Aku sangat mencintai Taurat-Mu!
Aku merenungkannya sepanjang hari.
Perintah-Mu selalu bersama-sama aku,
dan menjadikan aku lebih bijak daripada semua musuhku.
Pengertianku melebihi pengertian semua guruku,
kerana aku merenungkan peraturan-Mu.
Aku lebih bijak daripada orang tua,
kerana aku mentaati perintah-Mu.
Aku mengelakkan segala kelakuan jahat,
kerana aku mahu mematuhi firman-Mu.
Aku tidak melalaikan peraturan-Mu,
kerana Engkaulah yang mengajar aku.
Betapa manisnya peraturan-Mu;
lebih manis daripada madu!
Aku mendapat kebijaksanaan daripada hukum-Mu,
oleh itu aku membenci segala kelakuan buruk.
Firman-Mu itu pelita yang memimpin aku,
dan cahaya yang menerangi jalanku.
Aku akan menepati janji yang aku buat dengan sumpah,
untuk mentaati peraturan-Mu yang adil.
Penderitaanku sungguh berat, ya TUHAN;
selamatkanlah nyawaku menurut janji-Mu.
Terimalah doa kesyukuranku, ya TUHAN,
dan ajarlah aku perintah-Mu.
Aku selalu sedia mempertaruhkan nyawaku;
aku tidak melupakan Taurat-Mu.
Orang jahat memasang perangkap untukku,
tetapi aku tidak melanggar perintah-Mu.
Perintah-Mu adalah pusakaku selama-lamanya;
perintah-Mu adalah kesukaan hatiku.
Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati hukum-Mu
sehingga akhir hidupku.
Aku membenci orang yang tidak setia kepada-Mu dengan sepenuh hati,
tetapi aku mencintai Taurat-Mu.
Engkaulah pembelaku dan pelindungku;
aku berharap kepada janji-Mu.
Hai orang jahat, pergilah daripadaku.
Aku akan mematuhi perintah Allahku.
Kuatkanlah aku menurut janji-Mu, agar aku hidup;
jangan biarkan aku dikecewakan dalam harapanku!
Bantulah aku, lalu aku akan selamat,
dan aku akan sentiasa memperhatikan perintah-Mu.
Engkau menolak semua orang yang tidak mematuhi hukum-Mu;
muslihat mereka sia-sia belaka.
Engkau menganggap semua orang jahat seperti sampah;
oleh itu aku mencintai peraturan-Mu.
Aku gementar kerana takut kepada-Mu,
dan aku gentar kerana ketetapan-Mu.
Aku telah melakukan perkara yang adil dan benar;
jangan serahkan aku kepada musuh-musuhku!
Berjanjilah bahawa Engkau akan menolong hamba-Mu;
jangan biarkan orang sombong menindas aku!
Mataku penat menantikan Engkau datang untuk menyelamatkan aku,
dan untuk membebaskan aku, menurut janji-Mu.
Perlakukanlah aku sesuai dengan kasih-Mu,
dan ajarlah aku perintah-Mu.
Aku ini hamba-Mu, berilah aku pengertian,
supaya aku memahami ajaran-Mu.
Inilah masanya Engkau bertindak, ya TUHAN,
kerana orang melanggar Taurat-Mu.
Aku mencintai perintah-Mu lebih daripada emas,
lebih daripada emas murni.
Oleh itu aku mengikut segala peraturan-Mu;
aku benci akan segala perbuatan yang salah.
Ajaran-Mu sungguh mengagumkan;
aku mentaatinya dengan sepenuh hati.
Penjelasan ajaran-Mu memberikan cahaya,
memberikan pengertian kepada orang jahil.
Aku haus akan perintah-Mu,
aku sangat menginginkannya.
Berpalinglah kepadaku dan kasihanilah aku
seperti Engkau sentiasa mengasihani orang yang mengasihi-Mu.
Menurut janji-Mu, jangan biarkan aku jatuh;
jangan biarkan kejahatan menguasai aku.
Selamatkanlah aku daripada orang yang menindas aku,
supaya aku dapat mentaati perintah-Mu.
Berkatilah aku dengan hadirat-Mu,
dan ajarlah aku hukum-Mu.
Air mataku mengalir seperti sungai,
kerana orang tidak taat kepada Taurat-Mu.