LUKAS 18:1-14

LUKAS 18:1-14 BM

Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan ini untuk mengajar pengikut-pengikut-Nya supaya sentiasa berdoa dan tidak putus asa. Yesus berkata, “Di sebuah kota ada seorang hakim yang tidak takut akan Allah dan tidak peduli akan sesiapa pun. Di kota itu juga ada seorang balu yang selalu datang kepada hakim itu untuk memohon supaya perkaranya dibela. ‘Tolonglah saya menghadapi lawan saya,’ kata balu itu. Sudah lama hakim itu tidak mahu menolong balu itu, tetapi akhirnya hakim itu berkata dalam hati, ‘Sungguhpun aku tidak takut akan Allah dan tidak peduli akan sesiapa pun, tetapi kerana balu ini terus mengganggu aku, biarlah aku membela perkaranya. Jika tidak, dia akan terus-menerus datang dan menyusahkan aku!’ ” Lalu Tuhan berkata, “Dengarlah apa yang dikatakan oleh hakim yang jahat itu! Tidakkah Allah akan membela umat-Nya yang berseru kepada-Nya siang malam? Adakah Dia akan berlambat-lambat untuk menolong mereka? Percayalah, Allah akan membela mereka dengan segera! Tetapi, adakah Anak Manusia akan menjumpai orang yang percaya kepada-Nya di bumi ini, apabila Dia datang?” Yesus juga menceritakan perumpamaan ini kepada orang yang menghina orang lain, tetapi menganggap diri mereka baik. Yesus berkata, “Dua orang pergi ke Rumah Tuhan untuk berdoa. Yang seorang orang Farisi dan yang seorang lagi pemungut cukai. Orang Farisi itu berdiri sendirian dan berdoa, ‘Aku bersyukur kepada-Mu, ya Allah, kerana aku tidak seperti orang lain yang tamak, suka menipu atau berzina. Aku bersyukur kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini. Aku berpuasa dua kali seminggu dan aku mempersembahkan sepersepuluh daripada segala pendapatanku.’ Tetapi pemungut cukai itu berdiri agak jauh dan tidak berani menengadah ke langit. Dia menebah dada kerana menyesal sambil berkata, ‘Ya Allah, kasihanilah hamba, orang berdosa ini!’ ” Yesus berkata kepada mereka, “Percayalah, apabila mereka pulang ke rumah, pemungut cukailah yang diterima oleh Allah dan bukan orang Farisi itu. Setiap orang yang meninggikan diri akan direndahkan dan setiap orang yang merendahkan diri akan ditinggikan.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan LUKAS 18:1-14

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami