MAZMUR 119:81-128

MAZMUR 119:81-128 BM

Ya TUHAN, aku lelah menunggu Engkau untuk menyelamatkan aku; aku percaya akan janji-Mu. Mataku penat menanti-nantikan apa yang Engkau janjikan, sementara aku bertanya, “Bilakah Engkau akan menolong aku?” Aku seperti kirbat wain yang sudah dibuang, namun aku tidak melupakan perintah-Mu. Sampai bilakah aku mesti menunggu? Bilakah Engkau menghukum mereka yang menganiaya aku? Orang sombong yang tidak mematuhi Taurat-Mu sudah menggali lubang untuk memerangkap aku. Semua perintah-Mu dapat dipercayai; tolonglah aku kerana orang menganiaya aku dengan dusta! Mereka hampir berjaya membunuh aku, tetapi aku tidak mengabaikan perintah-Mu. Semoga Engkau baik hati kepadaku kerana kasih-Mu yang kekal, supaya aku dapat mentaati hukum-Mu. Ya TUHAN, firman-Mu kekal selama-lamanya; firman-Mu kekal abadi di syurga. Engkau tetap setia selama-lamanya, Engkau telah menempatkan bumi, dan bumi tetap ada. Demi perintah-Mu segala sesuatu tetap ada sampai sekarang, kerana semuanya hamba-Mu. Sekiranya Taurat-Mu bukan sumber kegembiraanku, pasti aku sudah mati kerana kesengsaraanku. Aku tidak sekali-kali akan melalaikan peraturan-Mu, kerana dengan peraturan itu Engkau memelihara nyawaku. Selamatkanlah aku kerana aku kepunyaan-Mu; aku telah berusaha untuk mentaati perintah-Mu. Orang jahat tertunggu-tunggu hendak membunuh aku, tetapi aku akan merenungkan hukum-Mu. Aku sedar bahawa segala-galanya mempunyai batas; hanya perintah-Mu yang sempurna. Aku sangat mencintai Taurat-Mu! Aku merenungkannya sepanjang hari. Perintah-Mu selalu bersama-sama aku, dan menjadikan aku lebih bijak daripada semua musuhku. Pengertianku melebihi pengertian semua guruku, kerana aku merenungkan peraturan-Mu. Aku lebih bijak daripada orang tua, kerana aku mentaati perintah-Mu. Aku mengelakkan segala kelakuan jahat, kerana aku mahu mematuhi firman-Mu. Aku tidak melalaikan peraturan-Mu, kerana Engkaulah yang mengajar aku. Betapa manisnya peraturan-Mu; lebih manis daripada madu! Aku mendapat kebijaksanaan daripada hukum-Mu, oleh itu aku membenci segala kelakuan buruk. Firman-Mu itu pelita yang memimpin aku, dan cahaya yang menerangi jalanku. Aku akan menepati janji yang aku buat dengan sumpah, untuk mentaati peraturan-Mu yang adil. Penderitaanku sungguh berat, ya TUHAN; selamatkanlah nyawaku menurut janji-Mu. Terimalah doa kesyukuranku, ya TUHAN, dan ajarlah aku perintah-Mu. Aku selalu sedia mempertaruhkan nyawaku; aku tidak melupakan Taurat-Mu. Orang jahat memasang perangkap untukku, tetapi aku tidak melanggar perintah-Mu. Perintah-Mu adalah pusakaku selama-lamanya; perintah-Mu adalah kesukaan hatiku. Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati hukum-Mu sehingga akhir hidupku. Aku membenci orang yang tidak setia kepada-Mu dengan sepenuh hati, tetapi aku mencintai Taurat-Mu. Engkaulah pembelaku dan pelindungku; aku berharap kepada janji-Mu. Hai orang jahat, pergilah daripadaku. Aku akan mematuhi perintah Allahku. Kuatkanlah aku menurut janji-Mu, agar aku hidup; jangan biarkan aku dikecewakan dalam harapanku! Bantulah aku, lalu aku akan selamat, dan aku akan sentiasa memperhatikan perintah-Mu. Engkau menolak semua orang yang tidak mematuhi hukum-Mu; muslihat mereka sia-sia belaka. Engkau menganggap semua orang jahat seperti sampah; oleh itu aku mencintai peraturan-Mu. Aku gementar kerana takut kepada-Mu, dan aku gentar kerana ketetapan-Mu. Aku telah melakukan perkara yang adil dan benar; jangan serahkan aku kepada musuh-musuhku! Berjanjilah bahawa Engkau akan menolong hamba-Mu; jangan biarkan orang sombong menindas aku! Mataku penat menantikan Engkau datang untuk menyelamatkan aku, dan untuk membebaskan aku, menurut janji-Mu. Perlakukanlah aku sesuai dengan kasih-Mu, dan ajarlah aku perintah-Mu. Aku ini hamba-Mu, berilah aku pengertian, supaya aku memahami ajaran-Mu. Inilah masanya Engkau bertindak, ya TUHAN, kerana orang melanggar Taurat-Mu. Aku mencintai perintah-Mu lebih daripada emas, lebih daripada emas murni. Oleh itu aku mengikut segala peraturan-Mu; aku benci akan segala perbuatan yang salah.