tanahku. Apakah yang harus aku lakukan?’ ‘Inilah yang akan aku lakukan,’ katanya kepada dirinya sendiri, ‘Aku akan merombak gudang-gudangku lalu mendirikan yang lebih besar. Dengan demikian aku dapat menyimpan hasil tanahku dan segala hartaku yang lain di situ. Setelah itu barulah aku berkata kepada diriku sendiri, kamu sungguh bertuah! Kamu mempunyai segala yang baik bagi keperluanmu selama bertahun-tahun. Nikmatilah hidup! Makan, minum, dan bersukacitalah!’ Tetapi Allah berkata kepadanya, ‘Hai bodoh! Malam ini juga engkau mesti menyerahkan nyawamu! Lalu siapakah yang akan mendapat segala harta yang telah engkau kumpulkan untuk dirimu sendiri itu?’ ” Lalu Yesus mengakhiri cerita-Nya dengan berkata, “Demikianlah halnya dengan orang yang mengumpulkan harta untuk diri sendiri, padahal tidak kaya di sisi Allah.” Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Itulah sebabnya Aku berkata kepada kamu: Janganlah khuatir tentang hidup kamu, tentang apa yang akan kamu makan, atau apa yang akan kamu pakai. Hidup itu lebih berharga daripada makanan, dan tubuh lebih berharga daripada pakaian. Perhatikanlah burung gagak yang tidak menanam benih, tidak menuai tuaian dan tidak mempunyai gudang atau jelapang, tetapi dipelihara oleh Allah! Kamu jauh lebih berharga daripada burung! Siapakah antara kamu yang dengan kekhuatiran dapat memanjangkan umur walaupun sedikit? Jika kamu tidak dapat menguasai perkara sekecil itu, mengapa kamu khuatir akan perkara-perkara lain? Lihatlah bunga bakung yang tumbuh di padang; bunga itu tidak bekerja dan tidak menenun. Tetapi ketahuilah, Raja Salomo dengan segala kekayaannya tidak berpakaian seindah bunga itu! Jika Allah menghiasi rumput di padang yang ada pada hari ini tetapi keesokan harinya dibakar di dapur, tidakkah Dia akan memastikan kamu berpakaian? Alangkah lemahnya iman kamu! Oleh itu, janganlah khuatir dan janganlah selalu fikirkan apa yang hendak kamu makan dan minum. (Orang yang tidak mengenal Allah selalu memikirkan hal-hal itu.) Bapa kamu tahu bahawa kamu memerlukan semua itu. Sebaliknya, utamakanlah Pemerintahan Allah dengan melakukan apa yang dikehendaki oleh Allah, maka semua itu akan diberikan oleh Allah kepada kamu.” “Janganlah takut, hai kamu yang kecil bilangan, kerana Bapa kamu berkenan membenarkan kamu menikmati Pemerintahan-Nya. Juallah segala milik kamu, dan berikan wangnya kepada orang miskin. Bagi diri kamu, buatlah dompet yang tidak dapat rosak dan simpanlah harta kamu di syurga. Di situ harta kamu tidak akan berkurang, kerana pencuri tidak dapat masuk dan gegat tidak dapat merosakkannya.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan LUKAS 12:13-33