MATIUS 13:1-23

MATIUS 13:1-23 BM

Pada hari itu juga Yesus meninggalkan rumah itu lalu pergi ke tepi tasik. Dia duduk di situ dan mengajar. Orang yang berkumpul di sekeliling-Nya begitu banyak sehingga Yesus menaiki sebuah perahu lalu duduk di situ, sedangkan orang ramai berdiri di pantai. Yesus mengajar mereka banyak perkara dengan menggunakan perumpamaan. Dia berkata, “Seorang peladang pergi menabur benih. Semasa dia menabur benih, ada benih yang jatuh di jalan, lalu burung datang dan memakan habis benih itu. Ada juga yang jatuh di tempat berbatu yang sedikit tanahnya. Benih-benih itu segera bertunas kerana tanahnya sedikit. Tetapi apabila matahari naik, tunas-tunas itu layu lalu kering. Tumbuhan itu mati kerana akarnya tidak dalam. Ada pula yang jatuh di tengah semak berduri. Semak berduri itu tumbuh, lalu membantutkan tumbuhan itu. Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur lalu berbuah. Hasilnya ada yang seratus kali ganda, ada yang enam puluh kali ganda, dan ada yang tiga puluh kali ganda.” Lalu Yesus berkata, “Jika kamu bertelinga, dengarlah!” Kemudian pengikut-pengikut Yesus datang dan bertanya kepada-Nya, “Mengapa Guru menggunakan perumpamaan ketika berkata-kata kepada orang ramai?” Yesus menjawab, “Kamu telah diberikan anugerah untuk mengetahui rahsia tentang bagaimana Allah memerintah, sedangkan mereka tidak. Seseorang yang mempunyai sesuatu akan diberikan lebih banyak lagi, supaya dia beroleh lebih daripada cukup. Tetapi seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga. Itulah sebabnya Aku menggunakan perumpamaan ketika berkata-kata kepada orang ramai, kerana mereka melihat tetapi tidak nampak dan mereka mendengar tetapi tidak mengerti. Dengan perbuatan mereka itu berlakulah nubuat Nabi Yesaya, ‘Allah berfirman: Mereka akan mendengar dan mendengar, tetapi tidak faham; mereka akan melihat dan melihat, tetapi tidak nampak, kerana seolah-olah fikiran mereka tumpul; telinga pekak, dan mata buta. Jika mereka tidak demikian, tentu mata mereka akan melihat, telinga akan mendengar, dan fikiran boleh mengerti, sehingga mereka kembali kepada-Ku, dan Aku pun akan menyembuhkan mereka.’ Tetapi kamu sangat bertuah! Mata kamu melihat dan telinga kamu mendengar. Ketahuilah! Banyak nabi dan orang yang melakukan kehendak Allah ingin melihat apa yang kamu lihat sekarang ini, tetapi tidak dapat melihatnya. Mereka ingin mendengar apa yang kamu dengar tetapi tidak dapat mendengarnya.” “Dengarlah dan ketahuilah makna perumpamaan tentang seorang penabur itu. Benih yang jatuh di jalan bagaikan orang yang mendengar perkhabaran tentang bagaimana Allah memerintah, tetapi tidak memahaminya. Si Jahat iaitu Iblis datang lalu merampas apa yang sudah ditabur di dalam hati mereka. Benih yang jatuh di tempat yang berbatu bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu lalu segera menerimanya dengan sukacita. Tetapi perkhabaran itu tidak berakar di dalam hati, sehingga mereka tidak tahan lama. Apabila mereka menderita kesusahan atau penganiayaan oleh sebab perkhabaran itu, segera mereka tidak lagi percaya kepada perkhabaran itu. Benih yang jatuh di tengah semak berduri bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu, tetapi kekhuatiran tentang hidup dan keinginan untuk hidup mewah membantutkan perkhabaran itu sehingga tidak berbuah. Benih yang jatuh di tanah subur bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu lalu memahaminya, dan berbuah banyak; ada yang seratus kali ganda, ada yang enam puluh kali ganda, dan ada yang tiga puluh kali ganda.”