MAZMUR 136:1-26

MAZMUR 136:1-26 BM

Bersyukurlah kepada TUHAN kerana Dia baik; kasih-Nya kekal abadi. Bersyukurlah kepada Allah Yang Maha Tinggi; kasih-Nya kekal abadi. Bersyukurlah kepada Tuhan Yang Maha Besar; kasih-Nya kekal abadi. Hanya Dia yang melakukan keajaiban besar; kasih-Nya kekal abadi. Dengan kebijaksanaan-Nya Dia menjadikan langit; kasih-Nya kekal abadi. Dia menghamparkan bumi di atas air; kasih-Nya kekal abadi. Dia menjadikan matahari dan bulan; kasih-Nya kekal abadi. Dia menjadikan matahari untuk memerintah siang; kasih-Nya kekal abadi. Dia menjadikan bulan dan bintang untuk memerintah malam; kasih-Nya kekal abadi. Dia membunuh anak lelaki sulung orang Mesir; kasih-Nya kekal abadi. Dia memimpin umat Israel keluar dari Mesir; kasih-Nya kekal abadi. Dia melakukan semuanya dengan tangan yang kuat dan perkasa; kasih-Nya kekal abadi. Dia membelah Laut Gelagah; kasih-Nya kekal abadi. Dia memimpin umat-Nya melalui laut itu; kasih-Nya kekal abadi; tetapi Dia menenggelamkan raja Mesir dan tenteranya; kasih-Nya kekal abadi. Dia memimpin umat-Nya melalui gurun; kasih-Nya kekal abadi. Dia membunuh raja-raja yang berkuasa; kasih-Nya kekal abadi. Dia membunuh raja-raja yang termasyhur; kasih-Nya kekal abadi. Dia membunuh Sihon, raja orang Amori; kasih-Nya kekal abadi. Dia membunuh Og, raja negeri Basan; kasih-Nya kekal abadi. Dia memberikan negeri mereka kepada umat-Nya; kasih-Nya kekal abadi. Dia memberikannya kepada Israel, hamba-Nya; kasih-Nya kekal abadi. Dia tidak melupakan kita apabila kita dikalahkan; kasih-Nya kekal abadi. Dia membebaskan kita daripada musuh-musuh kita; kasih-Nya kekal abadi. Dia memberikan makanan kepada semua makhluk hidup; kasih-Nya kekal abadi. Bersyukurlah kepada Allah penguasa di syurga; kasih-Nya kekal abadi.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan MAZMUR 136:1-26