LUKAS 8:40-56

LUKAS 8:40-56 BM

Apabila Yesus kembali ke seberang tasik, orang ramai menyambut Dia kerana mereka sedang menanti-nantikan Dia. Lalu datanglah seorang bernama Yairus. Dia ketua rumah ibadat tempatan. Dia sujud di hadapan Yesus dan memohon supaya Yesus datang ke rumahnya, kerana anak perempuannya yang tunggal, yang berumur dua belas tahun, hampir meninggal. Sedang Yesus berjalan ke rumah Yairus, orang mengasak Dia dari semua sisi. Di situ ada seorang wanita yang menderita penyakit pendarahan selama dua belas tahun. Dia telah menghabiskan segala miliknya untuk rawatan doktor, tetapi tiada seorang pun dapat menyembuhkan dia. Wanita itu mendekati Yesus dari belakang, lalu menyentuh hujung jubah-Nya, dan dengan segera pendarahannya berhenti. Yesus bertanya, “Siapa menyentuh Aku?” Tiada orang yang mahu mengaku. Petrus berkata, “Guru, orang di sini banyak sekali; mereka berasak-asakan!” Tetapi Yesus berkata, “Ada orang yang menyentuh Aku. Aku tahu kerana kuasa telah keluar daripada-Ku.” Wanita itu sedar bahawa perbuatannya sudah diketahui oleh Yesus. Dia datang dengan gementar lalu sujud pada kaki Yesus. Di hadapan semua orang, dia memberitahu Yesus mengapa dia menyentuh Yesus dan bagaimana penyakitnya sembuh dengan serta-merta. Yesus berkata kepadanya, “Anak-Ku, kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh. Pergilah dengan sejahtera.” Sedang Yesus berkata demikian, seorang pesuruh datang dari rumah Yairus. Dia berkata kepada Yairus, “Anak perempuan tuan sudah meninggal. Janganlah susahkan guru lagi.” Yesus mendengar kata-kata itu. Dia berkata kepada Yairus. “Jangan takut. Percayalah sahaja dan anakmu akan sembuh.” Apabila Yesus tiba di rumah itu, Dia tidak membenarkan sesiapa pun masuk dengan Dia kecuali Petrus, Yohanes, Yakobus, dan ibu bapa anak itu. Semua orang sedang menangisi dan meratapi kematian anak itu. Yesus berkata, “Janganlah menangis. Anak ini tidak meninggal, dia hanya tidur!” Semua orang mentertawakan Yesus, kerana mereka tahu bahawa anak itu sudah meninggal. Tetapi Yesus memegang tangan anak itu, lalu berkata, “Bangunlah, nak!” Nyawa anak itu kembali dan seketika itu juga dia bangun. Lalu Yesus menyuruh mereka memberikan makanan kepada anak itu. Ibu bapa anak itu sangat hairan, tetapi Yesus melarang mereka memberitahu sesiapa pun apa yang sudah berlaku.