MATIUS 24:36-51

MATIUS 24:36-51 BM

“Meskipun demikian, tidak seorang pun mengetahui hari atau waktunya, sama ada malaikat-malaikat di syurga ataupun Anak; hanya Bapa yang tahu. Apabila Anak Manusia datang kelak, masa itu seperti zaman Nuh. Pada masa banjir belum melanda, orang makan dan minum, lelaki dan perempuan berkahwin sehingga pada hari Nuh masuk ke dalam bahtera. Mereka tidak tahu akan apa yang sedang berlaku sehingga banjir membinasakan mereka semua. Demikianlah keadaannya apabila Anak Manusia datang. Pada waktu itu, dua orang sedang bekerja di ladang: Seorang akan dibawa pergi dan seorang lagi akan ditinggalkan. Dua orang wanita sedang menggiling gandum: Seorang akan dibawa pergi dan seorang lagi akan ditinggalkan. Berjaga-jagalah kerana kamu tidak mengetahui waktunya Tuhan kamu akan datang. Ingatlah hal ini! Jika tuan rumah mengetahui waktunya pencuri hendak datang, dia tidak akan tidur. Dia tidak akan membenarkan pencuri memasuki rumahnya. Oleh itu, kamu pun hendaklah sentiasa bersedia, kerana Anak Manusia akan datang pada saat yang tidak kamu sangka.” “Siapakah hamba yang setia dan bijak? Dialah orang yang ditunjuk tuannya menjadi pengurus rumah tangganya. Tuannya juga menyuruh dia memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktu yang ditentukan. Alangkah bahagianya hamba itu, jika dia didapati menjalankan tugas pada masa tuannya kembali. Percayalah, tuan itu akan mempercayakan segala hartanya kepada hamba itu. Tetapi jika hamba itu orang yang jahat, dia akan berkata dalam hati, ‘Masih lama lagi tuanku akan kembali.’ Lalu dia mula memukul hamba-hamba yang lain, dan makan minum dengan orang yang suka mabuk. Kemudian pada hari dan masa yang tidak disangkanya, tuan hamba itu kembali. Dia akan menghukum hamba itu dengan berat, dan membuang hamba itu ke tempat orang munafik dihukum. Di sana dia akan menangis dan menderita.”