MATIUS 21:23-32

MATIUS 21:23-32 BM

Yesus kembali ke Rumah Tuhan. Semasa Dia mengajar, ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi datang kepada-Nya dan bertanya, “Dengan hak siapakah kamu melakukan perkara-perkara ini? Siapakah yang memberikan hak ini kepadamu?” Yesus menjawab, “Aku akan bertanya satu soalan sahaja. Jika kamu menjawabnya, Aku akan memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini. Dengan hak siapa Yohanes membaptis orang? Dengan hak Allah atau manusia?” Mereka mula berbincang sesama sendiri, “Apakah yang akan kita katakan? Jika kita menjawab, ‘Dengan hak Allah,’ Dia akan berkata, ‘Mengapakah kamu tidak percaya kepada Yohanes?’ Tetapi jika kita berkata, ‘Dengan hak manusia,’ kita takut akan apa yang mungkin dilakukan orang ramai, kerana mereka semua yakin bahawa Yohanes seorang nabi.” Oleh itu, mereka menjawab, “Kami tidak tahu.” Yesus berkata kepada mereka, “Jika demikian Aku pun tidak mahu memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini.” “Sekarang bagaimana pendapat kamu?” kata Yesus selanjutnya. “Ada seorang bapa yang mempunyai dua orang anak lelaki. Dia pergi kepada anaknya yang sulung dan berkata, ‘Pergilah bekerja di ladang anggur hari ini.’ Anaknya menjawab, ‘Saya tidak mahu,’ tetapi kemudian anak itu mengubah fikirannya lalu pergi ke ladang anggur itu. Kemudian bapa itu pergi kepada anaknya yang kedua, dan mengatakan hal yang sama. ‘Baiklah ayah,’ jawab anaknya yang kedua. Tetapi dia tidak pergi. Yang manakah antara kedua-dua orang anak itu melakukan kehendak bapanya?” “Anak yang sulung,” jawab mereka. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, “Ketahuilah! Pemungut cukai dan pelacur akan menikmati Pemerintahan Allah lebih dahulu daripada kamu. Yohanes Pembaptis datang kepada kamu dan menunjukkan cara hidup yang dikehendaki oleh Allah, tetapi kamu tidak mahu percaya kepada ajarannya. Sebaliknya pemungut cukai dan pelacur percaya kepada ajarannya. Meskipun kamu telah melihat pemungut cukai dan pelacur berbuat demikian, kamu tidak mahu mengubah fikiran dan percaya kepada ajarannya.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami